Jumaat, Oktober 18, 2013

Blog Berwajah Baru


Sambil-sambil tolong buatkan blog orang dan blog sekolah, sambil-sambil tu juga beri nafas baru pada blog sendiri yang makin lama makin lesu di telan arus Facebook yang semakin lama semakin tidak terlawan oleh Blogger. Ledakan teknologi masih belum perlahan, saban waktu ada sahaja penemuan-penemuan baru di dunia tanpa sempadan ini. Semoga iman kita juga seiring juga updatenya insyaAllah. Makin kuat arus teknologi makin kuat juga kena usahakan atas iman dengan memperbanyakkan cakap, dengar, lihat dan fikirkan tentang kebesaran Allah s.w.t. Semoga Allah selamatkan kita di dunia dan akhirat insyaAllah. Sesungguhnya kehidupan dunia ini tidak lebih dari sebuah persinggahan sementara untuk menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi. Hanya iman dan takwa sebagai sebaik-baik bekalan untuk kita bawa ke sana nanti.

Muhammad Ishak Zaini
18 Oktober 2013
14 Zulhijjah 1434H





Selasa, Oktober 15, 2013

Berkorban Demi Cinta


Keagungan ibadah haji bukanlah pada ramainya atau gahnya bilangan manusia yang mengunjungi Baitullah saban tahun.

Akan tetapi keagungan haji adalah pada pengorbanan sebuah keluarga yang mana pengorbanan mereka ini sangat-sangat disukai oleh Allah, sehinggakan Allah telah perintahkan penghulu segala nabi dan rasul beserta umat baginda di seluruh pelusuk dunia sehingga ke hari kiamat untuk datang ke mekah bagi memperingati sejarah pengorbanan keluarga ibrahim yang hebat ini.

Bahkan Allah telah jadikan amalan-amalan yang bersangkut paut dengan sejarah mereka sebagai satu kesempurnaan rukun islam yang wajib ditunaikan oleh umat ini yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi umat islam yang tidak ke mekah pula mereka dituntut untuk menyembelih haiwan ternakan yang dikira sebagai ibadah korban.

Itulah hebatnya pengorbanan sebuah keluarga untuk diingati sepanjang zaman. Seorang suami yang telah lama kepingin untuk mendapatkan anak, dan sebaik sahaja telah dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya meninggalkan anak dan isteri kesayangannya di sebuah tanah tandus yang tiada sumber kehidupan, sanggup pula berjauhan dengan anak dan isteri tercinta bertahun-tahun lamanya demi cintanya kepada Allah untuk menyampaikan agama ke seluruh alam.

Seorang isteri yang teguh imannya biar ditinggalkan, bukan di tempat yang selesa bahkan di sebuah rahang kematian, bersendirian membesarkan anak, selama bertahun-tahun-tahun lamanya setia menanti kepulangan sang suami dari medan dakwah yang tidak diketahui khabar beritanya. Setelah lama terpisah, mereka akhirnya dipertemukan semula apabila usia si anak telah meningkat remaja.

Derita perasaan mereka belum habis di situ, belum puas melerai rindu dan kasih, datang lagi satu ujian yang menggoncang hati dan perasaan iaitu perintah menyembelih anak. Bayangkan jika kita berada di tempat ibrahim a.s, sudahlah lama menunggu untuk mendapatkan anak, sudah dapat anak diperintah berpisah dengan anak, bertahun lamanya baru bertemu diperintahkan pula untuk menyembelih anak. Betapa sedih dan pilunya hati. Namun Ibrahim Khalilullah tetap mendepankan perintah Tuhannya.

Anak yang dijaga oleh Allah biarpun lama berjauhan dengan si bapa, namun teguh juga keimanannya. Demi Allah, dia sanggup untuk dikorbankan.

Dan apabila tiba saat penyembelihan, Allah tukarkan yang disembelih itu bukan anak tetapi seekor kibas. Rupa-rupanyanya Allah ingin menguji hati, adakah perkara yang disayangi sanggup dikorbankan untuk agama.

Justeru, marilah kita sama-sama menghayati kisah pengorbanan agung mereka ini. Mulianya mereka kerana pengorbanan yang mereka berikan yang bukan calang-calang manusia sanggup lakukan. Dan di manakah kedudukan kita di sisi Allah dalam pengorbanan kita? Apa sumbangan dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk agama sepanjang hidup ini? Jadi ayuh kita gunakan diri, masa dan harta kita sebanyak-banyaknya di jalan Allah agar memperolehi cinta Allah yang kita dambakan selama ini sebagai bukti sebenar-benar cinta.

Selamat menyambut Eidul Adha. Semoga Allah mengurnakan kebaikan buat kita sepanjang tahun.

Selamat berkorban demi cinta.

Muhammad Ishak Zaini
15 Oktober 2013
10 Zulhijjah 1434H

Isnin, September 23, 2013

Sebuah Nasihat Dakwah


Petikan bayan maghrib markaz dakwah dan tabligh Tawau Sabtu 21/9/2013 yang disampaikan oleh Hj Manshah.

Nasihat Maulana Ibrahim Dewla Dammat Barakatuhu (guru yang mengajar kitab sahih muslim di daurah hadith Madrasah Kasyiful 'Ulum Nizamuddin, Delhi - juga seorang ulama dalam usaha dakwah) pada rakan seusaha di Malaysia:

-Dalam masa 15 minit kita boleh duduk untuk habiskan zikir pagi dan petang, dalam masa 15 minit juga kita boleh gunakan untuk berdakwah yang akan menyebabkan satu orang yang jauh dari Allah akan mejadi dekat dengan Allah. Dan dalam 15 minit juga seseorang itu dapat sia-siakan masanya melakukan dosa dan memaksiati Allah. Sebagai orang beriman, kita kena gunakan masa untuk dipenuhi dengan amalan-amalan agama.

-Buah daripada usaha agama ni ialah untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah. Sebab itulah kita biasa mendengar kisah para sahabat sangat mudah dan banyak menangis kerana takutkan Allah. Setiap hari mereka telah sibukkan diri mereka untuk usaha atas agama maka sifat takwa telah menjadi sifat yang sebati dalam diri mereka. Orang yang tidak ada dalam hatinya rasa takut kepada Allah maka dia belum mula lagi melakukan usaha agama.

-Kita kena sibukkan diri dengan menghidupkan lima amal masjid, dengan perantaraan lima amal jemaah masjid, maka suasana agama akan mudah hidup di kampung kita. (Lima amal: Mesyuarat harian, taklim, dakwah 2jam setengah, ziarah mingguan, dan keluar 3 hari setiap bulan.)

-Cara paling mudah untuk hidupkan suasana agama di rumah pula ialah dengan menghidupkan bacaan taklim rumah bersama anak dan isteri setiap hari.

-Dalam menjalankan usaha agama maka perlu ada dua sifat iaitu ikhlas dan ihsan.

-Jadikan diri macam air hujan yang bergerak menyirami bumi sehingga semua hidupan dan tanah yang kontang tumbuh dan hidup dengan subur.

-Di akhirat kita akan ditanya berkenaan amal-amal agama yang kita lakukan di dunia. Maka kita hendaklah usahakan agar amal-amal agama kita dapat dilakukan dengan menyempurnakan semua sunnah-sunnah nabi di dalam amal tersebut.

-Allah akan menganugerahkan dengan dua perkara bagi yang istiqamah mengamalkan sunnah2 nabi dalam kehidupan seharian: 1. menjadikan orang lain sayang pada dia. 2. musuh akan menjadi gerun kepadanya. Jadi usahakanlah untuk sempurnakan sunnah-sunnah nabi dalam diri kita.

-Lakukanlah usaha agama ini dengan sabar kerana sabar ialah sifat yang ada pada semua nabi-nabi. Telah berlaku satu kisah Rasulullah pernah meminjam sesuatu dari seorang yahudi dan akan dibayar dengan buah tamar, beberapa hari sebelum tarikh yang dijanjikan oleh Rasulullah untuk membayar maka yahudi datang telah datang memarahi Rasulullah menuntut hutangnya. Saidina umar yang ada disamping rasulullah pada ketika itu tidak senang dengan sikap yahudi tersebut maka umar telah memarahi kembali yahudi tadi. Rasulullah dengan sabar dan tenang telah menasihati umar agar tidak memarahi yahudi tadi bahkan rasulullah perintahkan umar untuk mengambil buah tamar dan diserahkan kepada yahudi tadi serta dilebihkan sedikit. Rasulullah beritahu yang dilebihkan sedikit itu adalah sebab saidina umar telah memarahi yahudi tadi. Dengan sebab sifat sabar dan akhlak sebagini akhirnya yahudi tadi telah memeluk islam.

-Ulama-ulama yang menyokong usaha agama kita kena menyayangi ulama tersebut, dan ulama yang tidak menyokong usaha agama kita kena sayangi mereka dua kali lebih dari ulama yang menyokong usaha agama. Setiap teguran mereka jangan dimarah bahkan kita kena terima dengan baik. Mereka adalah waris nabi-nabi yang kita kena dampingi dan muliakan.

-Untuk maju dalam iman kita kena usahakan 3 perkara ini: 1. Tinggalkan dosa dan maksiat-maksiat yang telah terbiasa kita lakukan. 2. Jaga takbiratul ula solat berjemaah di rumah-rumah Allah. 3. Sebelum azan lagi kita dah ada di masjid menunggu untuk solat.

-Apabila kita mendapat nasihat dalam melakukan sesuatu amalan, maka kita kena terus beramal dan istiqamahkan diri dalam amal sebagaimana yang dinasihati. Seorang sahabat telah ditegur oleh Rasulullah kerana bersendawa dengan kuat, maka beliau terus amal dan istiqamah dengan nasihat tersebut, diberitakan bahawa selama 30 tahun selepas itu beliau tidak lagi pernah makan dengan kenyang yang membolehkan beliau sendawa lagi.

-Kita bukan sahaja perlu amalkan agama bahkan perlu usahakan untuk sempurnakan setiap amal-amal agama.

