Selasa, April 02, 2013

Catatan Dari Semporna: Pasca Pencerobohan & Percutian Mac 2013

Alhamdulillah. Allah sebaik-baik pemelihara. Ketika datangnya kesusahan kemana hati mahu dipalingkan, kemana lagi jika bukan kepada Allah yang akhirnya kesitu jua kita akan dikembalikan. Dialah raja segala raja, Dialah sang pemilik mutlak segala kerajaan di dunia dan akhirat. Tiada mana-mana kekuatan di dunia ini yang setanding dengan kekuatan dan kekuasaan-Nya yang Maha Kuasa. Untuk mengalahkan musuh-musuh Allah, Allah tidak perlukan ketenteraan dan persenjataan yang canggih, bahkan cukup bagi Allah untuk menghantar selemah-lemah nyamuk untuk mengalahkan Namrud dan bala tenteranya, juga cukup Allah mewakilkan burung Ababil yang kecil untuk mengalahkan Abrahah dan pasukan bergajahnya. Kekuatan musuh-musuh Allah di sisi-Nya tidak lebih hanya bagaikan kekuatan sarang labah-labah sahaja. Allahlah yang maha kuasa lagi maha bijaksana.

Alhamdulillah keadaan di Semporna telah beransur pulih sejak pencerobohan tetamu yang tak diundang beberapa minggu lepas sehingga telah meragut banyak nyawa sama ada di pihak negara kita apatah lagi di pihak En. Kiram. Gambar sekitar Semporna sehari-dua selepas peristiwa berbalas tembakan tempoh hari klik sini dan sini.

Sesungguhnya ini semua adalah ujian dari Allah. Apabila Allah datangkan ujian, maka seharusnya kita melihat dari sudut yang baik. Bagi rakan-rakan di Semporna, anggap sahaja ini adalah peluang dan peringatan yang Allah berikan agar kita lebih banyak meningkatkan amal ibadah serta mempersiapkan bekalan untuk kehidupan akhirat kita nanti. Pencerobohan ini membuatkan kita berasa bahawa kematian itu amatlah dekat.

Ada baiknya kita bersatu di saat-saat kedaulatan negara cuba dinodai oleh pihak luar ini. Sama-sama kita doakan untuk pasukan keselamatan kita sanggup menempuh pelbagai kesusahan dan sanggup mempertaruhkan nyawa di barisan hadapan menghadapi musuh.

Apabila abang-abang 'biru' dan 'hijau' bergabung bendera tenaga mempertahankan kedaulatan negara.
Apabila kami ceritakan pengalaman kami di Facebook semasa kejadian berbelas tembakan tempoh hari, bandar Semporna menjadi lengang selama beberapa hari, sehinggakan semua kedai dan pasar ditutup, maka selama dua hari kami makan nasi berlaukkan sardin, (itupun kami ceritakan secara berseloroh) maka ramai yang bertanya khabar simpati walhal kenyang juga makan sardin pun. 

Ketahuilah bahawa makan nasi berlaukkan sardin bagaikan tiada apa-apa dan jauh jika hendak dibandingkan dengan kehidupan penghulu segala nabi iaitu junjungan besar kita Rasulullah s.a.w, sesungguhnya kelaparan adalah 'tetamu' yang selalu berkunjung ke rumah nabi s.a.w dan para sahabat baginda, bahkan dapur di rumah baginda s.a.w pernah tidak berasap selama tiga purnama. Sukar untuk kita bayangkan namun itulah hakikatnya. Penghuni-penghuni rumah tersebut kenyang dengan meminum air dan makan buah tamar sahaja selama beberapa bulan tersebut. Sedangkan kami masak sardin tetap berasap juga dapur, maka kena muhasabah lagi diri yang mengaku sebagai pengikut nabi ini, sedangkan kehidupan tidak sesederhana nabi bahkan melimpah ruah dengan pelbagai kemewahan. (bagaimana pandangan nabi pada kita yang selalu kekenyangan ini agaknya) Semoga Allah s.w.t ampuni kita.

Usaha agama di Semporna dan Felda sahabat masih 'dikuarantin', kami diputuskan untuk menjalankan usaha di dalam masjid sahaja buat masa ini. Mujahadahnya cuma satu iaitu tekan perasaan. Jadi bersabarlah menekan perasaan masing-masing, taat sahajalah dengan keputusan, sesungguhnya dalam ketaatan dan kesabaran itu akan Allah berikan hidayat yang mencurah-curah. Bersabarlah kamu sebagaimana bersabarnya para sahabat ketika mana memendam perasaan ketika Rasulullah s.a.w mempersetujui perjanjian Hudaibiyah yang nampak seperti mengutungkan musuh, namun disebalik ketaatan dan kesabaran para sahabat, Allah s.w.t kurniakan kemenangan yang besar buat mereka. Sama-samalah kita doakan keselamatan untuk ummat di dunia dan akhirat insyaAllah. Bagi rakan-rakan yang tinggal di kawasan-kawasan yang aman damai, buatlah usaha bersungguh-sungguh.



Beralih topik kepada percutian pula, bersempena cuti sekolah bulan Mac 2013 biarpun kes pencerobohan Sabah masih belum selesai sepenuhnya, kami sekeluarga (Abi, Ummi, Asma' dan baby dalam perut) telah berkesempatan untuk berpusing dan menyinggah di beberapa tempat di negeri bawah bayu menyambung silaturrahim dengan saudara mara di sini. Alhamdulillah.

