Isnin, November 01, 2010

Seindah Akhlaq Selembut Bicara


Dakwah adalah tugas hakiki bagi setiap orang yang beriman. Namun, perkara yang kita selalu terlepas pandang dalam menyampaikan ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w, ialah untuk membawa sifat lemah lembut dalam penyampaian dakwah kita. Disini ingin dikongsi tentang sikap lemah lembut untuk kita sama-sama renung dan semai dalam diri kita masing-masing.

Firman Allah s.w.t:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (megenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. (Ali Imran: 159)

Sifat lemah lembut Rasulullah s.a.w telah menjadi antara penyebab utama untuk manusia mahu datang kepada cahaya pentunjuk yang terang. Kelembutan adalah seni dan akhlaq dalam berdakwah. Inilah sifat dakwah Rasulullah s.a.w. Baginda selalu berlemah lembut, memaafkan orang juga memohon keampunan untuk orang lain. Baginda meletakkan perasaan kasih sayang melebihi segalanya.

Antara kisah masyhur tentang kelembutan hati Rasulullah s.a.w dalam menjalankan usaha dakwahnya ialah sewaktu Rasulullah s.a.w berdakwah di kalangan Bani Thaqif di Kota Taif . Kisah ini berlaku setelah penduduk tanah kelahiran baginda iaitu Makkah kebanyakkan masih tidak mahu menerima dakwah kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, Lalu baginda s.a.w dan anak angkatnya yang bernama Zaid bin Harithah r.a telah pergi ke Taif untuk mendakwahkan penduduk di sana.

Namun penduduk Taif juga enggan menerima dakwah baginda. Mereka bukan sahaja menolak dakwah Rasulullah s.a.w malah mereka memberikan tentangan yang lebih hebatkepada baginda. Penduduk Taif telah mengusir baginda sambil terus mengejar dan melontar batu kepada baginda. Jasad baginda yang mulia pada hari itu telah berlumuran dengan darah. lantaran dihujani dengan batu-batu yang dilontarkan. Walaupun dilakukan sebegini teruk, baginda masih bersikap lemah lembut. Dinukilkan rintihan hati baginda:

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي ، وقلة حيلتي ، وهواني على الناس . يا أرحم الراحمين ، أنت رب المستضعفين ، وأنت ربي إلى من تكلني إلى بعيد يتجهمني ، أم إلى عدو ملكته أمري . إن لم يكن بك غضب علي فلا أبالي ، غير أن عافيتك هي أوسع لي .أعوذ بنور وجهك ألذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة، من أن تنزل بي غضبك أو يحل على سخطك لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بك.

"Ya Allah, kepadaMu ku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya Arhamarrahimin, Engkaulah Tuhan orang yang ditindas, Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini. Kepada orang asing yang akan menyerang aku ataukah kepada musuh yang menguasai aku. Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli. Namun afiatMu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur di atas nur itu segala urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku, KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau redha.. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali dengan petunjukMu." (Dipetik dari Kitab Hikayatus Sahabah: Kutbul Aktab Syaikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhalawi rah.a
)

Betapa lembutnya hati seorang nabi, mengadu kepada Allah s.w.t akan kekurangan diri. Dalam sebuah hadith dinukilkan doa nabi s.a.w:

اللهم اغفر لقومي فإنهم لا يعلمون

"Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." (Riwayat Bukhari)

Selain itu baginda turut merintih dengan perasaan penuh kasih sayang kepada umat baginda di Taif:

بل أرجو أن يخرج الله من أصلابهم من يعبد الله وحده لا يشرك به شيأ

"Bahkan aku mengharapkan agar Allah s.w.t mengeluarkan dari sulbi-sulbi mereka orang yang menyembah Allah s.w.t dengan KeesaanNya, tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. "(Hadith Riwayat Bukhari)

Nah! Sedangkan Nabi, semulia-mulia insan pada tahap diperlakukan sebegini teruk oleh umatnya pun masih mahu bersikap lemah lembut dalam dakwahnya. Malah mendoakan kebaikan untuk orang yang menolak dakwah baginda. Maka dimanakah kemuliaan kita jika hendak dibanding dengan nabi untuk kita berkasar dalam dakwah kita kepada orang lain.

Satu lagi kisah tentang kelembutan hati nabi dalam dakwah baginda sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a yang berkata: Seorang Arab Badwi berdiri lalu kencing di masjid, dan orang ramai pun mencegahnya. Maka Nabi s.a.w bersabda kepada mereka, "Biarkanlah dia, dan siramlah kencingnya dengan satu timba air kerana sesungguhnya kamu diutus untuk memberi kemudahan dan tidaklah kamu diutus untuk memberi kesulitan." (Maksud Hadith Riwayat Bukhari)

Renung-renungkan, orang yang tahap membuang air kecil di tempat ibadat dan sujud umat Islam pun baginda masih boleh berlembut hati untuk berlaku baik kepadanya. Beginilah dakwah dan hikmahnya nabi, penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Insan yang memiliki akhlaq yang terpuji.

