Sabtu, Oktober 31, 2009

Jangan Campakkan Diri Dalam Kebinasaan


Assalamu'alaikum..
Adalah menjadi sesuatu yang ajaib apabila usaha Rasulullah s.a.w hanya di sekitar Tanah Arab namun agama yang dibawa oleh baginda ini telahpun tersebar ke seluruh dunia. Umum mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w tidak berseorangan dalam menyebarkan agama, bahkan baginda juga telah menyediakan serta menghantar para sahabatnya untuk menyebarkan agama ke seluruh alam. Dan Islam tersebar ke seluruh dunia adalah hasil dakwah dan pengorbanan yang tidak terkira daripada para sahabat r.a serta orang-orang yang mengikuti mereka. Setiap umat Islam perlu melaksanakan dakwah dan menjadikan dakwah sebagai profesion atau kerjaya utamanya sebagai seorang Muslim. Inilah yang difahami oleh para sahabat r.a. Bagi mereka meninggalkan usaha dakwah bererti mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Allah s.w.t berfirman:

وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik.

(Surah al-Baqarah: 195)


Abu Ayub al-Ansari r.a mengatakan “Adakah kamu memahami maksud ayat suci ini? Padahal ayat ini diturunkan adalah kepada kami (kaum Ansar). Peristiwanya seperti berikut: Apabila Islam telah mulai tersebar luas dan ramai yang telah menjadi penolong agama (menyampaikan dan menyebarkan agama), tiba-tiba timbul dalam hati di kalangan kami (orang-orang Ansar) secara diam-diam “Allah s.w.t telah memberi kejayaan kepada orang-orang Islam dan ramai di kalangan umat islam telahpun menjadi pendakwah agama. Dahulu kita (orang-orang Ansar) tidak diberi tumpuan kepada ladang-ladang kita (kerana sibuk dengan tugas mendakwahkan agama), sekarang tibalah masanya untuk kita memberi tumpuan untuk membaiki dan mengusahakan semula ladang-ladang kita itu”. Maka dengan peristiwa ini, ayat di atas diturunkan memberi amaran kepada para sahabat r.a supaya tidak meninggalkan usaha dakwah. (Al-Kandahlawi, Maulana Muhammad Zakariyya, Fadhilat Sedekah)

Ya Allah, berilah kami faham agama sebagaimana sahabat-sahabat r.a faham agama.

Tiada ulasan: