Selasa, Julai 19, 2011

Catatan Seorang Jutawan Islam

Ingin menjadi kaya tanpa perlu mengeluarkan modal walau sesen pun? Ingin menjana pendapatan lumayan tanpa perlu bersusah payah menebalkan muka mencari pelanggan untuk dijadikan orang bawahan? Ingin menjadi kaya tanpa perlu menajamkan lidah untuk mempromosi dan menjual produk dan barangan? Yang sesetengahnya sehingga tidak lelap mata memikir strategi bagi menarik pelanggan. Jangan risau, anda berpeluang untuk menjana kekayaan tanpa perlu membasahkan lidah, tanpa perlu mengeluarkan peluh, tanpa perlu pergi ke merata-rata tempat menjual untuk barang, tanpa perlu melabur dalam skim cepat kaya, tanpa kuasa minda, dan tanpa perlu risau menanggung sedikitpun risiko kerugian dan yang paling penting anda tidak akan terlibat sedikitpun dengan penipuan dan dosa serta dijamin selamat dari terlibat dengan riba. 

Inilah rahsianya:

Diriwayatkan daripada Hadrat Ibnu Salman r.a bahawa salah seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w menceritakan: "Apabila kami telah mendapat kemenangan dalam peperangan Khaibar, orang ramai mengeluarkan harta rampasan perang masing-masing yang terdiri dari harta rampasan dan orang tawanan lalu mereka mula berjual beli antara satu sama lain. 

Seorang telah datang memberitahu Rasulullah s.a.w "Wahai Rasulullah, tidak seorangpun di lembah ini yang mendapat keuntungan seperti keuntungan yang saya peroleh pada hari ini." Rasulullah s.a.w bertanya: "Wah, berapa banyakkah keuntungannya?" Dia menjawab "Saya terus menjual dan membeli sehingga saya mendapat keuntungan sebanyak tiga ratus uqiyyah perak." Baginda s.a.w bersabda, "Saya akan memberitahu kamu perkara yang lebih menguntungkan yang akan diperoleh oleh seseorang," Leleki itu bertanya, "Apakah itu ya Rasulullah?" Jawab baginda s.a.w, "Dua rakaat solat sunat selepas solat fardu." (Hadith riwayat Imam Abu Daud)

Satu uqiyah perak adalah empat puluh dirham, manakala satu dirham adalah kira-kira RM 1.70, jadi (300 uqiyyah perak x 40 dirham x RM 1.70 = RM 20, 400. !! ) Wah, bayangkan dengan usaha yang tidaklah sesusah mana (dua rakaat solat sunat selepas solat fardu), satu angka yang cukup lumayan dengan senangnya diperoleh bahkan lebih lumayan dari angka yang disebutkan di atas. Ini baru dua rakaat (selepas satu kali solat fardu), Andaikata paling-paling malas pun sehari cuma sekali sahaja kita melakukan dua rakaat solat sunat selepas solat fardu, jika dikerjakan selama sebulan jumlahnya tentu lebih besar. Cuba kita darabkan RM 20, 400 tadi dengan sebulan iaitu sebanyak tiga puluh hari (RM 20, 400 x 30 hari = RM 612, 000 !!

Nah, lebih dari setengah juta ringgit kita perolehi dalam masa sebulan. Itu baru sekiranya sehari cuma sekali kita mengerjakan dua rakaat solat sunat mengiringi solat fardu. Bayangkan pula jika dalam sehari lebih dari sekali kita mengerjakan solat sunat dua rakaat selepas solat fardu. (Nota tambahan: Tiada solat sunat selepas solat fardu Subuh dan Asar, jadi ada tiga waktu yang digalakkan untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat iaitu selepas solat fardu Zohor, Maghrib dan Isyak) maka jumlah pendapatan terkumpul yang diperolah sangatlah tinggi, dan kalau bijak merebut pelung ini, kemungkinan besar kita boleh menjadi sorang jutawan dalam masa sebulan. Ini belum termasuk ganjaran bersusah payah pergi ke masjid dan ganjaran solat berjemaah lagi. Wah! Pendapatan lumayan dengan hanya dua rakaat solat sunat selepas solat fardu setiap hari. 

Jadi, ayuhlah beramai-ramai kita rebut peluang keemasan ini!

Sabda Rasulullah s.a.w "Kekayaan sebenar bukanlah dengan banyaknya harta akan tetapi kaya (yang sebenarnya) ialah kaya hati. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Muhammad Ishak Zaini
19 Julai 2011
18 Sya'ban 1432H