Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan

Rabu, Februari 23, 2011

Tiga Perkara Yang Disukai


Ketika asyik membaca dan memperdengarkan beberapa hadith bersama isteri yang telah menjadi amalan kami setiap hari selepas Isyak, tiba-tiba malam tadi saya rasa amat tertarik dan terkesan dengan kisah ini walaupun telah berulang-ulang kali pernah mendengarnya. Jadi saya salinkan sahaja kisah tersebut yang saya ambil dari pada Kitab Fadilat Solat oleh al-Muhaddith asy-Shaykh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a.

Kisah yang dipetik dari Kitab al-Munabbihat oleh Imam al-Hafiz al-Muhaddith Ibnu Hajar al-Asqalani rah.a. Dalam satu majlis bersama-sama dengan para sahabat r.a, Rasulullah s.a.w bersabda. Allah s.w.t menjadikan hatiku menyukai tiga perkara di dunia ini:

-wangi-wangian
-wanita
-dan solat yang menjadi penyejuk mataku.

Hadrat Abu Bakar r.a berkata, "Segala yang disabdakan oleh tuan itu benar, saya juga menyukai tiga perkara:

-melihat wajah Rasulullah s.a.w
-harta bendaku dibelanjakan untuk Rasulullah s.a.w
-dan anak perempuanku dinikahkan dengan Rasulullah s.a.w."

Hadrat Umar r.a berkata. "Benar wahai Abu Bakar, saya juga menyukai tiga perkara iaitu:

-Amr bil ma'ruf (meyuruh berbuat baik)
-Nahi 'anil mungkar (mencegah kemungkaran)
-dan memakai pakaian usang."

Hadrat Uthman r.a berkata, "Segala yang kamu katakan adalah benar wahai Umar, saya juaga menyukai tiga perkara, iaitu:

-memberi makanan kepada orang yang lapar
-memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian
-dan membaca al-Quran."

Hadrat Ali r.a berkata, "Segala yang dikatakan oleh kamu itu adalah benar wahai Uthman, saya juga menyukai tiga perkara iaitu:

-melayani tetamu
-berpuasa pada hari yang panas
-dan memancung kepala musuh."

Pada ketika itu Jibril a.s muncul lalu berkata, "Saya dihantar oleh Allah s.w.t supaya memberitahu kamu perkara yang akan saya suka jika saya seorang manusia." Baginda s.a.w berkata, "beritahulah," Jibril a.s berkata:"

-memimpin orang yang sesat
-mengasihi orang miskin yang soleh
-dan membantu orang miskin yang mempunyai ramai anak."

Hadrat Jibril a.s berkata lagi, "Allah s.w.t menyukai tiga perkara daripada hambaNya iaitu:

-menggunakan keupayaan diri dan harta pada jalan Allah s.w.t
-menangis kerana kesal atas dosa semasa bertaubat
-dan bersabar ketika ditimpa kesempitan.

Semoga kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran dari kisah yang amat menarik ini. Maka tanyalah pula hati kita, apa yang menjadi kesukaan hati kita di dunia ini. Dengan hati yang amat mengaharapkan limpah rahmat Allah s.w.t yang maha luas, semoga secebis dari kesukaan-kesukaan mereka itu mudah-mudahan menjadi kesukaan-kesukaan kita juga.

Muhammad Ishak Zaini.
23 Februari 2011
20 Rabi'ul Awal 1432H

Jumaat, November 20, 2009

Daging Korban


Assalamu'alaikum..

Sekadar renungan buat diri ini dalam menjalani bulan ZulHijjah 1430.

Allah s.w.t perintahkan Ibrahim a.s supaya menyembelih Ismail a.s.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (as-Saffat: 102)

Allahu.. Sudahlah ditinggalkan si anak dan isteri sekian lama demi pergi mentablighkan agama, baru sahaja Ibrahim a.s melerai rindu kembali ke pangkuan keluarga. Allah perintahkan supaya Ibrahim a.s menyembelih pula buah hatinya. Allah beritahu..

إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاء الْمُبِينُ


Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.
(as-Saffat: 106)

Iktibar:
Tuan-tuan yang mulia, Allah perintahkan supaya korban, namun Allah bukanlah nakkan daging. Tapi Allah nak tengok hati, adakah perkara yang kita sayang, sanggup kita korbankan untuk Allah, untuk agama Allah.

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ



Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.
Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Al-Hajj: 37)

Allah punya suka dengan pengorbanan keluarga da'ie ini, hinggakan amal-amal yang bersangkutpaut dengan perbuatan ahli keluarga Ibrahim demi agama Allah ini, diwajibkan ke atas umat ini untuk mengikutinya (terangkum dalam perlaksanaan amal-amal ibadah haji). Satu dunia umat Islam datang ke Makkah untuk buat apa yang Ibrahim, Hajar a.s dan Ismail a.s pernah buat. Dan kita amat dituntut untuk melakukan ibadah korban.

Para sahabat r.a juga dah buktikan mereka sanggup korban untuk agama Allah s.w.t. Abu Bakar r.a telah korbankan seluruh hartanya untuk agama Allah, Umar pernah korbankan separuh hartanya untuk agama Allah, sahabat-sahabat r.a berlumba-lumba lakukan pengorbanan diri, harta, masa, perasaan. Mereka sanggup hidup susah demi agama ini sampai ke seluruh alam. Demi agama Allah, mereka sanggup korbankan segala yang disayangi. Lalu bagaimanakah pula dengan keadaan kita, apa pengorbanan yang kita lakukan? Korban dunia untuk dapatkan akhirat atau korbankan akhirat untuk dapatkan duniakah kita?
Firman Allah:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah: 24)

Selamat berkorban demi cinta..