-Kita kena sedar bahawa harta kita bukanlah kita punya kerana harta dan rezeki yang kita itu adalah Allah yang punya, jadi jangan gunakan harta kita ikut nafsu kita. Sebaik-baik harta ialah harta yang dibelanjakan di jalan Allah.

Semua sedia korbankan diri, masa dan harta untuk agama insyaAllah?


Muhammad Ishak Zaini
23 September 2013
18 Zulkaedah 1434H

Khamis, Ogos 29, 2013

Alhamdulillah, Allah Anugerahkan Kak Long Adik Lelaki..


Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kami seorang lagi cahaya mata buat penyeri rumah tangga bahagia yang dibina. Bayi lelaki ini selamat dilahirkan secara normal di Hospital Besar Tawau pada hari Ahad 25 Ogos 2013 bersamaan 18 Syawal 1434H jam 04.45 pagi bertepatan dengan laungan azan Subuh waktu di Sabah. Di sini dikongsikan beberapa keping gambar untuk tatapan kaum keluarga, saudara mara, dan kawan-kawan terutama yang berada di semenanjung. Jazakumullahu khairan jazak dan terima kasih tidak terhingga atas doa dan sokongan kawan-kawan yang tidak putus-putus. 

Angah 3.5kg.. kak long dulu 3.9kg..
Sepanjang mengandungkan anak ini Alhamdulillah tidak ada sebarang masalah besar yang berlaku, agaknya sudah terbiasa pengalaman mengandungkan anak pertama dahulu. Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kesakitan yang ditanggung dapat diserap dengan baik dari segi fizikal dan emosi demi zuriat yang tercinta.

Ada dua atau tiga tarikh jangkaan yang diberikan pada mulanya iaitu 23 Ogos dari klinik swasta yang kami pergi, manakala jangkaan dari pihak hospital Semporna pula ialah sama ada 18 atau 19 Ogos. Dan Allah sebaik-baik perencana telah menetapkan kelahiran bayi ini pada 25 Ogos, beberapa hari selepas sambutan hari lahir ummi yang disambut pada 22 Ogos, dan tarikh 25 Ogos itu juga bermakna tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang sambutan hari kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos. Wan (nenek Kak Long dan Angah) juga lahir di bulan Ogos iaitu pada 8 Ogos begitu juga dengan mak Udanya yang lahir pada 31 Ogos.

Memandangkan blog ummi telah lama tidak berupdate kerana sibuk menguruskan anak-anak, maka biarlah abi yang menceritakan perjalanan kisah kelahiran ini secara ringkas. Kisahnya bermula apabila ummi mula merasa sakit kuat hendak bersalin bermula pada Jumaat malam, maka segala kelengkapan disiapkan pada malam itu juga namun kekerapan sakit masih lagi berjarak setengah jam-setengah jam, malah kami sempat tidur lagi malam tersebut. Sehinggalah keesokan tengah hari (Sabtu) barulah kami bersiap ke hospital Semporna namun pihak hospital maklumkan bahawa bukaan masih lagi 1.5cm, dan kami disarankan untuk ke hospital Tawau kerana kelengkapan di hospital tersebut lebih selesa berbanding Hospital Semporna. 

Bilik bersalin hospital Semporna
Maka kami pun baliklah ke rumah dahulu setelah singgah bermesyuarat sambil pekena 'nasi lalap'- makanan tradisi masyarakat Sabah Tenggara di sebuah restoran berdekatan. Maka kira-kira selepas Asar barulah kami bertolak ke Tawau yang jaraknya kira-kira 100km dari Semporna, kami tiba di Tawau pada waktu maghrib dan terus mencari penginapan untuk bermalam. 

Kemudian selepas Isyak barulah kami ke Hospital Tawau untuk melapor diri. Kekerapan sakit pada ketika ini adalah berselang kira-kira 20 minit-20 minit, itupun kami minta untuk pulang dahulu dan akan datang kemudian. Dalam pada itu sempat kami ke shopping kompleks lagi, mudah-mudahan dengan banyak berjalan akan memudahkan ummi bersalin. Kira-kira jam 10 malam kami pulang semula ke hotel. Tidak lama selepas itu kira-kira jam 12 malam ummi mengadu sakit kali ini berselang 10 minit-10 minit. dalam pada bersiap sehingga jam 1 pagi ummi mengadu sakit berselang 8-5 minit sekali tanda waktu bersalin semakin hampir, maka kamipun sekali lagi bergegas ke Hospital Tawau. Setibanya di Hospital, ummipun terus dimasukkan ke bilik bersalin manakala abi pula menjaga kak long di luar hospital.

Dalam pada menunggu ummi bersalin, sempatlah abi membaca manzil dan yassin beberapa kali. Pengawal hospital datang berjumpa saya dan menasihati supaya abi berehat sahaja dahulu di dalam kereta, kalau ada apa-apa hal beliau akan memanggil saya sambil mengambil nombor pendaftaran kereta, beliau kasihankan kak long takut-takut kepenatan. Banyak saya dapat belajar dari akhlak pengawal keselamatan itu, bermacam kerenah yang datang semua dilayan dengan baik. Terima kasih kak, sempat tolong jaga kak long sekejap, sempat hantarkan barang ummi ke kereta dan lain-lain pertolongannya yang amat abi hargai.

