Dinukilkan dalam sebuah hadith:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله (ص) جددوا إيمانكم. قيل: يا رسول الله، وكيف نجددوا إيماننا؟ قال: أكثروا من قول لا إله إلا الله.
Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda “Perbaharuilah iman kamu”,
Petikan dan sedutan daripada kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi:
”Kita ada satu silap faham dengan dakwah. Kita rasa dakwah hanya untuk orang yang bukan/belum Islam. Sebenarnya dakwah juga untuk orang yang sudah pun beriman.
Allah berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya... ) (An-Nisaa’ 4: 136) Mufassirin menyatakan makna ayat ini seolah-olah menyatakan, ”Wahai orang-orang yang beriman, hiduplah kamu dengan kehidupan yang beriman. Iman yang sempurna dan amalan yang sempurna.” Iman yang ada di dalam hati, mazharnya ada dalam kehidupan dan amalan kita.”
”Satu lagi salah faham kita terhadap kerja dakwah ialah bahawa dakwah itu adalah untuk memperbaiki orang lain. Bukan begitu. Manfaat dakwah yang utama ialah untuk islah diri kita.
Allah berfirman: (Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.) (Ya Sin 36:10) Perkataan ’mereka’ di dalam ayat ini, merujuk kepada ’golongan yang didakwah’. Kesan dakwah kepada mereka sama sahaja, tetapi kepada ’orang yang melakukan dakwah’ ada manfaatnya untuk diri mereka sendiri. Allah berfirman: (Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.) (Al-Ankabut 29: 6)”
”Hari ini, rata-rata fikir untuk kuatkan iman telah terkeluar daripada fikir dan zihin umat. Sedangkan fikir ini adalah asas agama. Dalam banyak riwayat-riwayat menceritakan bahawa para Sahabat saling mengajak sesama mereka untuk bercakap tentang iman dan duduk dalam majlis iman.
Iman para Sahabat adalah contoh kepada manusia seluruhnya. Allah Taala berfirman: (Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman...) (Al-Baqarah 2: 13) Perkataan ’orang-orang itu’ di sini maknanya ialah para Sahabat. Namun begitu, para Sahabat ini masih lagi diminta untuk memperbaharui (tajdid) dan memperkuatkan iman mereka. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada mereka, ”Perbaharuilah sentiasa iman kamu!” Lalu ditanyakan, macamanakah cara untuk memperbaharui iman itu? Jawab Rasulullah s.a.w., ”Perbanyakkanlah berkenaan qaul (percakapan atau perkataan) Laa ilaaha illalLah!”
Makna ’qaul’ di sini boleh jadi zikir atau muzakarah. Zikir secara fardiyy dan muzakarah secara ijtima’i. Kebesaran Allah perlu diulang-ulang dan dicakap-cakapkan. Secara umumnya, muzakarah tentang ini telah terkeluar daripada umat sedangkan ia adalah satu perkara yang penting. Muzakarah tentang benda lain seperti pangkat, harta, darjat dsb wujud, tetapi muzakarah tentang hakikat kalimah ini telah hilang.
Pernah satu masa, Saiyidina Umar masuk dalam satu majlis, dan ada Saiyidina Uthman di situ. Lalu Saiyidina Umar berkata, dalam majlis ini ada seorang yang jika imannya dibahagikan-bahagikan kepada sepasukan tentera sekalipun, akan memadai untuk mereka. Abdullah bin Rawahah, Muaz bin Jabal dan Abu Darda’ sering ajak-ajak Sahabat yang lain duduk-duduk dalam masjid untuk muzakarah tentang iman. Inilah majlis iman. Apa yang selalu dibincangkan, itulah yang akan masuk ke dalam hati. Para Sahabat selalu bincang tentang iman.”
http://gunawanaziz.blogspot.com/2009/07/petikan-kata-kata-hadrat-as-syaikh-ad.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan