Catatan Perjalanan – Sebuah Semporna
Masa terus laju berhambatan. Bagaikan baru sebentar bertenggek di
atas batang kayu di tepi pantai yang putih pasirnya lagi jernih airnya. Berteduh
dari terik mentari di bawah rimbunan pohon nyur yang melambai-lambai daunnya. Mengecap
nikmat bayu laut yang mendinginkan wajah sambil melontarkan pandangan jauh ke
tengah laut Sulu yang tenang dan damai itu. Milik Allah segala puji dan pujian
yang menjadikan keindahan alam yang tiada tolok banding di bumi Semporna ini. Dirasakan
bagai baru beberapa detik tinggal di sini, rupa-rupanya sudahpun masuk ke tahun
yang kedua.
Masa yang telah berlalu akan terus berlalu. Semakin lama masa
berlalu, bermakna semakin hampir kepada kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan
akhirat. Dan apa yang penting ialah perbekalan yang mesti disiapkan sebelum
tiba saat dan waktu ajal dan maut datang menjelma. hakikatnya kematian bukanlah
sebuah penamat, bahkan kematian adalah sebuah permulaan. Permulaan di sebuah
dunia dan kehidupan kita yang hakiki.
Sekadar mencetuskan fikir akhirat buat seketika. Pandangan mata
kembali memaku kepada permandangan laut Sulu yang jernih itu. Sesekali
terdengar kocakan di air, ada ikan-ikan sedang menitip rezeki masing-masing. Seperti
juga manusia yang Allah s.w.t kurniakan rezeki. Di mana rezeki yang telah
dituliskan untuknya, di situ dia akan datang mengambil rezeki tersebut.
Rezeki kami masih di Semporna, masih bersinggah di daerah suku kaum
Bajau dan Suluk ini. Bak kata pepatah, dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Sebagai mengabdikan kenangan setahun di persinggahan ini, maka saya
tuliskan entri ini bagi berkongsi sedikit pengalaman dan pengamatan tentang
daerah Semporna. Adapun kami masih hijau di sini, jika ada orang-orang Semporna
yang membaca entri ini, mohon ditegur jika ada kesilapan.
Semporna yang saya kenali adalah sebuah daerah yang sederhana
kecilnya. Erti Semporna ialah tempat berehat. Mungkin keindahan pulaunya
menjadi daya tarikan pelancong yang ingin berehat-rehat di sini. Sebelum ini
Semporna dikenali sebagai dengan nama ‘Tong Talun’ yang bermaksud penghujung
hutan. Ini adalah kerana kedudukan Semporna yang berada di hujung Timur-Tenggara
Sabah. Untuk maklumat lanjut tentang sejarah asal-usul daerah Semporna sila
lawati http://www.sabah.gov.my/pd.sprn/sejarah.html . Untuk mengetahui
keistimewaan Semporna pula dipersilakan untuk membaca artikel ini http://www.sabah.gov.my/pd.sprn/fakta.html
Semporna dapat dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna
dan Pulau-pulau. Terdapat 49 buah pulau keseluruhannya yang di dalamnya terdapat 119
perkampungan.
Pulau yang terkenal adalah Pulau Sipadan dan Pulau Mabul yang
dikatakan antara pulau tercantik di dunia untuk aktiviti menyelam atau diving. Kalau
jemaah dari luar negara atau semenanjung dihantar ke Semporna, selalunya mereka
diikram dengan dibawa ke pulau Mabul sebagai salah satu dari destinasi rangka
usaha dakwah mereka. Usaha dakwah di Pulau Mabul boleh dikatakan maju kerana
telah hidup ta’lim masturat di sana. Lazimnya tempat yang hidup usaha
masturatnya, usaha lelaki juga insyaAllah hidup sama. Sambil-sambil itu
dapatlah mereka menikmati keindahan alam di pulau yang cantik pantainya itu.
Sayangnya kami suami isteri masih belum berkesempatan ke sana,
tambang ke Pulau Mabul jika ingin pergi ke sana dengan agen pelancongan, paling
murah harganya ialah RM 100 seorang dengan menaiki bot laju yang memakan masa
sekitar 45 minit dari jeti Semporna. Jemaah dari luar negara atau semenanjung
biasanya diikram dengan menaiki bot ikan milik rakan seusaha atau
kenalan-kenalan di sini. Lebih murah sedikit kosnya tapi perjalanan memakan
masa yang agak lama sedikit.
Tentang masjid dan surau pula di daratan sahaja tidak kurang 69
buah masjid dan surau belum termasuk dengan masjid dan pulau di kawasan
pulau-pulau yang mengelilingi daratan, mengikut maklumat yang saya perolehi di
pulau Bum-bum (pulau terbesar di Semporna) sahaja telah ada sekitar 14 buah
surau dan masjid. Belum dicampur dengan masjid dan surau yang terdapat di 48
pulau yang lain. (sebahagian pulau sahaja berpenghuni).
Dalam pembahagian kawasan untuk usaha agama, terdapat dua halkah di
sini iaitu Halkah Darat (Tanah Besar Semporna) dan Halkah Laut (Kepulauan).
Disebabkan kami tinggal di kawasan Tanah Besar, maka medan tempatan usaha agama
kami adalah di sekitar 69 buah masjid dan surau di tanah besar. Moga-moga Allah
terima kami untuk ambil fikir menghidupkan kesemua masjid dan surau di kawasan
kami ini.