Bilik bersalin hospital Tawau. Kak Long dulupun lahir di sini. Alhamdulillah dua-dua kali dapat doktor perempuan.
Dalam melayan kak long menangis, mngamuk, meragam sambil melayan perasaan di kereta sedar-sedar sudah kedengaran azan Subuh, bagai tak sedar jam-jam yang berlalu maka  abipun mengejutkan kak long yang tertidur untuk ikut abi solat, sebelum ke surau kami singgah la sekejap di bilik bersalin dan kata pengawal Alhamdulillah isteri dah selamat bersalin. Katanya bolehlah singgah tengok isteri dan baby sekejap. Alhamdulillah syukur, syukur, syukur ya Allah.. Akan tetapi apabila abi masuk ke wad bersalin hanya ummi yang kelihatan, baby masih sedang diuruskan. Abi dan kak long pun pergilah ke surau dahulu untuk solat subuh sementara menunggu baby disiapkan sebelum tu sujud syukur dahulu kerana isteri dan baby selamat. Allah maha kuasa. Betapa disyukuri nikmat ini. 

Kak Long penat tunggu adik dalam kereta..
Selepas itu abi dan kak long pun dapatlah melihat dan berjumpa sebentar dengan baby, sempat azan dan iqamatkan baby sebelum balik ke hotel berehat setelah seharian bersengkang mata melayan kerenah budak satu tahun lapan bulan sorang ni. Menjelang zohor kami ke hospital semula untuk mengambil ummi dan baby pulang, dan Alhamdulillah selepas asar kami telah dibenarkan pulang. Petang itu juga kami terus ke Semporna.
Azan dan Iqamat
Kak Long dan Angah..
Maka kini bermulalah tugas rasmi abi untuk bersengkang mata menguruskan pelbagai perkara dengan penuh kesabaran seperti merawat ummi, membasuh berak kencing anak-anak, memandikan anak, memasak air panas untuk ummi, memasak dengan masakan yang sedap, mencuci pakaian, dan sebagainya. Terima kasih ummi kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepada abi untuk menguruskan rumah tangga dengan baik. Terima kasih kerana telah sanggup menaggung sakit yang bukan sedikit untuk zuriat-zuriat kita ini. Ini baru permulaan dan tanggungjawab serta tugas kita demi anak-anak ini masih banyak yang belum sesesai.


Abu Umar,
Muhammad Ishak Zaini
29 Ogos 2013
22 Syawal 1434H


Ahad, Ogos 18, 2013

Ya Allah Keluarkanlah Umat Ini Dari Kehinaan..

Ya Allah.. 
Kehinaan apakah yang datang bertimpa-timpa ke atas umat ini..

Di celah-celah kehinaan yang datang ini kami memohon dari lubuk hati yang paling dalam agar Engkau pandanglah kami dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Mu. Janganlah Engkau memandang kami dengan pandangan kemurkaan dan kemarahan-Mu. Sesungguhnya tidak ada sesuatu apapun di alam ini yang mampu untuk menanggung azab lantaran kemurkaan dan kemarahan-Mu.

Ya Allah..
Sesungguhnya Engkau adalah penguasa yang mentadbir segala sesuatu di alam ini, Engkaulah Raja segala raja, Engkau maha berkuasa memulia dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki sebagaimana Engkau berkuasa menghidup dan mematikan segala sesuatu. Maka keluarkanlah umat ini dari bala kehinaan yang datang ini.

Ya Allah..
Kasihanilah kami umat yang jauh dari baginda s.a.w dan cahaya kenabian ini. Umat akhir zaman yang sentiasa sibuk bergelumang dalam dosa dan noda. Umat zaman kerosakan yang bagai anak kehilangan ibunya. Tiada tempat hendak dituju dan diadukan segala permasalahan. Sememangnya kami amat dahagakan hidayat petunjuk dari-Mu. Kerana tanpa hidayat dan petunjukMu nescaya kami akan lemas dalam lautan kesesatan di akhir zaman ini.

Ya Allah..
Sesungguhnya telah banyak tangan-tangan kotor kami ini menconteng arang ke muka baginda dan para sahabat yang mulia. Tangan-tangan kotor ini juga yang telah merobek hati dan perasaan baginda. Dalam keadaan begini adakah masih sudi baginda yang mulia mengakui kami sebagai umatnya di hari pembalasan kelak ketika mana kami sangat berhajatkan syafaat dari baginda yang mulia.

Ya Allah..
Kasihanilah kami. Jangan Engkau fahamkan kepada kami agama ini menurut apa yang kami faham, akan tetapi Engkau fahamkanlah kepada kami agama ini menurut apa yang nabi s.a.w dan para sahabat fahami. Kerana jalan merekalah jalan yang Engkau redhai di dunia dan akhirat.

Ya Allah..
Kembalikanlah kami kepada kehidupan yang dibawa oleh baginda s.a.w. Satukanlah hati-hati kami, semaikan sifat pemaaf, penyabar dan penyayang dalam hati kami. Buangkanlah segala apa perkara yang memecahbelahkan kami. Engkau zahirkanlah yang hak serta hancurkanlah segala yang batil. Naungilah umat ini dalan lembayung rahmat dan kasih sayang-Mu. Amin ya Robbal 'alamin.

