Isnin, Ogos 30, 2010

Umat Yang Bergerak





Air yang bergerak dari pergunungan menuju ke lautan, akan memberi manfaat kepada hidupan lain di sepanjang jalannya. Tumbuh-tumbuhan, haiwan, serta manusia akan dapat mengambil manfaat daripada air yang mengalir tersebut.

Sebaliknya air yang tidak bergerak, hanya terkepung di satu tempat, akan mendatangkan kemudharatan kepada hidupan di sekelilingnya. Airnya terdedah untuk berbau busuk, menjadi tempat membiaknya haiwan-haiwan perosak yang mampu mengancam nyawa manusia.

Sewaktu Rasulullah s.a.w beruzlah di gua Hira', sewaktu belum ada sebarang pergerakan dilakukan, keadaan bangsa arab jahiliah tetap tiada perubahan. Mereka tetap dengan kejahilan mereka. Hidup dengan meyakini banyak tuhan, hidup dengan amalan yang rosak. Kemudian dengan perintah Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w mula bergerak menyampaikan agama. Barulah keadaan berubah secara perlahan-lahan, kegelapan jahiliah pun bertukar menjadi cahaya keimanan yang terang benderang.

Kerana ada pergerakan, maka wujudlah golongan Muhajirin. Golongan para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah meninggalkan kaum keluarga dan kampung halaman mereka kerana agama. Dibantu oleh golongan Ansar yang siap sedia mengorbankan diri dan harta mereka untuk membantu usaha agama di zaman awal Islam. Muhajirin dan Ansar bergerak seiringan menyahut keinginan Rasulullah s.a.w dalam menggerak-gerakkan rahmat ke seluruh alam. Firman Allah s.w.t:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ : 107)

Islam sebuah agama yang sentiasa bergerak. Dari Makkah al-Mukarramah, Madinah al-Munawwarah dan sekitar Jazirah Arab, Islam telah bergerak membawa cahaya keislaman dan keimanan ke Benua Afrika, Eropah, Asia. Dari sebuah negara Islam yang kecil menjadi sebuah wilayah Islam yang luas. Hinggalah pelita-pelita hidayah telah nyala di seluruh alam.

Dengan pergerakan para da'e yang terdahulu, pergerakan membawa agama yang didalamnya ada mujahadah dan pengorbanan, maka natijahnya Islam telah sampai ke tanah tumpah yang kita cintai ini. Memerdekakan datuk nenek kita dan keturunannya daripada jajahan kesyirikan, kemungkaran, kebathilan. Betapa ramai kita dapat mengecapi nikmat keimanan hasil dari umat terdahulu yang telah menggerakkan Islam. Sabda Rasulullah s.a.w :

بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء

Maksudnya : Islam bermula dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing. (Hadith riwayat Muslim)

Allah s.w.t telah menghantar kita dengan satu tujuan yang besar, untuk kita bergerak membawa kebaikan kepada umat. Firman Allah s.w.t:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali-Imran: 110)


Dalam sebuah hadth dari Mu’awiyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

‏لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها

Maksudnya: Hijrah tidak akan berakhir hinggalah (pintu) taubat ditutup. Pintu taubat tidak ditutup hinggalah matahari terbit dari sebelah Barat. (Hadith riwayat Abu Daud)

Jelas, umat ini mempunyai tanggungjawab yang besar yang harus dipikul untuk menggerakkan agama ini. Golongan awal Islam telah menunjukkan contoh bagaimana mereka menggerakkan agama ini, dengan pengorbanan diri dan harta, serta pengorbanan keinginan dan perasaan, demi untuk menyebarkan agama. Firman Allah s.w.t:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur, dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisa': 100)

Kita pula, untuk maksud dan tujuan apa kita bergerak? Adakah kita bergerak menepati keinginan Allah dan Rasul? Samakah gerak kita dengan gerak para sahabat r.a? Ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w telah tinggalkan umat dalam keadaan umat sedang bergerak. Selamilah perasaan dan keinginan Rasulullah s.a.w. Bersediakah kita untuk bergerak membawa agama ini? Bergerak seperti air yang bergerak.

-Ishak Zaini 2010

Selamat memburu Lailatul Qadar di ambang kemerdekaan..
Selamat beri'tikaf..




Selasa, Ogos 10, 2010

Fikir Agama Untuk Kaum Ibu


Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Pepatah yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang membawa maksud kaum wanita juga memainkan peranan yang sangat penting dalam agama, sama seperti tanggungjawab agama yang perlu digalas oleh kaum lelaki. Ini telah terbukti sejak zaman awal Islam lagi. Kaum wanita tidak kalah dalam mendahului lelaki dalam hal keimanan dan pengorbanan untuk agama. Dalam hal keimanan, orang pertama yang mempersaksikan keimanannya kepada Rasulullah s.a.w di kalangan umat ini adalah dari kaum wanita iaitu Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwalid al-Kubra r.ha. Mendahului penyaksian keimanan Abu Bakar as- Siddiq r.a, Ali bin Abi Tholib r.a, Zaid bin Harithah r.a dan sahabat-sahabat yang lain.

Dalam hal pengorbanan pula, pengorbanan harta dan diri yang pertama dari umat ini juga adalah dilakukan dari kalangan kaum wanita. Khadijah adalah orang pertama di kalangan umat ini yang mengorbankan harta untuk agama, sebagaimana sejarah merakamkan bahawa Khadijah, isteri kesayangan Rasulullah yang merupakan seorang hartawan Quraisy yang banyak menginfakkan hartanya untuk agama sewaktu zaman permulaan penyebaran Islam.

Lihat pula insan yang pertama mengorbankan dirinya untuk agama, iaitu Sumayyah binti Khayyat r.ha, yang juga merupakan seorang wanita. Wanita berjiwa kental ini telah syahid kerana mempertahankan keimanannya kepada Allah, beliau telah dibunuh oleh Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya. Betapa tinggi kedudukan wanita sehingga pengorbanan harta dan diri yang pertama di kalangan umat ini Allah telah menerimanya dari kalangan wanita. Di dalam Islam, pengorbanan harta dan diri kedua-duanya sangat penting kerana terdapat banyak dalil menuntut untuk umat ini mengorbankan diri dan harta untuk agama, antaranya firman Allah s.w.t:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ* يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ* خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ*

Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga, mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar (At-Taubah: 20-22)

Di tempat yang lain, Allah s.w.t berfirman:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ...

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (At-Taubah: 111)

Selain itu pengorbanan harta dan diri diisyaratkan oleh Allah sebagai sebuah perniagaan yang dapat menyelamatkan kita dari kerugian yang besar di akhirat. Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ* تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ*

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (As-Saff: 10-11)

Untuk pengorbanan, iaitu antara tuntutan yang terbesar dalam agama, yang merupakan asas untuk membangunkan agama, yang mana tanpa pengorbanan insan-insan mulia zaman silam, maka siapalah kita pada hari ini. Dalam lain perkataan, kita meneguk nikmat hidayah pada hari ini di sebabkan pengorbanan insan-insan terdahulu. Dan Allah telah memulakan penerimaanNya akan pengorbanan diri dan harta umat ini dari kalangan kaum wanita. Ia adalah satu kemuliaan yang tentunya amat dicemburui oleh kaum lelaki. Dan pengorbanan Saidatina Khadijah dan Sumayyah ini menjadi titik tolak kepada pengorbanan-pengorbanan para sahabat yang lain-lainnya.

Jika disoroti sejarah yang lebih awal, walaupun tiada nabi dan rasul yang diutuskan Allah s.w.t di kalangan kaum wanita, akan tetapi perlu dihighlightkan bahawa setiap nabi dan rasul yang hebat-hebat itu adalah lahir daripada rahim seorang wanita. Selain Adam a.s, semua nabi dan rasul pernah berada di dalam perut seorang wanita termasuklah rasul-rasul yang Ulul 'Azmi. Betapa hebatnya Allah. Walaupun nabi Isa a.s tidak mempunyai bapa, namun baginda ada seorang ibu yang sangat unggul, yang nama dan kisahnya disebut-sebut di dalam al-Quran yang mulia iaitu Maryam a.s.

