Khamis, Ogos 29, 2013

Alhamdulillah, Allah Anugerahkan Kak Long Adik Lelaki..


Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kami seorang lagi cahaya mata buat penyeri rumah tangga bahagia yang dibina. Bayi lelaki ini selamat dilahirkan secara normal di Hospital Besar Tawau pada hari Ahad 25 Ogos 2013 bersamaan 18 Syawal 1434H jam 04.45 pagi bertepatan dengan laungan azan Subuh waktu di Sabah. Di sini dikongsikan beberapa keping gambar untuk tatapan kaum keluarga, saudara mara, dan kawan-kawan terutama yang berada di semenanjung. Jazakumullahu khairan jazak dan terima kasih tidak terhingga atas doa dan sokongan kawan-kawan yang tidak putus-putus. 

Angah 3.5kg.. kak long dulu 3.9kg..
Sepanjang mengandungkan anak ini Alhamdulillah tidak ada sebarang masalah besar yang berlaku, agaknya sudah terbiasa pengalaman mengandungkan anak pertama dahulu. Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kesakitan yang ditanggung dapat diserap dengan baik dari segi fizikal dan emosi demi zuriat yang tercinta.

Ada dua atau tiga tarikh jangkaan yang diberikan pada mulanya iaitu 23 Ogos dari klinik swasta yang kami pergi, manakala jangkaan dari pihak hospital Semporna pula ialah sama ada 18 atau 19 Ogos. Dan Allah sebaik-baik perencana telah menetapkan kelahiran bayi ini pada 25 Ogos, beberapa hari selepas sambutan hari lahir ummi yang disambut pada 22 Ogos, dan tarikh 25 Ogos itu juga bermakna tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang sambutan hari kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos. Wan (nenek Kak Long dan Angah) juga lahir di bulan Ogos iaitu pada 8 Ogos begitu juga dengan mak Udanya yang lahir pada 31 Ogos.

Memandangkan blog ummi telah lama tidak berupdate kerana sibuk menguruskan anak-anak, maka biarlah abi yang menceritakan perjalanan kisah kelahiran ini secara ringkas. Kisahnya bermula apabila ummi mula merasa sakit kuat hendak bersalin bermula pada Jumaat malam, maka segala kelengkapan disiapkan pada malam itu juga namun kekerapan sakit masih lagi berjarak setengah jam-setengah jam, malah kami sempat tidur lagi malam tersebut. Sehinggalah keesokan tengah hari (Sabtu) barulah kami bersiap ke hospital Semporna namun pihak hospital maklumkan bahawa bukaan masih lagi 1.5cm, dan kami disarankan untuk ke hospital Tawau kerana kelengkapan di hospital tersebut lebih selesa berbanding Hospital Semporna. 

Bilik bersalin hospital Semporna
Maka kami pun baliklah ke rumah dahulu setelah singgah bermesyuarat sambil pekena 'nasi lalap'- makanan tradisi masyarakat Sabah Tenggara di sebuah restoran berdekatan. Maka kira-kira selepas Asar barulah kami bertolak ke Tawau yang jaraknya kira-kira 100km dari Semporna, kami tiba di Tawau pada waktu maghrib dan terus mencari penginapan untuk bermalam. 

Kemudian selepas Isyak barulah kami ke Hospital Tawau untuk melapor diri. Kekerapan sakit pada ketika ini adalah berselang kira-kira 20 minit-20 minit, itupun kami minta untuk pulang dahulu dan akan datang kemudian. Dalam pada itu sempat kami ke shopping kompleks lagi, mudah-mudahan dengan banyak berjalan akan memudahkan ummi bersalin. Kira-kira jam 10 malam kami pulang semula ke hotel. Tidak lama selepas itu kira-kira jam 12 malam ummi mengadu sakit kali ini berselang 10 minit-10 minit. dalam pada bersiap sehingga jam 1 pagi ummi mengadu sakit berselang 8-5 minit sekali tanda waktu bersalin semakin hampir, maka kamipun sekali lagi bergegas ke Hospital Tawau. Setibanya di Hospital, ummipun terus dimasukkan ke bilik bersalin manakala abi pula menjaga kak long di luar hospital.

Dalam pada menunggu ummi bersalin, sempatlah abi membaca manzil dan yassin beberapa kali. Pengawal hospital datang berjumpa saya dan menasihati supaya abi berehat sahaja dahulu di dalam kereta, kalau ada apa-apa hal beliau akan memanggil saya sambil mengambil nombor pendaftaran kereta, beliau kasihankan kak long takut-takut kepenatan. Banyak saya dapat belajar dari akhlak pengawal keselamatan itu, bermacam kerenah yang datang semua dilayan dengan baik. Terima kasih kak, sempat tolong jaga kak long sekejap, sempat hantarkan barang ummi ke kereta dan lain-lain pertolongannya yang amat abi hargai.

Bilik bersalin hospital Tawau. Kak Long dulupun lahir di sini. Alhamdulillah dua-dua kali dapat doktor perempuan.
Dalam melayan kak long menangis, mngamuk, meragam sambil melayan perasaan di kereta sedar-sedar sudah kedengaran azan Subuh, bagai tak sedar jam-jam yang berlalu maka  abipun mengejutkan kak long yang tertidur untuk ikut abi solat, sebelum ke surau kami singgah la sekejap di bilik bersalin dan kata pengawal Alhamdulillah isteri dah selamat bersalin. Katanya bolehlah singgah tengok isteri dan baby sekejap. Alhamdulillah syukur, syukur, syukur ya Allah.. Akan tetapi apabila abi masuk ke wad bersalin hanya ummi yang kelihatan, baby masih sedang diuruskan. Abi dan kak long pun pergilah ke surau dahulu untuk solat subuh sementara menunggu baby disiapkan sebelum tu sujud syukur dahulu kerana isteri dan baby selamat. Allah maha kuasa. Betapa disyukuri nikmat ini. 