-Doa untuk umat terutama buat mereka di Mesir dan Syria.

Muhammad Ishak Zaini
10 Syawal 1434H

Sabtu, Ogos 10, 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Jalanilah kehidupanmu seperti menyambut bulan ramadan, nescaya kematianmu akan menjelma seperti menyambut anak bulan syawal. -Al 'alamah maulana In'amul Hassan al Kandahlawi rah.a.

Maaf zahir batin dari kami. Mohon kawan kawan tolong doakan juga anak kedua kami yang bakal lahir bila bila masa dari sekarang semoga Allah permudahkan serta jadikannya anak yang soleh. Jazakumullahu khairan jazak.

Muhammad Ishak Zaini
2 Ramadan 1434H
10Ogos 2013

Rabu, Jun 05, 2013

Dunia Persinggahan


Dunia hanya tempat untuk kita singgah. Seratus tahun dahulu kita belum ada di dunia ini dan seratus tahun akan datang pun insyaAllah kita bukan lagi penghuni dunia ini. Yakinlah bahawa apa-apa yang kita kecapi di kehidupan dunia ini hanya bersifat sementara, jika kaya harta sesungguhnya kaya harta itu hanya kaya sementara, begitu juga dengan pangkat darjat, kecantikan, kesenangan, kesihatan, kepandaian, kemudaan semuanya hanya bersifat sementara kerana kita adalah bakal sekujur mayat akhirnya. 

Kematian merupakan pengakhiran bagi sebuah kehidupan yang sementara, dan permulaan kepada sebuah kehidupan yang kekal abadi.

Sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa untuk kehidupan kita yang kekal abadi nanti adalah iman dan amal soleh. Dan peluang yang Allah berikan untuk kita persiapkan bekalan iman dan amal soleh adalah sekarang dengan dengan umur yang kita ada sebagai modalnya. Apabila datang kematian maka peluang untuk beriman dan beramal akan tertutup. 

Jadi rebutlah peluang yang kita ada sekarang ini sebaiknya. Basahkan lidah dengan al-quran, hidupkan hati dengan zikrullah, ringankan kaki melangkah ke rumah-rumah Allah, perbanyakkan solat2 sunat, bermurah hatilah dalam bersedekah, ajak mengajaklah kepada kebaikan serta berlumba-lumbalah dalam perkara ketaatan. Sementara ruang masa dan waktu yang ada ini belum tertutup.

Kerana dunia ini hanya sebuah tempat yang kita singgah bagi mencari bekalan sebanyak-banyaknya agar akhirat kita nanti beroleh kesenangan dan kebahagiaan yang hakiki.

Muhammad Ishak Zaini
5 Jun 2013
26 Rejab 1434H

Selasa, April 02, 2013

Catatan Dari Semporna: Pasca Pencerobohan & Percutian Mac 2013

Alhamdulillah. Allah sebaik-baik pemelihara. Ketika datangnya kesusahan kemana hati mahu dipalingkan, kemana lagi jika bukan kepada Allah yang akhirnya kesitu jua kita akan dikembalikan. Dialah raja segala raja, Dialah sang pemilik mutlak segala kerajaan di dunia dan akhirat. Tiada mana-mana kekuatan di dunia ini yang setanding dengan kekuatan dan kekuasaan-Nya yang Maha Kuasa. Untuk mengalahkan musuh-musuh Allah, Allah tidak perlukan ketenteraan dan persenjataan yang canggih, bahkan cukup bagi Allah untuk menghantar selemah-lemah nyamuk untuk mengalahkan Namrud dan bala tenteranya, juga cukup Allah mewakilkan burung Ababil yang kecil untuk mengalahkan Abrahah dan pasukan bergajahnya. Kekuatan musuh-musuh Allah di sisi-Nya tidak lebih hanya bagaikan kekuatan sarang labah-labah sahaja. Allahlah yang maha kuasa lagi maha bijaksana.

Alhamdulillah keadaan di Semporna telah beransur pulih sejak pencerobohan tetamu yang tak diundang beberapa minggu lepas sehingga telah meragut banyak nyawa sama ada di pihak negara kita apatah lagi di pihak En. Kiram. Gambar sekitar Semporna sehari-dua selepas peristiwa berbalas tembakan tempoh hari klik sini dan sini.

Sesungguhnya ini semua adalah ujian dari Allah. Apabila Allah datangkan ujian, maka seharusnya kita melihat dari sudut yang baik. Bagi rakan-rakan di Semporna, anggap sahaja ini adalah peluang dan peringatan yang Allah berikan agar kita lebih banyak meningkatkan amal ibadah serta mempersiapkan bekalan untuk kehidupan akhirat kita nanti. Pencerobohan ini membuatkan kita berasa bahawa kematian itu amatlah dekat.

Ada baiknya kita bersatu di saat-saat kedaulatan negara cuba dinodai oleh pihak luar ini. Sama-sama kita doakan untuk pasukan keselamatan kita sanggup menempuh pelbagai kesusahan dan sanggup mempertaruhkan nyawa di barisan hadapan menghadapi musuh.

