Rabu, Februari 23, 2011

Tiga Perkara Yang Disukai


Ketika asyik membaca dan memperdengarkan beberapa hadith bersama isteri yang telah menjadi amalan kami setiap hari selepas Isyak, tiba-tiba malam tadi saya rasa amat tertarik dan terkesan dengan kisah ini walaupun telah berulang-ulang kali pernah mendengarnya. Jadi saya salinkan sahaja kisah tersebut yang saya ambil dari pada Kitab Fadilat Solat oleh al-Muhaddith asy-Shaykh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a.

Kisah yang dipetik dari Kitab al-Munabbihat oleh Imam al-Hafiz al-Muhaddith Ibnu Hajar al-Asqalani rah.a. Dalam satu majlis bersama-sama dengan para sahabat r.a, Rasulullah s.a.w bersabda. Allah s.w.t menjadikan hatiku menyukai tiga perkara di dunia ini:

-wangi-wangian
-wanita
-dan solat yang menjadi penyejuk mataku.

Hadrat Abu Bakar r.a berkata, "Segala yang disabdakan oleh tuan itu benar, saya juga menyukai tiga perkara:

-melihat wajah Rasulullah s.a.w
-harta bendaku dibelanjakan untuk Rasulullah s.a.w
-dan anak perempuanku dinikahkan dengan Rasulullah s.a.w."

Hadrat Umar r.a berkata. "Benar wahai Abu Bakar, saya juga menyukai tiga perkara iaitu:

-Amr bil ma'ruf (meyuruh berbuat baik)
-Nahi 'anil mungkar (mencegah kemungkaran)
-dan memakai pakaian usang."

Hadrat Uthman r.a berkata, "Segala yang kamu katakan adalah benar wahai Umar, saya juaga menyukai tiga perkara, iaitu:

-memberi makanan kepada orang yang lapar
-memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian
-dan membaca al-Quran."

Hadrat Ali r.a berkata, "Segala yang dikatakan oleh kamu itu adalah benar wahai Uthman, saya juga menyukai tiga perkara iaitu:

-melayani tetamu
-berpuasa pada hari yang panas
-dan memancung kepala musuh."

Pada ketika itu Jibril a.s muncul lalu berkata, "Saya dihantar oleh Allah s.w.t supaya memberitahu kamu perkara yang akan saya suka jika saya seorang manusia." Baginda s.a.w berkata, "beritahulah," Jibril a.s berkata:"

-memimpin orang yang sesat
-mengasihi orang miskin yang soleh
-dan membantu orang miskin yang mempunyai ramai anak."

Hadrat Jibril a.s berkata lagi, "Allah s.w.t menyukai tiga perkara daripada hambaNya iaitu:

-menggunakan keupayaan diri dan harta pada jalan Allah s.w.t
-menangis kerana kesal atas dosa semasa bertaubat
-dan bersabar ketika ditimpa kesempitan.

Semoga kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran dari kisah yang amat menarik ini. Maka tanyalah pula hati kita, apa yang menjadi kesukaan hati kita di dunia ini. Dengan hati yang amat mengaharapkan limpah rahmat Allah s.w.t yang maha luas, semoga secebis dari kesukaan-kesukaan mereka itu mudah-mudahan menjadi kesukaan-kesukaan kita juga.

Muhammad Ishak Zaini.
23 Februari 2011
20 Rabi'ul Awal 1432H