Isnin, Disember 21, 2009

Aku Mahu Hijrah


Assalamu'alaikum..

Mus'ab bin 'Umair r.a, si pemuda kaya Makkah, dahulunya pernah memakai pakaian berharga 200 dirham namun setelah keislamannya beliau meninggalkan segala kemewahan hidup yang dikecapinya itu demi mencari keredhaan Allah. Mus'ab r.a dihantar oleh Rasulullah s.a.w sebagai perintis jalan kepada usaha dakwah di Madinah. Dengan serba kekurangan dan kezuhudan beliau telah berdakwah menyampaikan agama kepada penduduk Yathrib sebelum golongan Muhajirin yang lain menyusul. Bantuan yang diberi oleh pemuka-pemuka Yathrib yang berhati mulia seperti As’ad Bin Zurarah r.a, Usaid bin Hudhair r.a dan Saad bin Muaz r.a juga sangat sempurna. Menjadi titik tolak kepada kegemilangan Muhajirin dan Ansar Islam di Madinah al-Munawwarah.

Hijrah menyaksikan pengorbanan yang besar dari dua golongan untuk agama Allah. Pengorbanan golongan Muhajirin ialah dengan meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka semata-mata kerana agama Allah, menempuhi jarak perjalanan yang sukar dengan segala kesusahan, manakala golongan Ansar pula memberi bantuan kepada golongan yang berhijrah, sudi berkongsi kesenangan hidup menyediakan keperluan kepada sang Muhajir. Alangkah tingginya dan indahnya sifat ithar mereka yang seringkali mengutamakan saudara melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Rasulullah s.a.w sangat kasihkan golongan 'pembantu-pembantu' ini sehingga walaupun setelah Fatah Makkah, baginda yang lahir di Makkah ini tetap mahu megikuti golongan Ansar in kembali ke Madinah, malah jasad nabi s.a.w yang mulia itu juga pada akhirnya disemadikan di tanah tumpah golongan 'pembantu' agama Allah.

Ada di kalangan sahabat r.a yang sempat menyaksikan kegemilangan Islam, dan ada yang tidak sempat kerana telah syahid awal. Termasuklah Mus'ab bin 'Umair r.a sendiri, sumbangan dan pengorbanannya terlalu besar untuk umat ini, namun si pemegang panji utama Islam (perang Badar) yang juga merupakan pemegang panji Muhajirin (perang Uhud) ini telah ditakdirkan syahid seawal dalam peperangan Uhud itu.

Dalam buku-buku sirah Islam, terdapat terlalu terlalu banyak kisah kehidupan para sahabat r.a tidak kira Muhajirin mahupun Ansar yang mana kehidupan mereka sentiasa diwarnai dan dengan pengorbanan, susah payah, dan mujahadah, yang memiliki keimanan yang teguh, yang menjadikan sunnah sebagai cara hidup mereka, yang sentiasa menjaga solat, yang diajar ilmu agama dari guru yang terbaik, sahabat-sahabat r.a yang hatinya sibuk dengan Zikrullah, yang sangat mengasihi orang-orang beriman, yang beramal semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Inilah golongan yang telah berjaya dalam agama, golongan sahabat-sahabat r.a, yang telah menggunakan kemampuan, diri, harta dan segala-galanya untuk agama, yang menjadi suri teladan dan ikutan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka. Mereka telah sanggup mengorbankan kesenangan hidup mereka malah telah menebus umat ini dengan darah dan keringat, sehingga kita yang datang kemudian ini dapatlah meneguk hidayah dan mengecapi nikmat Islam. Allah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar ini melalui firmanNya:

وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:

Dan orang-orang yang terdahulu- yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah: 100)

Redha Allah bukan hanya untuk para sahabat r.a sahaja, malah kepada orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan juga. Oleh itu sama-samalah kita berniat untuk mengikuti kehidupan para sahabat r.a ini. Dengan kaum mana kita menyerupainya di dunia ini, maka bersama dengan kaum itulah kita akan dibangkitkan di akhirat nanti. Moga-moga Allah pertemukan kita dan bangkitkan kita di akhirat nanti bersama dengan para sahabat r.a.

Sesungguhnya agama ini telah dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dengan mujahadah dan susah payah. Kita yang datang kemudian ini, seharusnya begitu juga, menjadi penyambung kerja menyebarkan agama ini dengan mujahadah dan susah payah. Sejauhmana pengorbanan kita untuk agama, sejauh itulah yang kita akan dapat.

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه


Maksudnya

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh 'Umar bin Khattab r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperoleh apa yang dia niatkan. Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya.
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat r.a telah mendapatkan apa yang mereka niat dan usahakan. Allah telah memuliakan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya golongan Muhajirin dan Ansar semua mereka telah berjaya menyukakan Allah dan Rasul dalam hayat yang mereka ada.

Hidup perlu hijrah. Hijrah adalah satu sunnah. Aku juga ingin hijrah kerana agama. Tolong doakan hamba..

5 ulasan:

zarzh berkata...

Jazakallah Ishak Zaini diatas tazkirah ini juga diatas ucapan takziah tuan buat kematian ibu tiri saya, semoga Allah meletakkan rohnya dikalangan para solehan.

Ishak Zaini berkata...

Amin.. alangkah beruntungnys enta sebab dapat ummi yg tahjud pun tak miss..

moga Allah beri taufik pada kita juga utk ikuti perjalanan org2 yg soleh ini..

ziarah76 berkata...

terkesan saya baca tazkirah ni.
jazakallah Ishak Zaini

Ishak Zaini berkata...

Salam ziarah, bro ziarah76.. mohon tuan sudi beri tunjuk ajar kat saya yg baru nak belajar ni..

learningquranonline berkata...

I don’t know If I said it already but …Cool site, love the info. I do a lot of research online on a daily basis and for the most part, people lack substance but, I just wanted to make a quick comment to say I’m glad I found your blog. Thanks

Learn Quran online, Read tajweed Quran online, learning Quran online Koran