Selasa, November 08, 2011

Catatan Perjalanan – Sebuah Semporna



Masa terus laju berhambatan. Bagaikan baru sebentar bertenggek di atas batang kayu di tepi pantai yang putih pasirnya lagi jernih airnya. Berteduh dari terik mentari di bawah rimbunan pohon nyur yang melambai-lambai daunnya. Mengecap nikmat bayu laut yang mendinginkan wajah sambil melontarkan pandangan jauh ke tengah laut Sulu yang tenang dan damai itu. Milik Allah segala puji dan pujian yang menjadikan keindahan alam yang tiada tolok banding di bumi Semporna ini. Dirasakan bagai baru beberapa detik tinggal di sini, rupa-rupanya sudahpun masuk ke tahun yang kedua.

Masa yang telah berlalu akan terus berlalu. Semakin lama masa berlalu, bermakna semakin hampir kepada kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat. Dan apa yang penting ialah perbekalan yang mesti disiapkan sebelum tiba saat dan waktu ajal dan maut datang menjelma. hakikatnya kematian bukanlah sebuah penamat, bahkan kematian adalah sebuah permulaan. Permulaan di sebuah dunia dan kehidupan kita yang hakiki. 

Sekadar mencetuskan fikir akhirat buat seketika. Pandangan mata kembali memaku kepada permandangan laut Sulu yang jernih itu. Sesekali terdengar kocakan di air, ada ikan-ikan sedang menitip rezeki masing-masing. Seperti juga manusia yang Allah s.w.t kurniakan rezeki. Di mana rezeki yang telah dituliskan untuknya, di situ dia akan datang mengambil rezeki tersebut. 

Rezeki kami masih di Semporna, masih bersinggah di daerah suku kaum Bajau dan Suluk ini. Bak kata pepatah, dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. 

Sebagai mengabdikan kenangan setahun di persinggahan ini, maka saya tuliskan entri ini bagi berkongsi sedikit pengalaman dan pengamatan tentang daerah Semporna. Adapun kami masih hijau di sini, jika ada orang-orang Semporna yang membaca entri ini, mohon ditegur jika ada kesilapan.

Semporna yang saya kenali adalah sebuah daerah yang sederhana kecilnya. Erti Semporna ialah tempat berehat. Mungkin keindahan pulaunya menjadi daya tarikan pelancong yang ingin berehat-rehat di sini. Sebelum ini Semporna dikenali sebagai dengan nama ‘Tong Talun’ yang bermaksud penghujung hutan. Ini adalah kerana kedudukan Semporna yang berada di hujung Timur-Tenggara Sabah. Untuk maklumat lanjut tentang sejarah asal-usul daerah Semporna sila lawati http://www.sabah.gov.my/pd.sprn/sejarah.html . Untuk mengetahui keistimewaan Semporna pula dipersilakan untuk membaca artikel ini http://www.sabah.gov.my/pd.sprn/fakta.html


Semporna dapat dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna dan Pulau-pulau. Terdapat 49 buah pulau keseluruhannya yang di dalamnya terdapat 119 perkampungan. 

Pulau yang terkenal adalah Pulau Sipadan dan Pulau Mabul yang dikatakan antara pulau tercantik di dunia untuk aktiviti menyelam atau diving. Kalau jemaah dari luar negara atau semenanjung dihantar ke Semporna, selalunya mereka diikram dengan dibawa ke pulau Mabul sebagai salah satu dari destinasi rangka usaha dakwah mereka. Usaha dakwah di Pulau Mabul boleh dikatakan maju kerana telah hidup ta’lim masturat di sana. Lazimnya tempat yang hidup usaha masturatnya, usaha lelaki juga insyaAllah hidup sama. Sambil-sambil itu dapatlah mereka menikmati keindahan alam di pulau yang cantik pantainya itu. 

Sayangnya kami suami isteri masih belum berkesempatan ke sana, tambang ke Pulau Mabul jika ingin pergi ke sana dengan agen pelancongan, paling murah harganya ialah RM 100 seorang dengan menaiki bot laju yang memakan masa sekitar 45 minit dari jeti Semporna. Jemaah dari luar negara atau semenanjung biasanya diikram dengan menaiki bot ikan milik rakan seusaha atau kenalan-kenalan di sini. Lebih murah sedikit kosnya tapi perjalanan memakan masa yang agak lama sedikit. 


Tentang masjid dan surau pula di daratan sahaja tidak kurang 69 buah masjid dan surau belum termasuk dengan masjid dan pulau di kawasan pulau-pulau yang mengelilingi daratan, mengikut maklumat yang saya perolehi di pulau Bum-bum (pulau terbesar di Semporna) sahaja telah ada sekitar 14 buah surau dan masjid. Belum dicampur dengan masjid dan surau yang terdapat di 48 pulau yang lain. (sebahagian pulau sahaja berpenghuni).

Dalam pembahagian kawasan untuk usaha agama, terdapat dua halkah di sini iaitu Halkah Darat (Tanah Besar Semporna) dan Halkah Laut (Kepulauan). Disebabkan kami tinggal di kawasan Tanah Besar, maka medan tempatan usaha agama kami adalah di sekitar 69 buah masjid dan surau di tanah besar. Moga-moga Allah terima kami untuk ambil fikir menghidupkan kesemua masjid dan surau di kawasan kami ini.

