Isnin, September 19, 2011

Erat Silaturahim


Alhamdulillah, kami baru tangguh dari keluar tiga hari masturat (jemaah suami isteri). Dan pagi ini barulah berkesempatan dapat menulis sesuatu setelah hampir sebulan bercuti menulis. Mungkin disebabkan tahun ini adalah tahun pertama kami menyambut hari raya sebagai suami isteri, maka kamipun beraya sakan sehingga setiap hari dirasakan begitu terkejar-kejar dari seawal Ramadan sehinggalah ke penghujung Syawal ini. Ada masa kami yang melayan tetamu, dan ada masa kami yang menjadi tetamu.

Walaupun saban waktu dihambat keletihan, terutamanya isteri yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai juadah dan membuat pelbagai persiapan, namun ianya satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Biasanya orang lain waktu bulan puasa sebelum raya sibuk membuat kuih raya, tetapi isteri saya seminggu sesudah raya pun masih sibuk membuat pelbagai kuih raya. Itupun masih belum mencukupi untuk melayan tetamu yang datang berkunjung. 

Waktu-waktu sebeginilah silaturahim sesama sahabat-handai dan jiran tetangga menjadi lebih erat. Di samping dapat mendalami budaya masyarakat Semporna yang beraya sebulan ini. Kalau di semenanjung (saya amati di tempat saya) kemeriahan Syawal hanya pada seminggu pertama sahaja, namun di Semporna kemeriahan beraya masih belum kunjung padam hingga ke hari ini (21 Syawal). Tidak hairanlah semakin perut isteri saya membesar, semakin perut suaminya juga membesar. Cuma Alhamdulillah tekanan darah masih lagi normal tetapi sudah di tahap yang sepatutnya kena berjaga-jaga dan perlu mengawal makan dan minum ketika bersilaturahim.

Hinggakan hendak keluar masturat inipun terasa serba serbi kelam kabut. Apapun Alhamdulillah Allah permudahkan urusan dan dapat juga kami keluar, di saat ini rakan-rakan seusaha ramai yang ke Nizamuddin untuk bermesyuarat. Tak dapat nak ke Nizamuddin, dapat keluar masturat pun jadilah. Semoga fikir agama dan fikir dakwah kami suami isteri semakin bertambah, lebih-lebih lagi ketika meniti hari untuk menerima kedatangan orang baru dalam hidup. 

Semangat dan debaran untuk menjadi ayah dan ibu semakin dirasai, dan baru-baru ini kami berkesempatan membeli-belah barang-barang asas untuk bakal putera @ puteri sulung kami ini. Sebagai permulaan, RM 200 lebih kami belanjakan untuk membeli pelbagai barangan bayi. Untung isteri reti nak membeli, kalau saya yang ditanya, memang tidak ketahuanlah jawabnya. Semoga Allah permudahkan segalanya. 

Dalam ketika kami di ambang menyambut kelahiran pertama ini, ada juga kawan-kawan yang masih mencari-cari jodohnya. Didoakan semoga Allah pertemukan dengan jodoh yang baik seterusnya dapat membina keluarga yang baik. Bila baca di blog isteri, macam ramai yang berminat nak mencuba nasib untuk jadi ipar isteri saya. Sebagai orang yang telah melalui jalan tersebut, saya kongsikan tips-tipsnya jika hendak menjadi menantu Pak Imam, moga Allah jauhkan saya dari sifat sombong dan segala yang mazmumah, saya beristighfar pada Allah atas segala kesalahan saya:

Mengimbau kembali genap setahun yang lalu ketika kami masih baru bertunang (14 September 2010). Ramai kawan yang kata untung saya dapat jodoh macam puan Umu ini. nampak macam mudah sangat, datang ke rumah, hanya sekali interview dah lepas. Sebenarnya tidak juga mudah sebab ada yang berkali-kali diinterview oleh abah pun tak lepas. Sudah takdirnya hendak jadi rezeki dan jodoh saya, itu yang Allah mudahkan agaknya.

Saya kongsikan tipsnya: Setahun lebih lamanya saya ambil masa setiap hari untuk sekurang-kurangnya dua rakaat solat hajat dan dua rakaat solat istikharah, maknanya paling malas empat rakaat solat sunat setiap hari. Lakukan di masjid, dah alang-alang solat fardu lima waktu di masjid. Dalam setahun itu juga Allah beri saya peluang dapat khatam sekali bacaan al-Quran, Selain itu Surah Yassin bacalah beratus kali, kalau setiap hari dapat sekali baca Yassin, setahun genap dah lebih tiga ratus kali bacaan, kemudian istiqamah zikir 300 pagi dan petang (Istighfar 100, selawat 100, dan Subhanallah Walhamdulillah Walailaha Illallah Wallahuakbar 100), jaga lima amal, ziarah mingguan datang awal, meyuarat halkah kena datang, markaz kena selalu pergi, istiqamah khuruj tiga hari setiap bulan tak kira waktu kita senang mahupun waktu kita susah, kalau nak lagi power, biasakan berjaga malam. Dan akhir sekali, pagi sebelum saya datang interview dengan Pak Imam, dua belas rakaat solat hajat dan sekali bacaan Yassin. Selebihnya saya serah pada Allah.

Ringkasnya lakukan sahaja amal yang sepatutnya dilakukan dengan sepenuh hati, selebihnya doa bersungguh-sungguh pada Allah insyaAllah Allah akan permudahkan. 

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Thalaq: 3-4)

Selamat berumah terbuka dan selamat maju jaya buat bakal-bakal menantu baru abah. Dijemput semua kawan-kawan blogger untuk datang bersilaturahim di rumah kami.

Muhammad Ishak Zaini
19 September 2011
21 Syawal 1432H