Ahad, Ogos 18, 2013

Ya Allah Keluarkanlah Umat Ini Dari Kehinaan..

Ya Allah.. 
Kehinaan apakah yang datang bertimpa-timpa ke atas umat ini..

Di celah-celah kehinaan yang datang ini kami memohon dari lubuk hati yang paling dalam agar Engkau pandanglah kami dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Mu. Janganlah Engkau memandang kami dengan pandangan kemurkaan dan kemarahan-Mu. Sesungguhnya tidak ada sesuatu apapun di alam ini yang mampu untuk menanggung azab lantaran kemurkaan dan kemarahan-Mu.

Ya Allah..
Sesungguhnya Engkau adalah penguasa yang mentadbir segala sesuatu di alam ini, Engkaulah Raja segala raja, Engkau maha berkuasa memulia dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki sebagaimana Engkau berkuasa menghidup dan mematikan segala sesuatu. Maka keluarkanlah umat ini dari bala kehinaan yang datang ini.

Ya Allah..
Kasihanilah kami umat yang jauh dari baginda s.a.w dan cahaya kenabian ini. Umat akhir zaman yang sentiasa sibuk bergelumang dalam dosa dan noda. Umat zaman kerosakan yang bagai anak kehilangan ibunya. Tiada tempat hendak dituju dan diadukan segala permasalahan. Sememangnya kami amat dahagakan hidayat petunjuk dari-Mu. Kerana tanpa hidayat dan petunjukMu nescaya kami akan lemas dalam lautan kesesatan di akhir zaman ini.

Ya Allah..
Sesungguhnya telah banyak tangan-tangan kotor kami ini menconteng arang ke muka baginda dan para sahabat yang mulia. Tangan-tangan kotor ini juga yang telah merobek hati dan perasaan baginda. Dalam keadaan begini adakah masih sudi baginda yang mulia mengakui kami sebagai umatnya di hari pembalasan kelak ketika mana kami sangat berhajatkan syafaat dari baginda yang mulia.

Ya Allah..
Kasihanilah kami. Jangan Engkau fahamkan kepada kami agama ini menurut apa yang kami faham, akan tetapi Engkau fahamkanlah kepada kami agama ini menurut apa yang nabi s.a.w dan para sahabat fahami. Kerana jalan merekalah jalan yang Engkau redhai di dunia dan akhirat.

Ya Allah..
Kembalikanlah kami kepada kehidupan yang dibawa oleh baginda s.a.w. Satukanlah hati-hati kami, semaikan sifat pemaaf, penyabar dan penyayang dalam hati kami. Buangkanlah segala apa perkara yang memecahbelahkan kami. Engkau zahirkanlah yang hak serta hancurkanlah segala yang batil. Naungilah umat ini dalan lembayung rahmat dan kasih sayang-Mu. Amin ya Robbal 'alamin.

-Doa untuk umat terutama buat mereka di Mesir dan Syria.

Muhammad Ishak Zaini
10 Syawal 1434H

Tiada ulasan: