Selasa, November 17, 2009

Pakaian, Makanan, Rumah


Assalamu'alaikum..

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah s.a.w.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab r.a ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab r.a sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Makkah).

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan tumpuan kepada ibadat sahaja dan tidak perlu mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

(Maksud Hadith Riwayat Tirmidhi)

Allahu.. Bagaimana pakaian, makanan dan rumah saya? Bagaimana pula amal agama saya dalam dunia yang serba mewah ini?

Tiada ulasan: