Ahad, Julai 03, 2011

Pada Sebuah Nama

"Kalau kita dapat anak lelaki nanti, abang suka nak letak nama apa ya?" Tanya si isteri kepada suaminya sambil menghidang secawan air bagi membuka bicara. Perlahan-lahan sambil menghirup air tangan sang isteri, si suami memandang syiling rumah mengharapkan ilham dari langit lalu mula menyusun bait perkataan. "Hmm, nama para sahabat banyak yang sedap-sedap didengari kan sayang, kalau abang, abang suka nama Khulafa Ar-Rasyidun iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali. Mereka ini adalah empat orang tokoh yang terunggul di kalangan para sahabat Nabi s.a.w. Jadi apa pendapat sayang kalau dapat anak lelaki, kita letakkan nama Abu Bakar dahulu?".

Sambil berkerut dahi dan memuncungkan bibir, dengan nada manja dan penuh hikmah si isteri menjawab, "Ala bang, tapi sayang lagi suka nama Umar, dari dulu lagi sayang suka dengan nama Umar." Si isteri menyatakan pendapatnya dengan seribu harapan. 

Sambil-sambil itu si suami dan isteri tersebut membayangkan pengorbanan agung kedua-dua sahabat besar ini. Siapa tak kenal Abu Bakar As- Siddiq r.a, Sahabat nabi yang mula-mula beriman di kalangan lelaki dewasa, sahabat kesayangan Nabi s.a.w, yang tetap teguh disisi nabi setiap masa dan keadaan. Sahabat yang telah mengorbankan seluruh kekayaannya untuk agama ini. Teman ketika peristiwa hijrah yang agung, yang amalan Hijrahnya mengatasi amalan Umar dan seluruh ahli keluarga Umar. Sahabat yang pandangan dan pendapatnya selalu diterima oleh Rasulullah s.a.w. Sahabat yang paling tinggi takwanya kepada Allah s.w.t. Sahabat yang pernah menggantikan Rasulullah s.a.w menjadi imam ketika hayat baginda. Sahabat yang Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pentadbir sekalian alam pernah berkirim salam padanya lantaran suka pada pengorbanan besarnya. Yang di akhirat nanti, kemurkaan Allah s.w.t menjadi redha tatkala memandangnya sewaktu permulaan penghisaban dijalankan.

"Eh, macam sama je fikir kita sayang, abang pun suka nama Umar, asal sebut sahaja nama sahabat, semua abang suka". Dari segi turutan, Umar al-Khattab bukanlah di kalangan yang terawal memeluk Islam, pada ketika umat Islam melebihi jumlah empat puluh orang barulah hidayat Allah meresap masuk ke jiwa Umar tatkala mendengar pembacaan al-Quran oleh adik perempuannya. Walaupun Umar lewat keislamannya namun beliau melakukan banyak pengorbanan untuk agama sehingga Allah s.w.t memuliakannya menjadikan beliau sahabat nombor dua selepas Abu Bakar as-Siddiq r.a. Betapa Allah itu Hadi, Umar yang pernah datang hendak membunuh nabi, sehingga akhirnya Allah s.w.t menukar menjadi orang yang layak untuk menjadi Nabi. Keberanian Umar dikagumi oleh sahabat yang lain, Islamnya Umar adalah satu rahmat besar buat kaum Muslimin. Hijrah Umar terang-terangan. Sehingga musuhpun gerun mendengar nama Umar. Bukan sahaja manusia, bahkan syaitan pun sama menjadi takut dengan Umar al-Khattab.

"Oh ye bang, nama Umair dan nama Khalid al-Walid pun sayang suka." "Asalkan sahabat, memang nama-nama mereka Allah jadikan ia harum sepanjang zaman, sebenarnya ia adalah satu kemuliaan buat mereka, Allah jadikan orang yang kemudian dari mereka suka akan nama-nama mereka."

"Selain itu, abang juga suka nama-nama Nabi terutama Nabi Ilyas dan Nabi Yusuf. Nabi Musa dan Nabi Isa pun abang berminat" Ujar sang suami. Tiba-tiba si isteri bertanya "Siapa nama anak nabi Ishak ye bang?". "Hmm. Anak kepada Nabi Ishak ialah Nabi Yaa'kub. Anak Nabi Yaa'kub pula adalah Nabi Yusuf. Begini susunannya: Yusuf bin Yaa'kub bin Ishak bin Ibrahim." "Oo. begitu."

"Masa sayang hamil ni kita kena banyak membaca al-Quran tau, kita kena didik anak sebelum ia lahir lagi, banyak surah yang bagus dibaca antaranya surah Maryam, surah Yusuf, surah Ibrahim, surah Luqman, surah Anbia', surah Yasin dan lain-lain. Berkat membaca surah-surah ini mudah-mudahan anak kita nanti Allah jadikan hatinya cekal seperti ibu Nabi Isa iaitu Maryam a.s, kesabarannya seperti Nabi Yusuf a.s, yang Allah mengatakan kisahnya adalah sebaik-baik kisah, Allah ceritakan dari kecil hingga dewasa Nabi Yusuf a.s menempuh pelbagai ujian namun baginda tetap bersabar. Begitu juga moga anak yang lahir nanti semangat pengorbanan dalam dakwahnya seperti Nabi Ibrahim a.s. Juga moga mendapat berkat daripada kebijaksanaan Luqmanul Hakim." 

"Nabi yang handsome tu Nabi Yusuf kan bang?" tanya si isteri. kemudian terus menyambung dengan seribu harapan "Kalau macam tu sayang nak baca surah Yusuf banyak-banyaklah supaya nanti kita dapat anak yang handsome." Sang suami pun membalas, "Memang bagus amal baca surah Yusuf ni, mudah-mudahan Allah kurniakan anak hansome macam abang, hehe". "Eleh, perasan!". Bantah si isteri. 

"Kalau anak perempuan pula abang suka nama apa?" "Hmm.. Kalau nama-nama sahabiah r.ha semua abang suka, kalau anak-anak nabi, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalsum, Fatimah, kalau isteri nabi Saidatina Khadijah, Saudah, Aishah binti Abu Bakar, Hafsar binti Umar, dua orang isteri nabi bernama Zainab, Ummu Salamah, Juwairiah binti Harith, Ummu Habibah, Sofiyyah, dan Maimunah."

"Dulu abang pernah mimpi menimang anak perempuan bernama Ruqayyah." sang suami mengemukakan cadangan. "Tak nak lah nama Ruqayyah bang, sayang suka nama isteri nabi yang Sofiyyah tu." "A'ah la sayang, sedab juga dengar nama tu. Hmm, kalau nama Asma macamana? Asma binti Abu Bakar r.a tokoh wanita di kalangan para sahabiah yang tidak kurang hebatnya. Zatin Nitaqain gelarannya, sang pemilik dua ikatan tali di pinggangnya kerana jasanya membantu hijrah Rasulllah s.a.w dan ayahnya Abu Bakar r.a ke Madinah. Tali ikatan yang dibahagi dua sebagai pengikat makanan, menjadi saksi kesusahan dan kesungguhannya membantu agama Islam sejak di zaman permulaan lagi. Suaminya Zubair al-Awwam r.a, antara sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga oleh baginda s.a.w. Anaknya pula adalah Abdullah bin Zubair, iaitu bayi pertama yang lahir dalam Islam selepas Hijrah."

"Sedap nama Asma tu bang, sayang pun suka, tapi kalau sayang nak letak Ummu di depannya boleh, jadi Ummu Asma. Boleh tak bang, hehe?" "InsyaAllah boleh, amboi nak juga selit nama sayang kat nama anak ye. Nanti kita sama-sama lakukan solat istikharah untuk keputusannya ye sayang, kerana tidak akan rugi orang yang bermesyuarat dan tidak akan menyesal orang yang beristikharah, sekarang ini hari-hari abang nak solat hajat untuk sayang dan anak kita ini nanti insyaAllah. Jangan risau, sayang kan pernah bercerita suka anak yang ramai, kalau ada rezeki insyaAllah, ada banyak lagi nama anak yang bagus-bagus untuk kita berikan."

Pada sebuah nama, ada kisah perjuangan dan pengorbanan untuk dikenang dan di hayati, pada sebuah nama ada di dalamnya pelbagai hajat dan doa. Pada sebuah nama, ada keberkatan yang dipinta.

Bermacam peristiwa dan kisah keajaiban iman tokoh-tokoh Islam ini segar bermain di fikiran pasangan suami isteri yang baru beberapa bulan bernikah tersebut. Begitu teruja rasanya hendak menerima kelahiran anak sulung mereka ini. Tidak sabar hendak dipanggil Abi dan Ummi. Tidak sabar hendak menimang cahaya mata sendiri, zuriat yang bakal menjadi saham terbesar untuk dana akhirat mereka. Sambil tersenyum-senyum membayangkan telatah anak kecil yang rancak merengek menangis, bermain dan berlari. Tak lama lagi berjaga malamlah nampaknya melayan tangisan anak, kena belajar menukar lampin dan sebagainya. Sinar hidup tentunya semakin berseri dengan bertambahnya ahli baru dalam keluarga yang baru dibina ini.

Tatkala seorang bayi lahir ke dunia ini, ia lahir dengan tangisan, tetapi orang di sekelilingnya tersenyum kegembiraan. Jadikahlah anak-anak ini da''i, didiknya menjadi anak yang soleh, ajarnya mengenai iman dan akhlaq yang baik sehingga ia dewasa menjadi hamba Allah yang berguna, kelak insyaAllah, ketika mana orang di sekelilingnya menangisi kesedihan pada kematiannya, dia pula akan tersenyum kegembiraan.