Usaha dakwah para Rasul yang dibantu oleh kaum wanita ironinya lebih cepat berkembang berbanding dengan usaha dakwah para Rasul yang tidak dibantu oleh kaum wanita. Contohnya Rasulullah s.a.w, selain dibantu oleh isteri-isteri baginda, Rasulullah s.a.w juga dibantu oleh kesemua anak-anak perempuan baginda. Isteri dan anak-anak baginda telah sama-sama berkorban bersama baginda. Maka ia menjadi sebab usaha penyebaran agama Islam dapat berkembang dengan lebih maju. Juga sebagaimana usaha dakwah Nabi Ibrahim a.s yang dibantu oleh keluarganya. Hajar, isteri baginda yang sanggup ditinggalkan, sanggup sama-sama melakukan pengorbanan untuk agama, menjadi sebab kemuliaan keluarga ini. Dan dengan keberkatan pengorbanan yang mereka lakukan itu, maka Allah muliakan mereka di dunia dan akhirat.

Sehinggakan Allah memerintahkan umat Islam seluruh dunia datang ke Makkah menunaikan fardhu haji, tempat di mana sejarah menyaksikan pengorbanan agung yang dilakukan oleh keluarga dakwah ini. Kebesaran haji adalah pada lambang pengorbanan keluarga Ibrahim a.s termasuk isteri dan anak baginda yang banyak berkorban untuk agama.

Peranan wanita dalam rumahtangga sangat penting. Merekalah yang akan menghias dan mencorakkan rumahtangganya samaada rumahnya menjadi suasana seperti masjid-masjid, yang sentiasa hidup bersilih berganti dengan amalan-amalan agama ataupun, jika wanita tiada fikir untuk memakmurkan rumahnya dengan amalan agama, maka rumah akan bertukar menjadi seperti hotel (tempat tidur dan rehat), panggung wayang, dan restoran (tempat makan dan minum) sahaja.. Jika rumah tiada suasana agama seperti di taman-taman syurga (rumah-rumah Allah) maka lalang-lalang kesesatan dan belukar kelalaian akan menjalar masuk ke dalam rumah.

Tentang bagaimana peranan pujukan wanita ini begitu memberi kesan kepada lelaki, maka di sini diceritakan sebuah kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Amr bin Jamuh al-Ansari r.a, beliau adalah seorang yang berkaki tempang namun hatinya sama seperti sahabat yang mempunyai jasad yang sempurba yang lain, beliau juga berkeinginan untuk keluar berjihad di jalan Allah s.w.t tatkala seruan menyertai jihad di Uhud (3H/ 625m) dilaungkan di Madinah. Disebabkan keuzuran beliau ini, beliau telah dikecualikan oleh Rasulullah s.a.w daripada menyertai jihad tersebut. Isteri Amr begitu sedih dan inginkan supaya suaminya juga agar dapat sebaris dengan sahabat-sahabat lain menyertai Rasulullah s.a.w di Ghazwah Uhud.

Isterinya telah menggunakan hikmah yang ada padanya untuk memberi perangsang kepada sang suami dengan mengatakan bahawa sebenarnya kamu yang penakut untuk berjihad. Dengan sindiran isterinya yang tercinta tersebut, Amr bin Jamuh r.a berasa tercabar lalu kembali pergi berjumpa Rasulullah s.a.w dan mendesak baginda supaya membenarkannya untuk menyertai peperangan Uhud.. Beliau menyuarakan hasratnya ingin berjalan di syurga dengan kakinya yang tempang. Setelah melihat kesungguhan Amr untuk menyertai pasukan Islam di Uhud, maka Rasulullah s.a.w akhirnya mengizinkan Amr bin Jamuh r.a. untuk turut serta. Sebelum perang Amr telah berdoa kepada Allah s.w.t agar tidak mengembalikannya ke Madinah. Dan dalam peperangan tersebut, Amr telah mara ke medan perang dengan begitu bersemangat sekali sehingga beliau gugur syahid.