Perjalanan sejauh kira-kira 1500km selama 7hari.
Alhamdulillah bermacam jalan lasak dilalui (100km jalan gravel/kerikil kalabakan-sipulut, naik turun jalan banjaran Croker yang curam dan berkabus Keningau-Papar, naik turun bukit Mesilau Kundasang) tiada kemalangan dan sebarang kerosakan berlaku. Yang penting doa mau baca, sama alat-alat ganti kecemasan kereta yang asas kena bawa sama la.

Semporna ke Tawau 100km, Tawau ke Kalabakan (jalan tar 160km), kemudian Kalabakan ke Sipulut (100km jalan gravel/`kerikil macam gambar di atas), lepas tu jalan tar balik dah. Ketika di jalan kerikil, kami hanya mampu tersenyum melihat satu persatu double cab, lori, dan kenderaan-kenderaan lasak yang lain memotong kami.

Peringatan bagi yang nak melalui jalan kalabakan, selain kelengkapan asas kecemasan kereta, sila pastikan anda ke tandas awal-awal sebelum bertolak. Kerana anda mungkin akan berjalan selama 5-7jam bagi yang bukan kenderaan lasak macam kami tanpa berjumpa dengan sebarang masjid/surau/ dan tandas. Kami bertolak dari Tawau jam 9pagi, sampai di Pendawan jam 4petang (100km lagi nak ke Keningau), baru jumpa surau, itupun tiada tandas, jadi terpaksa menumpang tandas di sebuah sekolah di Pendawan.

Inilah jalan banjaran Croker Keningau curam dan berkabus, kabus sangat tebal jadi tak boleh memandu laju, lagipun jalan naik bukit sangat curam, sehingga ada ketikanya terpaksa pakai gear satu, kalau jalan kota kinabalu-kundasang pun tahan lagi boleh maintan gear dua atau gear tiga, jalan banjaran croker lagi mencabar rupanya. Tapi jalan yang paling mencabar di dunia ini ialah jalan untuk menuju ke syurga. Gambar ihsan di ambil dari sini.
Tiga malam kami di Keningau, menginap di rumah Ustaz Yusuf Kg Merampong, sepupu ma yang berasal dari Kelantan. Kawasan kampung di atas bukit, jadi pagi-pagi cuaca sangat sejuk. Ummi dan Kak Long menikmati udara pergunungan di pagi hari.
Kak Long dapat geng baru kat Keningau, 'Pakcik' Arsyad dan 'Pakcik' Asyraf. Anak Pak Long Abi. Mereka berdua ini adalah sepupu Abi, jadi Kak Long adalah anak saudara mereka.
Ummi terasa muda 25tahun apabila diapit oleh anak dara dan anak teruna.
Syok menginap di rumah kampung macam ni.
Kak Long @ One Borneo.
Layan bebudak naik dinosour.
Menyoping di Kota Kinabalu
Berdating di pantai Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Bebudak dah tertewas kepenatan. Mok Fatin tetap riang gembira di belakang.
Dari Kota Konabalu balik Ke Keningau mendaki banjaran Crocker lagi sekali, singgah di kedai pakcik di bandar Keningau D'Bayu, dua kedai sebelah menyebelah iaitu sebuah kedai barangan runcit dan sebuah lagi restoran makan.
Tolong promote hehe. kalau ke Keningau jemputlah singgah restoran D'Bayu 24jam ni, pelbagai menu boleh di order sama ada bercita rasa semenanjung mahupun cita rasa tempatan. Sedap makan kat sini insyaAllah. Alhamdulillah.
Air sirap ni percuma untuk para pelanggan, sebagai saham akhirat pemilik restoran.
Kedai runcit 24jam bersebelahan restoran tadi.
Masjid Kg Merampong Keningau
Next Journey: Kundasang tempat sejuk.
New Zealand Malaysia: Desa Catle Kundasang.
Kak Long dan Ummi bergambar kenangan bersama lembu-lembu tenusu.
Kak Long dan awek Abi.
Upacara membeli sayur dan ole-ole untuk kawan-kawan di Semporna.
Abang-abang polis banyak buat roadblock di seluruh Sabah, lebih sepuluh roadblock kami tempuh rasanya sepanjang perjalanan ini. Terima kasih banyak-banyak buat pasukan keselamatan, jasamu dikenang sanggup berpanas berhujan demi menjaga kedaulatan negara. Buat yang terkorban, al-Fatihah kami kirimkan, namamu tetap mengharum di sanubari rakyat Malaysia.
Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke Semporna. Sekejap je rasa cuti seminggu. Jadi bisnes rumpai laut kami insyaAllah berjalan seperti biasa (sempat lagi tu). InsyaAllah baik untuk kesihatan dan kecantikan. Bagi rumpai laut purple gred AAA dan gold gred AA kami jual pada harga RM33/sekilo termasuk pos untuk pembelian 1-5kg. bagi pembelian 5kg ke atas kami jual pada harga RM30/sekilo termasuk pos. Bagi nak nak beli paket kecil pun boleh. Untuk sepeket kecil 100gram kami jual RM10 termasuk pos. Jemput singgah kedai kami ye. :) Maklumat Lanjut Sila Klik Sini


Muhammad Ishak Zaini
2 April 2012
21 Jamadil Awal 1434H