Muhammad Ishak Zaini
3 Julai 2011
2 Sya'ban 1432H

11 ulasan:

fuad ansari berkata...

x sabar nak tgk baby bakal da'ie.. senang sikit ustaz bangun tahajjud nanti sebab baby tlg kejutkan.. (",)

umu6point berkata...

uhukk...eeee...ni kerja abg ye tido lewat malam td?? Patut ler sengih2 semacam jee... Nampak sangat yang abg tu x tido di markaz malam td tau.. balik rumah tengah malam update blog :p

*Okey.. Syg setuju antara Ummu Asma' dan Umar ye bang..heheeee :D

CS berkata...

salam,
seronoknya bakal abi n umi ni...akk doakan semuanya berjalan lancar n selamat.semoga dapat bb y comel,sihat ..bakal daie & daieah Allah..hmmm banyak sungguh terima berita gembira sejak akhir2 ni..Alhamdulillah..sekdar tumpang gembira pun cukuplah...Alhamdulillah..=)

Ishak Zaini berkata...

Fuad Ansari,

Sama-sama semoga dapat mencorak zuriat kita menjadi da'i insyaAllah. Tahniah, enta tentu dah mengecapi nikmat bertahjud malam dikejutkan oleh Husna. Tahjud adalah perjalanan orang-orang soleh, tahjud juga menjadi cahaya di dalam kubur.

Dinda Umu sayang,

Telahan dinda hampir-hampir tepat. Sebenarnya kanda balik dari markaz malam tadi sudah lewat malam, mana sempat menulis. Cuma balik dari Subuh tadi baru kanda mula mengarang entri ini, dan Alhamdulillah siap sepenuhnya setengah jam sebelum menghantar dinda pergi ke ta'lim masturat. Kanda malas nak kacau dinda bermeditasi selepas dinda bersolat Subuh tadi. ;D

Adhakallahu sinnaki (Allah tertawa melihat gigi dinda)- Doa melihat orang senyum (perempuan).

Cikgu Sue,

Wa'alaikum salam w.b.t. Alhamdulillah atas khabar gembira yang Allah berikan. Kami juga sama-sama mendoakan agar Cikgu Sue dan Ustaz Harun dikurniakan zuriat secepat mungkin. Kami tunggu khabar gembira dari Banting pula insyaAllah.

ismadiyusuf berkata...

Alhamdulillah semoga Allah permudahkan apa-apa yang dihajati oleh tuan serta isteri.

Marina Ali berkata...

Alhamdulilah ye ustaz,suka kak ina tengok telatah ustaz dan umu...yang tak sabar2 menyambut orang baru dalam kehidupan,InsyaAllah moga Allah permudahkan segalanya.Lepas ini selalulah berjaga malam ye hehe,ustaz kena bagi Umu rehat lebih nie.:)

Ishak Zaini berkata...

Tuan Ismadi Yusuf,

Hajat kami agar zuriat keturunan nanti memiliki semangat pengorbanan macam para sahabat r.a. Semoga Allah terima mereka jadi pembantu-pembantu agama Allah..

Kak Marina,

Amin.. Anak-anak soleh penyeri kehidupan rumahtangga orang beriman. Umu sekarang ini sedang menelaah buku Biografi Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya al Kandahlawi rah.a berjudul 'Aap Beti'. Terkesan dengan didikan ayah dan ibunya yang hebat sejak dari kecil lagi menjadikan Maulana Zakariya seorang ilmuan dan da'i yang hebat. Ibarat kata pepatah: Mana mungkin dari telaga yang jernih akan mengalir air yang keruh. Doakan kami, mudah-mudahan kami dapat jadi ayah, ibu yang baik buat anak-anak.

ahLia teeeetttttt..... berkata...

nama zainab pon sedap aper.. haha

bestnyer.. bc entry nie

moga lahir jadi asbab hidayat.

tahniah utk k.umu dan ustaz.

bpe bulan dah skrg?

Hidayatullah berkata...

Smoga Allah kurniakn anak yg taat spt Ibrahim..amin

Ishak Zaini berkata...

Ahlia Teet..

Semestinya nama Zainab sentiasa bertahta di hati saya, sebab bonda saya yang amat disayangi namanya Zainab juga. ;) Isteri nabi ada nama Zainab, anak nabi pun ada yang bernama Zainab. Moga Allah kurniakan sifat-sifat terpuji mereka kepada Zai juga.. Amin. Berapa dah bulan dah baby tu nanti kena tanya kak Umu zai ye..

Hidayatullah,

Betapa menyentuh hati kisah pengorbanan keluarga Ibrahim a.s, sangat sarat dengan iktibar buat kita. Semoga Allah kurniakan kesolehan keluarga nabi Ibrahim kepada kita semua juga. Amin..

Zaujah Shamsul Baharin berkata...

Salamullah
Wah akak n abg sham dah terlepas keretapi ni. Hihihihi. Tahniah atas berita gembira ni. Moga mendapat zuriat soleh/ah. Ameen. akak n abg sham gak la bila nak timang baby ni. Hihihi. abg sham suh akak sambung buat masters sbb tunggu baby tak datang2. Hihihihi. harap2 baby pun dapat masters pun dapatla nnt..... Ameen. Kim salam umu