Apabila abang-abang 'biru' dan 'hijau' bergabung bendera tenaga mempertahankan kedaulatan negara.
Apabila kami ceritakan pengalaman kami di Facebook semasa kejadian berbelas tembakan tempoh hari, bandar Semporna menjadi lengang selama beberapa hari, sehinggakan semua kedai dan pasar ditutup, maka selama dua hari kami makan nasi berlaukkan sardin, (itupun kami ceritakan secara berseloroh) maka ramai yang bertanya khabar simpati walhal kenyang juga makan sardin pun. 

Ketahuilah bahawa makan nasi berlaukkan sardin bagaikan tiada apa-apa dan jauh jika hendak dibandingkan dengan kehidupan penghulu segala nabi iaitu junjungan besar kita Rasulullah s.a.w, sesungguhnya kelaparan adalah 'tetamu' yang selalu berkunjung ke rumah nabi s.a.w dan para sahabat baginda, bahkan dapur di rumah baginda s.a.w pernah tidak berasap selama tiga purnama. Sukar untuk kita bayangkan namun itulah hakikatnya. Penghuni-penghuni rumah tersebut kenyang dengan meminum air dan makan buah tamar sahaja selama beberapa bulan tersebut. Sedangkan kami masak sardin tetap berasap juga dapur, maka kena muhasabah lagi diri yang mengaku sebagai pengikut nabi ini, sedangkan kehidupan tidak sesederhana nabi bahkan melimpah ruah dengan pelbagai kemewahan. (bagaimana pandangan nabi pada kita yang selalu kekenyangan ini agaknya) Semoga Allah s.w.t ampuni kita.

Usaha agama di Semporna dan Felda sahabat masih 'dikuarantin', kami diputuskan untuk menjalankan usaha di dalam masjid sahaja buat masa ini. Mujahadahnya cuma satu iaitu tekan perasaan. Jadi bersabarlah menekan perasaan masing-masing, taat sahajalah dengan keputusan, sesungguhnya dalam ketaatan dan kesabaran itu akan Allah berikan hidayat yang mencurah-curah. Bersabarlah kamu sebagaimana bersabarnya para sahabat ketika mana memendam perasaan ketika Rasulullah s.a.w mempersetujui perjanjian Hudaibiyah yang nampak seperti mengutungkan musuh, namun disebalik ketaatan dan kesabaran para sahabat, Allah s.w.t kurniakan kemenangan yang besar buat mereka. Sama-samalah kita doakan keselamatan untuk ummat di dunia dan akhirat insyaAllah. Bagi rakan-rakan yang tinggal di kawasan-kawasan yang aman damai, buatlah usaha bersungguh-sungguh.



Beralih topik kepada percutian pula, bersempena cuti sekolah bulan Mac 2013 biarpun kes pencerobohan Sabah masih belum selesai sepenuhnya, kami sekeluarga (Abi, Ummi, Asma' dan baby dalam perut) telah berkesempatan untuk berpusing dan menyinggah di beberapa tempat di negeri bawah bayu menyambung silaturrahim dengan saudara mara di sini. Alhamdulillah.

Perjalanan sejauh kira-kira 1500km selama 7hari.
Alhamdulillah bermacam jalan lasak dilalui (100km jalan gravel/kerikil kalabakan-sipulut, naik turun jalan banjaran Croker yang curam dan berkabus Keningau-Papar, naik turun bukit Mesilau Kundasang) tiada kemalangan dan sebarang kerosakan berlaku. Yang penting doa mau baca, sama alat-alat ganti kecemasan kereta yang asas kena bawa sama la.

Semporna ke Tawau 100km, Tawau ke Kalabakan (jalan tar 160km), kemudian Kalabakan ke Sipulut (100km jalan gravel/`kerikil macam gambar di atas), lepas tu jalan tar balik dah. Ketika di jalan kerikil, kami hanya mampu tersenyum melihat satu persatu double cab, lori, dan kenderaan-kenderaan lasak yang lain memotong kami.

Peringatan bagi yang nak melalui jalan kalabakan, selain kelengkapan asas kecemasan kereta, sila pastikan anda ke tandas awal-awal sebelum bertolak. Kerana anda mungkin akan berjalan selama 5-7jam bagi yang bukan kenderaan lasak macam kami tanpa berjumpa dengan sebarang masjid/surau/ dan tandas. Kami bertolak dari Tawau jam 9pagi, sampai di Pendawan jam 4petang (100km lagi nak ke Keningau), baru jumpa surau, itupun tiada tandas, jadi terpaksa menumpang tandas di sebuah sekolah di Pendawan.

Inilah jalan banjaran Croker Keningau curam dan berkabus, kabus sangat tebal jadi tak boleh memandu laju, lagipun jalan naik bukit sangat curam, sehingga ada ketikanya terpaksa pakai gear satu, kalau jalan kota kinabalu-kundasang pun tahan lagi boleh maintan gear dua atau gear tiga, jalan banjaran croker lagi mencabar rupanya. Tapi jalan yang paling mencabar di dunia ini ialah jalan untuk menuju ke syurga. Gambar ihsan di ambil dari sini.
Tiga malam kami di Keningau, menginap di rumah Ustaz Yusuf Kg Merampong, sepupu ma yang berasal dari Kelantan. Kawasan kampung di atas bukit, jadi pagi-pagi cuaca sangat sejuk. Ummi dan Kak Long menikmati udara pergunungan di pagi hari.
Kak Long dapat geng baru kat Keningau, 'Pakcik' Arsyad dan 'Pakcik' Asyraf. Anak Pak Long Abi. Mereka berdua ini adalah sepupu Abi, jadi Kak Long adalah anak saudara mereka.
Ummi terasa muda 25tahun apabila diapit oleh anak dara dan anak teruna.
Syok menginap di rumah kampung macam ni.
Kak Long @ One Borneo.
Layan bebudak naik dinosour.
Menyoping di Kota Kinabalu
Berdating di pantai Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Bebudak dah tertewas kepenatan. Mok Fatin tetap riang gembira di belakang.
Dari Kota Konabalu balik Ke Keningau mendaki banjaran Crocker lagi sekali, singgah di kedai pakcik di bandar Keningau D'Bayu, dua kedai sebelah menyebelah iaitu sebuah kedai barangan runcit dan sebuah lagi restoran makan.
Tolong promote hehe. kalau ke Keningau jemputlah singgah restoran D'Bayu 24jam ni, pelbagai menu boleh di order sama ada bercita rasa semenanjung mahupun cita rasa tempatan. Sedap makan kat sini insyaAllah. Alhamdulillah.
Air sirap ni percuma untuk para pelanggan, sebagai saham akhirat pemilik restoran.
Kedai runcit 24jam bersebelahan restoran tadi.
Masjid Kg Merampong Keningau
Next Journey: Kundasang tempat sejuk.
New Zealand Malaysia: Desa Catle Kundasang.
Kak Long dan Ummi bergambar kenangan bersama lembu-lembu tenusu.
Kak Long dan awek Abi.
Upacara membeli sayur dan ole-ole untuk kawan-kawan di Semporna.
Abang-abang polis banyak buat roadblock di seluruh Sabah, lebih sepuluh roadblock kami tempuh rasanya sepanjang perjalanan ini. Terima kasih banyak-banyak buat pasukan keselamatan, jasamu dikenang sanggup berpanas berhujan demi menjaga kedaulatan negara. Buat yang terkorban, al-Fatihah kami kirimkan, namamu tetap mengharum di sanubari rakyat Malaysia.
Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke Semporna. Sekejap je rasa cuti seminggu. Jadi bisnes rumpai laut kami insyaAllah berjalan seperti biasa (sempat lagi tu). InsyaAllah baik untuk kesihatan dan kecantikan. Bagi rumpai laut purple gred AAA dan gold gred AA kami jual pada harga RM33/sekilo termasuk pos untuk pembelian 1-5kg. bagi pembelian 5kg ke atas kami jual pada harga RM30/sekilo termasuk pos. Bagi nak nak beli paket kecil pun boleh. Untuk sepeket kecil 100gram kami jual RM10 termasuk pos. Jemput singgah kedai kami ye. :) Maklumat Lanjut Sila Klik Sini


Muhammad Ishak Zaini
2 April 2012
21 Jamadil Awal 1434H

Ahad, Januari 06, 2013

Setahun Yang Berlalu


Umur dah dekat setahun baru tumbuh gigi, tu pun dua batang je. Tapi mulut Kak Long sangat petah bercakap sampai kadang-kadang tak larat nak layan berborak dengan dia. Bercakap dalam bahasa Bajau yang dia sorang je faham. Hehe.
Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah berbulan-bulan blog abi dan blog umi bersemak samun tak update setahun masa berlalu, zuriat sulung kesayangan kami yang Allah anugerahkan ini semakin menuju kedewasaan. Dari dahulunya yang bersaiz sebesar dua tapak tangan, sekarang dah tak larat nak dukung dah, kena usung pakai stroller seberat 10kg. Dari dahulunya yang tak tahu apa-apa, sekarang Alhamdulillah semua benda dalam rumah Kak Long dah pandai kumbah dah macam-macam perkara Kak Long tahu, semakin mengenal erti kehidupan.

Mengenang kembali satu persatu perubahan yang berlaku, setiap kejadian yang disusun atur oleh Allah dari seorang bayi menjadi seorang yang dewasa, terasa betapa hebat dan agungnya kuasa Allah, dan betapa kita ini sangat kerdil. Benarlah bahawa kita tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin dari Allah juga semuanya. Dari bayi yang hanya tahu menangis jika mahukan sesuatu, kemudian mula pandai bergolek, seterusnya mula pandai duduk, merangkak, berjalan, berlari, melompat dan sebagainya. Semuanya Allah yang atur, Allah yang maha kuasa lagi maha bijaksana. Allah yang berkuasa menghidupkan, Allah jua yang berkuasa mematikan.