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t menyuruh agar berdakwah dengan hikmah. Firman Allah s.w.t:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
(an-Nahl: 125)

Dalam sebuah hadith diriwayatkan dari Anas r.s bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Jadikanlah segala hal itu mudah dan menyenangkan hati manusia, jangan menyusahkan atau menyilitkan mereka. Berilah khabar gembira kepada mereka dan janganlah mencipta kebencian”. Maksud hadith riwayat Bukhari. (Dipetik dari Kitab Al-Ahaadith Al-Muntakhabah fis-Sifaatis-Sitti lid-Da'wah ilal-Lahi Ta'ala: Al-‘Allamah Al-Da'iyah Asy-Syaikh Muhamamad Yusuf al-Kandahlawi rah.a)

Terdapat satu kisah, berkenaan seorang pendakwah terkasar bahasa sewaktu menasihati Khalifah Ma'mun Harun ar-Rasyid, maka Khalifah berkata :

“Berlemah lembutlah terhadap saya kerana apabila Allah s.w.t menghantar orang yang lebih baik dari kamu iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun a.s kepada orang yang lebih buruk daripada saya iaitu Fir'aun, maka Allah s.w.t telah berfirman:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut. (Surah Thaha: 44)"

Maka kita hendaklah berusaha menjalankan dakwah dengan cara menasihati, mengubati, berdoa dan berlemah lembut dengan membayangkan sekiranya kita berada di tempat orang yang kita dakwahkan, bagaimana cara yang kita suka dinasihati oleh orang lain. (Kisah dipetik dari Kitab Fadhilat Tabligh: Kutbul Aktab Syaikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandhalawi rah.a)

Seorang Nabipun diperintahkan untuk bercakap dengan lemah lembut ketika berhadapan dengan manusia seingkar Fir'aun, mengapa pula kita sesama Islam, sesama orang beriman hendak berkasar bahasa. Sedangkan telah menjadi fitrah manusia tidak suka untuk dikasari, dimalukan, dijatuhkan dan direndah-rendahkan. Bahkan manusia sangat suka jika mendengar kata-kata yang enak didengari, bahasa yang lunak, lemah lembut, dan penuh adab.

Jika Nabi-nabipun berlembut, maka siapalah kita untuk bercakap kasar pada orang lain. Wahai diri, jagalah lidahmu. Usahlah sombong dan peliharalah lidahmu dari membuatkan orang terasa hati denganmu. Kerana masih boleh diubati jika pedang menusuk badan, tapi di mana ubat hendak dicari kalau dah lidah menikam hati. Apa yang hendak dibangga dengan kecantikan sang merak, kecantikan yang tidak dapat dibawa terbang ke mana. Justeru, berendah hatilah. Kerana kasih Allah s.w.t sangat hampir dengan orang-orang yang suka merendah diri dan berlembut hati. Firman Allah s.w.t:

وعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Maksudnya: Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (Al-Furqan: 63)

Selamat berlembut dalam berdakwah wahai diri! Usah kau hunus pedang tumpulmu.

Ishak Zaini
1 November 2010

24 Zulqaedah 1431H

8 ulasan:

aliaazuan berkata...

Salam Ustz Ishak,

Itulah Rasulullah...contoh tauladan sebaik2 manusia. Nabi lg byk & bsr ujiannya, tp ttp brlemah-lembut, takde la balas blk dgn akhlak yg tak baik, takde jgk stress- mress mcm kita, malah sntiasa tenang. Kita juga dianjurkan utk memudah2kan, jgn disusah2kan.

Juga kena akur dgn segala kesilapan, kelemahan & kkurangan diri, malah kena usaha pula utk memprbetulkannya. InsyaAllah, sama2 usaha atas agama.walahu alam.

ziarah76 berkata...

doakan saya..

Anak Pendang Sekeluarga berkata...

Salam,apa khabar tuan blog,harap dlm keadaan sihat dan ceria,maaf kerana lama tidak mengomen di sini kerana baru balik tashkil...doa kan sy..(jemput baca entry terbaru sy di blog sy..)

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm ustzh aliaazuan

Semoga Allah menganugerahkan semangat mencontohi Rasulullah s.a.w ustazah itu kepada saya juga.

Juga moga Allah kurniakan sifat lemah lembut dan hikmah pada lisan kita.

Ishak Zaini berkata...

ziarah76

Ya ustaz, Allahu yassir umurak ..

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm anak pendang,

Selamat kembali selepas 4bulan menjalankan usaha dakwah di negara orang. Jazakallah atas perkongsian pengalaman sepanjag enta merantau itu.

Tanpa Nama berkata...

YA!!!!!!!!!!!!!!!! ustaz ishak.... sy datang...hehehe....~

Zaujah Shamsul Baharin berkata...

Salam. doakan akak n abg sham. Ada masa terluang. Sudi2kan lah jenguk di blog akak yer.
Http://aidashamsul.blogspot.com