Beralih kepada sosio-budaya setempat, kaum Bajau dan Suluk adalah kaum yang paling dominan di Semporna. Kedua-duanya adalah kaum yang beragama Islam. Selain itu terdapat juga kaum Bugis, Palauh (Bajau Laut), Jawa, dan kaum-kaum lain yang turut mengharmonikan kehidupan masyarakat di Semporna. Pada pengamatan saya, boleh dikatakan lebih 90% masyarakat Semporna adalah beragama Islam. Terdapat juga pegangan dan kepercayaan lain seperti Kristian dan Budha namun jumlahnya adalah kecil. 

Daerah-daerah lain di Sabah biasanya terdapat berbilang bangsa dan agama contohnya masyarakat di Kota Kinabalu dan Sandakan, tetapi berbeza dengan Semporna kerana jumlah orang Islam di sini sangat ramai. Terdapat banyak syiar Islam dan kehidupan masyarakat Islam dapat dilihat di sana-sini. Sepanjang pengalaman saya yang pernah berjalan dari Barat ke Timur Sabah, di daerah Sempornalah paling ramai Islamnya selain daerah Tawau yang juga menonjol gaya kehidupan islamnya. Dipersilakan untuk melawat dua daerah ini, dan membandingkan dengan daerah-daerah lain di Sabah, pasti nampak perbezaan syiar-syiar Islam. 


Dari segi bahasa pula, kebanyakan masyarakat Semporna bertutur dalam bahasa tempatan mereka iaitu bahasa Bajau dan Suluk, namun jika kita bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, insyaAllah kebanyakan mereka boleh faham juga. Terdapat banyak jenis bajau di Sabah seperti Bajau Ubian dan Bajau Tabawan dan lain-lain, mungkin berlainan bahasanya berbanding dengan Bajau Semporna ini. Sekadar perkongsian ringkas beberapa patah perkataan bahasa Bajau dan Suluk dalam komunikasi seharian contohnya:

Bahasa Bajau:

'Ai Habbal’  – Apa khabar?
Baina Mangan - Sudah makan kah?
Pitu ka amangan – Mari kau, kita makan.
Sehek, pitu kau – Kemari kamu (kawan lelaki)
Arung, pitu kau – Kemari kamu (kawan perempuan)
Bai ka miningga – Kamu dari mana?
Bai nehek – Aku dari sana
Amolekna kita – Jom kita balik.
Maksukul – Terima kasih
Natuan! – Adohai
Ahok - Ya
Waina – Tidaklah.

1. Isa, 2. Dua, 3. Tu, 4. Upat, 5. Lima, 6. Unum, 7. Pituk, 8. Waluk, 9. Siyam, 10. Sangpuk.

Jika dalam urusan jual-beli katakan jumlahnya RM10 maka dalam bahasa bajau disebut Sangpuk Pilak. Jika RM10.50, setengah atau 50sen itu disebut karangbila. (Seperti dialek Kelantan yang membahasakan 50sen sebagai ‘Seramah’), Bajau pula menyebut setengah itu sebagai ‘karangbila’. Jika dicantum keduanya: Sangpuk karangbila: ertinya RM 10.50.

Ayat asas dakwah: Bang kabilahi bajaya ma agama, taat min Allah taat min nabi. – Kejayaan kita hanya dalam agama, sejauhmana mentaati Allah dan mentaati nabi s.a.w.

Bahasa Suluk/ Tausug:

Biak di in bagai – Apa khabar kamu wahai kawan?
Marayau - Baik, bagus.
Tumaun kita bagai – Sudah makan ke, wahai kawan?
Hisyu hin ngan nu – Boleh aku tahu namamu?
Ha unu kau nak hoholak – Dimana kamu tinggal?
Wai - Tidak/ tiada
Ho on - Ya
Waita – tak da orang
Mari kita pa masjid – Mari kita pergi masjid.

Kara ugan sin manusia alaum sin agama, magat kita sin perinta Allah, lavai dain hakakainang hin nabi – Kejayaan seluruh manusia hanya dalam agama, sejauh mana mentaati Allah dan mengikuti cara nabi s.a.w.

Sekadar perkongsian beberapa patah perkataan dari dua suku terbesar di Semporna, untuk mudah mesra dan ramah dengan perkataan-perkataan yang mudah dan biasa disebut. Bagi sesiapa yang bercadang untuk khuruj atau melancong ke Semporna, boleh manfaatkan beberapa patah bahasa Bajau dan Suluk di atas insyaAllah. Mohon sudi untuk mendoakan saya juga, insyaAllah rangka usaha dakwah empat puluh hari untuk tahun ini akan saya curahkan di bumi Semporna ini, sementara menunggu kelahiran anak sulung kami yang dijangka pada bulan Disember 2011 insyaAllah.

Setahun di Semporna, bermacam perkara dapat dipelajari di sini. Selagi rezeki kami di sini, selagi itu kami berazam untuk terus menyemarakkan usaha agama di sini. Semangat pengorbanan keluarga Ibrahim a.s akan tetap disemat di dalam jiwa sepanjang ranjau jalan ini. Kerana dalam menyembelih sebuah keinginan dan kesukaan, ada sebuah keagungan yang tak dapat dirungkai dengan kata, melainkan turut sama terjun ke medan pengorbanan. Sesungguhnya keagungan haji bukan pada ramainya manusia yang berkumpul, akan tetapi keagungan haji adalah pada pengorbanan agung keluarga Ibrahim a.s untuk kita hayati dan jejaki. Sebuah keluarga yang seluruh ahlinya berkorban untuk agama.

Salam Aidiladha  

Muhammad Ishak Zaini
8 November 2011
12 Zulhijjah 1432 H