Rezeki yang Allah tentukan untuk kami masih di Semporna, masih berlaukkan ikan kayu, ikan tulai, ikan tikus, ikan balawis, ikan basung dan lain-lain. menghirup udara dari Laut Sulu yang jernih airnya pada saki baki usia yang Allah berikan, buat meneruskan kehidupan di persinggahan dunia yang sementara ini. 2012 yang melabuhkan tirainya meninggalkan sedikit rekod yang agak baik buat rakan-rakan seusaha di Semporna, tahun 2012 mencatatkan sedikit peningkatan dalam usaha pengeluaran jemaah masjid, Alhamdulillah. (yang faham tu faham lah, yang tak faham boleh skip insyaAllah: tahun 2011 dari Halkah Semporna Darat hanya tiga jemaah 40hari dapat dikeluarkan, manakala tahun 2012 sebanyak sembilan jemaah 40 hari dapat dikeluarkan ke jalan Allah, peningkatan sebanyak enam jemaah) Syukur, semoga masjid-masjid dan surau di seluruh Semporna dan seluruh alam dapat diimarahkan. Semoga semakin ramai hamba-hamba Allah yang taat dapat dibentuk. Semoga agama kembali bersinar sebagaimana bersinarnya agama ketika dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Marhalah kami pun Alhamdulillah lima amal jemaah masjid dengan izin dan bantuan dari Allah masih dapat dihidupkan sehingga ke hari ini.

Berbalik kepada kisah kami anak-beranak, Alhamdulillah syukur Ummu Asma' semakin membesar dengan jayanya, hari-hari melihat telatahnya bermain merupakan saat-saat yang sangat membahagiakan, paling best asyik nak ikut Abi pergi ke masjid, bila Kak Long tengok je Abi menyarung kurta dan kopiah, dia pun terus meluru depan pintu buat muka penuh harapan minta dibawa dia sekali, selalu juga Abi bawak Kak Long jika melihat moodnya baik dan tidak berpotensi mengganggu jemaah masjid yang lain. Alhamdulillah setakat ini belum pernah lagi Kak Long melalak menangis time orang lain solat. Pandai Kak Long duduk diam kat sebelah memerhati Abinya solat. Natijahnya sekarang ni Kak Long suka 'solat' cara dia iaitu suka bersujud walau di mana jua dia berada dan tidak mengira waktu, agak-agak dia nak solat nanti dia pun sujud je, paling tak tahan pernah Kak Long sujud dalam bilik air. Hehe.

Balik kampong.. ho ho ho balik kampung.. tahun 2012 tiga kali Kak Long balik semenanjung jumpa Wan, Atuk, Nenek, Makcik-makcik, pakcik-pakcik, moyang-moyang, sepupu sepapat dan lain-lain.

Alhamdulillah balik kampung baru-baru ni takdir Allah musim buah kat rumah Wan (nenek Kak Long di Pahang), jadi setiap hari la mengadap buah. Mengadap durian berguni-guni sampai tak larat nak makan. Siap boleh eksport ke Melaka dan Negeri Sembilan lagi, niat di hati nak eksport sampai ke Sabah, tapi apakan daya kastam tak bagi bawak tangan tak sampai.
Kak Long dan ummi @ Gemas.

Kak Long dan sepupu-sepupunya, Kak Sumayyah dan Kak Sulaim di dewan sekolah lama ummi yang bersejarah sebab ummi selalu naik ke pentas ni sebab selalu jadi best student.
Budak kena dera berdiri kat dinding latih supaya cepat belajar berjalan, dah setahun masih merangkak lagi.

Sempena umur Kak Long genap setahun, maka Ummi hadiahkan Kak Long sepasang subang emas mengerlip-ngerlip berbentuk love ini yang dibelanja oleh Abi.
Imbas kembali, Ummu Asma' setahun yang lalu beberapa minit selepas dilahirkan.

Setelah setahun, jeng jeng jeng. Hehe. Amacam. Masih sama tak mukanya berbanding semasa lahir dulu? Lemak-lemak kat pipi macam dah kurang sikit. Hoho. Lemak kat perut Abi pulak bila nak kurang?
Sempena umur Kak Long bakal mencecah dua tahun pada tahun 2013 ini, mula-mula kami suami isteri merancang untuk keluar 40 hari masturat pada November-Disember 2013. Akan tetapi nampak gayanya seperti rancangan terpaksa ditunda lagi dua tahun. Apakan daya Kak Long belum genap setahun ummi dah ditakdirkan mengandung lagi. Berkat.. Alhamdulillah syukur jugalah berita baik ini. Ada rezeki insyaAllah bulan syawal nanti Kak Long dapatlah adik. Kalau rezeki anak lelaki, ummi awal-awal beri cadangan nak letak nama Umar. Kalau anak perempuan pula Abi nak bagi nama samaada Maryam (Ibu Nabi Isa a.s), Asiah (Ibu angkat Nabi Musa a.s), Sarah (Ibu Nabi Ishak a.s) atau Hajar (Ibu Nabi Ismail a.s) insyaAllah. Tak dapat 40 hari masturat, azam kami kalau dapat untuk keluar 10 hari masturat pun jadilah insyaAllah. Mohon kawan-kawan doakan untuk kami. Jazakumullah. :)