Beralih kepada sosio-budaya setempat, kaum Bajau dan Suluk adalah
kaum yang paling dominan di Semporna. Kedua-duanya adalah kaum yang beragama
Islam. Selain itu terdapat juga kaum Bugis, Palauh (Bajau Laut), Jawa, dan
kaum-kaum lain yang turut mengharmonikan kehidupan masyarakat di Semporna. Pada
pengamatan saya, boleh dikatakan lebih 90% masyarakat Semporna adalah beragama
Islam. Terdapat juga pegangan dan kepercayaan lain seperti Kristian dan Budha
namun jumlahnya adalah kecil.
Daerah-daerah lain di Sabah biasanya terdapat berbilang bangsa dan
agama contohnya masyarakat di Kota Kinabalu dan Sandakan, tetapi berbeza dengan Semporna
kerana jumlah orang Islam di sini sangat ramai. Terdapat banyak syiar Islam dan
kehidupan masyarakat Islam dapat dilihat di sana-sini. Sepanjang pengalaman
saya yang pernah berjalan dari Barat ke Timur Sabah, di daerah Sempornalah
paling ramai Islamnya selain daerah Tawau yang juga menonjol gaya kehidupan
islamnya. Dipersilakan untuk melawat dua daerah ini, dan membandingkan dengan
daerah-daerah lain di Sabah, pasti nampak perbezaan syiar-syiar Islam.
Dari segi bahasa pula, kebanyakan masyarakat Semporna bertutur
dalam bahasa tempatan mereka iaitu bahasa Bajau dan Suluk, namun jika kita
bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, insyaAllah kebanyakan mereka
boleh faham juga. Terdapat banyak jenis bajau di Sabah seperti Bajau Ubian dan
Bajau Tabawan dan lain-lain, mungkin berlainan bahasanya berbanding dengan
Bajau Semporna ini. Sekadar perkongsian ringkas beberapa patah perkataan bahasa
Bajau dan Suluk dalam komunikasi seharian contohnya:
Bahasa Bajau:
'Ai Habbal’ – Apa khabar?
Baina Mangan - Sudah makan kah?
Pitu ka amangan – Mari kau, kita makan.
Sehek, pitu kau – Kemari kamu (kawan lelaki)
Arung, pitu kau – Kemari kamu (kawan perempuan)
Bai ka miningga – Kamu dari mana?
Bai nehek – Aku dari sana
Amolekna kita – Jom kita balik.
Maksukul – Terima kasih
Natuan! – Adohai
Ahok - Ya
Waina – Tidaklah.
1. Isa, 2. Dua, 3. Tu, 4. Upat, 5. Lima, 6. Unum, 7. Pituk, 8.
Waluk, 9. Siyam, 10. Sangpuk.
Jika dalam urusan jual-beli katakan jumlahnya RM10 maka dalam
bahasa bajau disebut Sangpuk Pilak. Jika RM10.50, setengah atau 50sen itu
disebut karangbila. (Seperti dialek Kelantan yang membahasakan 50sen sebagai
‘Seramah’), Bajau pula menyebut setengah itu sebagai ‘karangbila’. Jika
dicantum keduanya: Sangpuk karangbila: ertinya RM 10.50.
Ayat asas dakwah: Bang kabilahi bajaya ma agama, taat min Allah
taat min nabi. – Kejayaan kita hanya dalam agama, sejauhmana mentaati Allah dan
mentaati nabi s.a.w.
Bahasa Suluk/ Tausug:
Biak di in bagai – Apa khabar kamu wahai kawan?
Marayau - Baik, bagus.
Tumaun kita bagai – Sudah makan ke, wahai kawan?
Hisyu hin ngan nu – Boleh aku tahu namamu?
Ha unu kau nak hoholak – Dimana kamu tinggal?
Wai - Tidak/ tiada
Ho on - Ya
Waita – tak da orang
Mari kita pa masjid – Mari kita pergi masjid.
Kara ugan sin manusia alaum sin agama, magat kita sin perinta
Allah, lavai dain hakakainang hin nabi – Kejayaan seluruh manusia hanya dalam
agama, sejauh mana mentaati Allah dan mengikuti cara nabi s.a.w.
Sekadar perkongsian beberapa patah perkataan dari dua suku terbesar
di Semporna, untuk mudah mesra dan ramah dengan perkataan-perkataan yang mudah
dan biasa disebut. Bagi sesiapa yang bercadang untuk khuruj atau melancong ke
Semporna, boleh manfaatkan beberapa patah bahasa Bajau dan Suluk di atas
insyaAllah. Mohon sudi untuk mendoakan saya juga, insyaAllah rangka usaha
dakwah empat puluh hari untuk tahun ini akan saya curahkan di bumi Semporna
ini, sementara menunggu kelahiran anak sulung kami yang dijangka pada bulan
Disember 2011 insyaAllah.
Setahun di Semporna, bermacam perkara dapat dipelajari di sini. Selagi
rezeki kami di sini, selagi itu kami berazam untuk terus menyemarakkan usaha
agama di sini. Semangat pengorbanan keluarga Ibrahim a.s akan tetap disemat di
dalam jiwa sepanjang ranjau jalan ini. Kerana dalam menyembelih sebuah
keinginan dan kesukaan, ada sebuah keagungan yang tak dapat dirungkai dengan
kata, melainkan turut sama terjun ke medan pengorbanan. Sesungguhnya keagungan
haji bukan pada ramainya manusia yang berkumpul, akan tetapi keagungan haji
adalah pada pengorbanan agung keluarga Ibrahim a.s untuk kita hayati dan jejaki.
Sebuah keluarga yang seluruh ahlinya berkorban untuk agama.
Salam Aidiladha
Muhammad Ishak Zaini
Salam Aidiladha
Muhammad Ishak Zaini
8 November 2011
12 Zulhijjah 1432 H