Isteri Amr yang mendengar berita kesyahidan suaminya telah pergi ke Uhud untuk membawa jenazah suaminya untuk dikebumikan di Madinah, akan tetapi unta yang membawa jenazahnya enggan pulang ke Madinah meskipun puas ditarik. Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa doa Amar untuk tidak pulang ke Madinah telah diterima oleh Allah s.w.t. Akhirnya beliau dikebumikan bersama para syuhada' di Uhud. Kebijaksanaan isteri Amr bin Jamuh r.a meniupkan semangat pengorbanan ke atas suaminya telah menyebabkan ia mendapat kedudukan yang mulia di dunia dan akhirat sebagai isteri kepada seorang syahid.

Semangat pengorbanan wanita di zaman awal Islam kadang-kadang mengatasi kaum lelaki. Contohnya keberanian ibu saudara Rasulullah s.a.w, iaitu Safiyyah binti Abdul Mutalib r.aha yang juga merupakan saudara kandung Hamzah r.a. Dalam perang Khandak (5H/ 627M) Safiyyah begitu berani sehingga berjaya membunuh seorang pengintip dari pihak musuh tatkala orang lelaki tidak sanggup melakukannya.

Semangat wanita sahabiah dalam membantu agama Allah sangat tinggi. Lihatlah Dzatun Nithaqain (empunya dua ikatan di pinggang), Asma binti Abu Bakar r.ha. Yang sanggup bersusah payah membantu Rasulullah s.a.w dan ayahandanya Abu Bakar r.a ketika peristiwa hijrah. Asma kemudiannya dalam Ghazwah Tabuk (9H/ 631M) berhelah kepada datuknya tatkala datuknya risau Abu Bakar r.a terlalu banyak mengorbankan harta untuk agama. Isteri kepada Zubair al Awwam r.a dan ibu kepada Abdullah bin Zaubair r.a ini adalah contoh wanita unggul zaman silam yang terdapat banyak teladan pada dirinya.

Tidak ketinggalan Ummu Sulaim r.ha, Ibu kepada Anas bin Malik ini begitu bersemangat berjalan ke sana ke mari membantu pasukan Islam dalam peperangan Uhud. Imam Thabarani menyatakan dari Ummi Sulaim r.ha bahawa Rasulullah s.a.w pernah keluar berjihad dan turut serta bersama baginda sebilangan kaum wanita dari kaum Ansar, maka merekalah yang memberikan minum kepada orang-orang yang sakit, memberi ubat kepada orang-orang yang mengalami kecederaan.

Semangat yang sama yang dimiliki oleh Ummu Haram Binti Milhan r.ha, wanita berjiwa mulia yang sangat cintakan agamanya. Rasulullah s.a.w selalu singgah berehat dirumahnya apabila baginda berkunjung ke Masjid Quba’ kerana jarak rumahnya yang berdekatan dengan masjid tersebut. Pernah Rasulullah s.a.w tidur di rumahnya lalu bermimpi melihat sebahagian umatnya menaiki kapal berjihad di jalan Allah. Dan Ummu Haram meminta baginda mendoakannya agar dapat bersama dengan rombongan yang menaiki kapal tersebut lalu Rasululah s.a.w mendoakannya. Di zaman Amirul Mukninin Uthman r.a, peristiwa itu benar-benar telah berlaku, Ummu Haram telah syahid sewaktu menyertai rombongan Islam yang menaiki kapal ke pulau Cyprus. Allahu Akbar!

Satu lagi kisah yang mashyur tentang Khansa r.ha, penyair agung Islam yang dengan syairnya ia menyemarakkan api pengorbanan kepada keempat-empat anak lelakinya dalam perang Qadisiyyah (15H/ 636m) menentang tentera Parsi di zaman Amirul Mukminin Umar al-Khattab r.a. Keempat-empat mereka telah gugur syahid dalam peperangan itu, dan Khansa r.ha begitu gembira dengan pengorbanan putera-putera kesayangannya itu untuk agama. Sesungguhnya ini adalah satu pengorbanan yang sangat besar. Allahu Akbar! Beliau telah memainkan peranannya sebagai seorang wanita dan ibu yang telah mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Meskipun kaum wanita hidup dalam lingkungan yang terbatas, namun ia memainkan peranan yang sangat besar dalam agama Islam yang tidak mampu dipikul oleh kaum lelaki. Jika wanita memiliki fikir dan kerisauan untuk membangunkan agama sebagaimana fikir yang dimiliki oleh para sahabiah, maka kesannya agama akan lebih cepat tersebar. Wanita diciptakan daripada tulang rusuk sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian yang paling atas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).” (Maksud hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Tulang rusuk kedudukannya dekat dengan hati, dikaitkan dengan sifat wanita yang sangat mudah untuk mempengaruhi hati lelaki tidak kira sama ada dalam hal kebaikan ataupun keburukan Oleh kerana itu musuh Islam sering mengekploitasi dan menggunakan wanita untuk merosakkan orang Islam.

Wanitalah yang memberi dorongan dan didikan kepada anak-anak. Pemikiran anak-anak diasuh dan dibentuk oleh kaum ibu. Anak-anak biasanya akan menghabiskan banyak bersama ibu berbanding ayah. Majoroti populasi penduduk dunia ini adalah di kalangan kaum wanita dan kanak-kanak. Dan kanak-kanak lazimnya lebih rapat dengan ibu berbanding ayahnya. Anak-anak lebih senang mengikuti kata-kata ibu berbanding ayah. Alangkah indahnya jika wanita-wanita Islam zaman ini ada fikir dan semangat keagamaan sebagaimana semangat para sahabiah dalam beragama. Yang dapat mempengaruhi anak-anaknya agar sama-sama bertolong bantu menghidupkan agama.

Allah s.w.t juga telah menganugerahkan kepada wanita kebijaksanaan untuk mencairkan hati lelaki. Sebagai contohnya, kelembutan seorang wanita mampu memujuk suami atau anak-anak supaya pergi ke kedai untuk sesuatu hajat. Alangkah baiknya jika anugerah kebijaksanaan wanita ini disalurkan untuk agama. Jika sifat pandai memujuk ini digunakan untuk manfaat agama, sudah tentu ia mampu memberi rangsangan kepada suami dan anak-anaknya supaya hidup dalam penuh ketaatan kepada Allah s..w.t dan sentiasa ingin mendorong ahli rumahnya mengamalkan agama yang sempurna, serta dapat meniupkan semangat membantu agama di kalangan ahli keluarganya. Bukan setakat suami dan anak-anak, malah masyarakat dan umat juga akan turut sama mendapat manfaatnya.

Sekadar diceritakan beberapa contoh untuk membangkitkan semangat agama di kalangan wanita. Sekarang mari kita renungkan sejauhmanakah peranan kita dalam memandu arah wanita-wanita kita melayari kehidupan dunia pada hari ini, Kemana halatuju isteri, ibu, anak perempuan, adik beradik perempuan kita. Adakah telah wujud bayangan kehidupan sahabiah yang lebih suka supaya mereka dibangkitkan di akhirat dengan gelaran ibu kepada seorang syahid atau isteri kepada seorang syahid dalam diri mereka. Telah terhiaskah sifat-sifat luhur pada diri mereka. Atau mungkinkah kita sedang dalam proses untuk mengikuti suri teladan yang telah ditinggalkan oleh para sahabiah, atau kita baru hendak mula menapak. Tepuk dada tanyalah hati.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ...

Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu (At-Tahrim: 6)

Keinginan setiap sahabiah dahulunya agar ahli keluarga mereka syahid adalah lebih tinggi daripada keinginan kita untuk memiliki rumah besar pada hari ini. Ini semua kerana cinta mereka kepada Allah dan Rasul sangat mendalam dan mereka telah membuktikannya melalui perbuatan dan tindakan mereka. Duhai diri, sebalik kelembutan, keramahan dan kemesraanmu, engkau juga ada tanggungjawab yang besar yang harus ditunaikan untuk umat ini. Adakah engkau bersedia menggalas amanah ini?

Ishak Zaini, 29 Sya’ban 1431 H.



-Selamat Mempertingkatkan Amalan Dalam Menyambut Ramadhan al-Mubarak-




Jazakumullah Umu.. :-)