Kak Long penat tunggu adik dalam kereta..
Selepas itu abi dan kak long pun dapatlah melihat dan berjumpa sebentar dengan baby, sempat azan dan iqamatkan baby sebelum balik ke hotel berehat setelah seharian bersengkang mata melayan kerenah budak satu tahun lapan bulan sorang ni. Menjelang zohor kami ke hospital semula untuk mengambil ummi dan baby pulang, dan Alhamdulillah selepas asar kami telah dibenarkan pulang. Petang itu juga kami terus ke Semporna.
Azan dan Iqamat
Kak Long dan Angah..
Maka kini bermulalah tugas rasmi abi untuk bersengkang mata menguruskan pelbagai perkara dengan penuh kesabaran seperti merawat ummi, membasuh berak kencing anak-anak, memandikan anak, memasak air panas untuk ummi, memasak dengan masakan yang sedap, mencuci pakaian, dan sebagainya. Terima kasih ummi kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepada abi untuk menguruskan rumah tangga dengan baik. Terima kasih kerana telah sanggup menaggung sakit yang bukan sedikit untuk zuriat-zuriat kita ini. Ini baru permulaan dan tanggungjawab serta tugas kita demi anak-anak ini masih banyak yang belum sesesai.


Abu Umar,
Muhammad Ishak Zaini
29 Ogos 2013
22 Syawal 1434H


Ahad, Ogos 18, 2013

Ya Allah Keluarkanlah Umat Ini Dari Kehinaan..

Ya Allah.. 
Kehinaan apakah yang datang bertimpa-timpa ke atas umat ini..

Di celah-celah kehinaan yang datang ini kami memohon dari lubuk hati yang paling dalam agar Engkau pandanglah kami dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Mu. Janganlah Engkau memandang kami dengan pandangan kemurkaan dan kemarahan-Mu. Sesungguhnya tidak ada sesuatu apapun di alam ini yang mampu untuk menanggung azab lantaran kemurkaan dan kemarahan-Mu.

Ya Allah..
Sesungguhnya Engkau adalah penguasa yang mentadbir segala sesuatu di alam ini, Engkaulah Raja segala raja, Engkau maha berkuasa memulia dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki sebagaimana Engkau berkuasa menghidup dan mematikan segala sesuatu. Maka keluarkanlah umat ini dari bala kehinaan yang datang ini.

Ya Allah..
Kasihanilah kami umat yang jauh dari baginda s.a.w dan cahaya kenabian ini. Umat akhir zaman yang sentiasa sibuk bergelumang dalam dosa dan noda. Umat zaman kerosakan yang bagai anak kehilangan ibunya. Tiada tempat hendak dituju dan diadukan segala permasalahan. Sememangnya kami amat dahagakan hidayat petunjuk dari-Mu. Kerana tanpa hidayat dan petunjukMu nescaya kami akan lemas dalam lautan kesesatan di akhir zaman ini.

Ya Allah..
Sesungguhnya telah banyak tangan-tangan kotor kami ini menconteng arang ke muka baginda dan para sahabat yang mulia. Tangan-tangan kotor ini juga yang telah merobek hati dan perasaan baginda. Dalam keadaan begini adakah masih sudi baginda yang mulia mengakui kami sebagai umatnya di hari pembalasan kelak ketika mana kami sangat berhajatkan syafaat dari baginda yang mulia.

Ya Allah..
Kasihanilah kami. Jangan Engkau fahamkan kepada kami agama ini menurut apa yang kami faham, akan tetapi Engkau fahamkanlah kepada kami agama ini menurut apa yang nabi s.a.w dan para sahabat fahami. Kerana jalan merekalah jalan yang Engkau redhai di dunia dan akhirat.

Ya Allah..
Kembalikanlah kami kepada kehidupan yang dibawa oleh baginda s.a.w. Satukanlah hati-hati kami, semaikan sifat pemaaf, penyabar dan penyayang dalam hati kami. Buangkanlah segala apa perkara yang memecahbelahkan kami. Engkau zahirkanlah yang hak serta hancurkanlah segala yang batil. Naungilah umat ini dalan lembayung rahmat dan kasih sayang-Mu. Amin ya Robbal 'alamin.

-Doa untuk umat terutama buat mereka di Mesir dan Syria.

Muhammad Ishak Zaini
10 Syawal 1434H

Sabtu, Ogos 10, 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Jalanilah kehidupanmu seperti menyambut bulan ramadan, nescaya kematianmu akan menjelma seperti menyambut anak bulan syawal. -Al 'alamah maulana In'amul Hassan al Kandahlawi rah.a.

Maaf zahir batin dari kami. Mohon kawan kawan tolong doakan juga anak kedua kami yang bakal lahir bila bila masa dari sekarang semoga Allah permudahkan serta jadikannya anak yang soleh. Jazakumullahu khairan jazak.

Muhammad Ishak Zaini
2 Ramadan 1434H
10Ogos 2013