Selasa, Oktober 15, 2013

Berkorban Demi Cinta


Keagungan ibadah haji bukanlah pada ramainya atau gahnya bilangan manusia yang mengunjungi Baitullah saban tahun.

Akan tetapi keagungan haji adalah pada pengorbanan sebuah keluarga yang mana pengorbanan mereka ini sangat-sangat disukai oleh Allah, sehinggakan Allah telah perintahkan penghulu segala nabi dan rasul beserta umat baginda di seluruh pelusuk dunia sehingga ke hari kiamat untuk datang ke mekah bagi memperingati sejarah pengorbanan keluarga ibrahim yang hebat ini.

Bahkan Allah telah jadikan amalan-amalan yang bersangkut paut dengan sejarah mereka sebagai satu kesempurnaan rukun islam yang wajib ditunaikan oleh umat ini yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi umat islam yang tidak ke mekah pula mereka dituntut untuk menyembelih haiwan ternakan yang dikira sebagai ibadah korban.

Itulah hebatnya pengorbanan sebuah keluarga untuk diingati sepanjang zaman. Seorang suami yang telah lama kepingin untuk mendapatkan anak, dan sebaik sahaja telah dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya meninggalkan anak dan isteri kesayangannya di sebuah tanah tandus yang tiada sumber kehidupan, sanggup pula berjauhan dengan anak dan isteri tercinta bertahun-tahun lamanya demi cintanya kepada Allah untuk menyampaikan agama ke seluruh alam.

Seorang isteri yang teguh imannya biar ditinggalkan, bukan di tempat yang selesa bahkan di sebuah rahang kematian, bersendirian membesarkan anak, selama bertahun-tahun-tahun lamanya setia menanti kepulangan sang suami dari medan dakwah yang tidak diketahui khabar beritanya. Setelah lama terpisah, mereka akhirnya dipertemukan semula apabila usia si anak telah meningkat remaja.

Derita perasaan mereka belum habis di situ, belum puas melerai rindu dan kasih, datang lagi satu ujian yang menggoncang hati dan perasaan iaitu perintah menyembelih anak. Bayangkan jika kita berada di tempat ibrahim a.s, sudahlah lama menunggu untuk mendapatkan anak, sudah dapat anak diperintah berpisah dengan anak, bertahun lamanya baru bertemu diperintahkan pula untuk menyembelih anak. Betapa sedih dan pilunya hati. Namun Ibrahim Khalilullah tetap mendepankan perintah Tuhannya.

Anak yang dijaga oleh Allah biarpun lama berjauhan dengan si bapa, namun teguh juga keimanannya. Demi Allah, dia sanggup untuk dikorbankan.

Dan apabila tiba saat penyembelihan, Allah tukarkan yang disembelih itu bukan anak tetapi seekor kibas. Rupa-rupanyanya Allah ingin menguji hati, adakah perkara yang disayangi sanggup dikorbankan untuk agama.

Justeru, marilah kita sama-sama menghayati kisah pengorbanan agung mereka ini. Mulianya mereka kerana pengorbanan yang mereka berikan yang bukan calang-calang manusia sanggup lakukan. Dan di manakah kedudukan kita di sisi Allah dalam pengorbanan kita? Apa sumbangan dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk agama sepanjang hidup ini? Jadi ayuh kita gunakan diri, masa dan harta kita sebanyak-banyaknya di jalan Allah agar memperolehi cinta Allah yang kita dambakan selama ini sebagai bukti sebenar-benar cinta.

Selamat menyambut Eidul Adha. Semoga Allah mengurnakan kebaikan buat kita sepanjang tahun.

Selamat berkorban demi cinta.

Muhammad Ishak Zaini
15 Oktober 2013
10 Zulhijjah 1434H

2 ulasan:

azharjaafar berkata...

bersiar2 di blog tuan..

Ishak Zaini berkata...

Boleh ba kalau kau.. Nanti saya buat lawatan balas.. :-)