Selasa, Mei 03, 2011

Keinginan Sebuah Hati

“Hati kita ni kecil sahaja, tetapi macam-macam benda kita nak isi”. Sebaris perkataan ini sungguh menyentuh dan memberi kesan yang mendalam kepada hati saya. Saya memerhati seraut wajah lelaki yang semakin dimamah usia yang menuturkan perkataan tersebut. Dengan nada yang rendah dan perlahan, yang telah terpampang di wajahnya beribu duri dan ranjau yang pernah ditempuhinya. 

Dengan ketayap putih yang sentiasa melekat di kepalanya serta sehelai kain ridak (selendang) yang selalu tersangkut di bahunya. Sambil sesekali janggut putihnya meliuk-liuk ditiup angin. Mengingatkan saya kepada sebuah hadith nabi s.a.w yang dipetik dari kitab Jami’ Soghir oleh Sheikh Abul Fadhl Jalaluddin , Abdur Rahman bin Abi Bakr al-Khudairy as-Suyuti atau lebih dikenali sebagai Imam as-Suyuti:

خير جلسائكم من ذكَركم الله رؤيته وزاد فى عملكم منطقه وذكَركم الآخرة عمله

"Sebaik-baik orang yang duduk disekelilingmu (teman) ialah dia yang apabila kamu pandang wajahnya membuatkanmu teringat kepada Allah, dan apabila mendengar bicaranya membuatkan bertambah amalmu, dan dengan melihat kepada amalnya membuatkan kamu akan teringat akan akhirat".

Sungguh tenang melihat wajah yang telah banyak berkhidmat untuk agama ini. Kata-katanya sejuk bagai air yang mengaliri tanah yang gersang. Membuatkan hati yang keras bisa menjadi rawan. Sangat mendalam maksudnya. Teringat akan Allah, teringat akan kehidupan akhirat serta menaikkan semangat untuk memperbaiki serta menambahkan amal ibadah kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا * وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

Maksudnya: Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. (Al-Israa': 18-19)

“Ampuni daku yang hina ini ya Allah, kerana macam-macam makhluk ada dalam hati kecilku ini”. Bisikku sendirian dengan seribu keazaman mensucikan diri. Sesungguhnya hati ini terlalu kotor dicemari sampah cinta dunia yang tebal dan lalang angan-angan yang kian melangit.

Kata hukama': Sesungguhnya dunia adalah sebuah negeri keruntuhan dan yang paling runtuh daripadanya adalah hati yang membangunkannya, sedangkan akhirat adalah negeri pembangunan dan yang paling terbangun daripadanya adalah hati yang meruntuhkannya.

Sekali lagi saya bermenung panjang. “Sibuknya aku membangunkan duniaku, sedangkan bekalan akhiratku yang kekal itu entah kemana”.  Kehidupan dunia ini lambat laun pasti akan binasa dan ada penghujungnya, sedangkan kehidupan akhirat itu adalah kekal buat selama-lamanya dan tiada berpenghujung. Kehidupan dunia ini begitu pendek sedangkan angan-anganku begitu panjang. Sabda Rasulullah s.a.w: 

عن عبد الله رضى الله عنه قال: خط النبي خطا مربعا، وخط خطاً في الوسط خارجا منه، وخط خطوطاً صغاراً إلى هذا الذي في الوسط من جانبه الذي في الوسط وقال: هذا الإنسان، وهذا أجله محيط به، أوقد أحاط به، وهذا الذي هوخارج أمله، وهذه الخطوط الصغار الأعراض، فإن أخطأه هذا نهشه هذا، وإن أخطأه هذا نهشه هذا

Dari Abdullah r.a meriwayatkan suatu ketika Nabi s.a.w membuat satu garisan berbentuk empat segi. Kemudian baginda melukiskan satu garisan sehingga keluar dari rajah empat segi tersebut. Baginda juga melukiskan garisan-garisan kecil da dalam rajah di antara garisan tengah. (Ulama telah melukiskannya dengan pelbagai bentuk) di antaranya adalah seperti ini, yang diambil dari Kitab Al-Ahadith al-Muntakhobah oleh Al-'Allamah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi rah.a:
 Kemudian baginda bersabda: Garisan tengah ini adalah manusia, dan garisan empat segi ini adalah ajal mautnya yang manusia tidak dapat lari darinya. Garisan yang terkeluar dari kotak itu adalah angan-angan manusia yang lebih panjang dari kehidupannya. Garis-garis kecil di dalam kotak itu ialah kejadian dan ranjau-ranjau kehidupannya. Jika ia terlepas dari satu kejadian, maka kejadian yang lain pula akan memerangkapnya. Dan begitulah seterusnya. (Hadith Riwayat Bukhari).

Hadith ini sarat dengan iktibar dan panduan buat kita dalam mengharungi kehidupan. Sungguh tepat apa yang diperumpamakan oleh Rasulullah s.a.w itu, berkali-kali saya meneliti hadith ini. Inilah kotak kehidupan, yang menggambarkan secara keseluruhan bagaimana manusia menjalani kehidupannya di dunia. Sesungguhnya angan-anganku sangat panjang sedangkan kehidupan ini amatlah singkat. 

Saya mengangkat sedikit kepala memerhatikan lelaki yang menyampaikan nasihatnya itu. Hati ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyedarkan saya dari terus dilamun mimpi indah yang memperdaya. Masa pun berlalu dan terus berlalu.

Sehinggalah beberapa hari lepas Allah s.w.t telah takdirkan saya bertemu kembali dengan lelaki tua yang kaya hati tersebut di sebuah masjid. Katanya “Doakan saya nak, pertengahan Mei ini pakcik nak ke Indonesia, berdakwah di sana.” Allahu Allah. Kagum saya melihat semangat agama yang ada pada diri pakcik ini, biarpun tidak ada siapa yang mengenalinya di dunia ini, namun semangatnya untuk membantu agama ini amat tinggi.  Melihatnya bagaikan melihat bayangan kehidupan para sahabat r.a yang dalam sirah mereka telah bertebaran ke serata penjuru alam demi menyampaikan risalah Islam.

Nasihatnya akan saya semat utuh di dalam hati sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan dunia yang singkat ini. Keikhlasan orang-orang yang seumpama ini  adalah bagaikan pelita-pelita hidayah yang menerangi kegelapan.

"Haji tolong doakan untuk saya juga, doa yang yang keluar di jalan Allah s.w.t sangat mustajab, doakan kami dan bayi kami yang masih dalam kandungan ini agar kelak dapat mejadi da'ie macam para sahabat r.a." Biarlah angan-angan, harapan dan impianku hanya besar dalam hal seperti ini sahaja. Doakan kami.

Dinukilkan dalam sebuah hadith:

عن تميم الداري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "الدين النصيحة، قالوا: لمن يا رسول الله؟ قال: لله، ولكتابه، ولرسوله، ولأئمة المسلمين وعامتهم

Daripada Tamim Dari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Agama itu adalah semata-mata nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Maka baginda s.a.w bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.” (Hadith riwayat Muslim).

Muhammad Ishak Zaini
3 Mei 2011
30 Jamadil Awal 1432H

14 ulasan:

~ida~ berkata...

"Haji tolong doakan untuk saya juga, doa yang yang keluar di jalan Allah s.w.t sangat mustajab, doakan kami dan bayi kami yang masih dalam kandungan ini agar kelak dapat mejadi da'ie macam para sahabat r.a."

Barakallahulaka wa laha....aminn..

ismadiyusuf berkata...

selagi hidup kat dunia ni, selagi tulah cinta dunia makin membara dan hanya iman yang mantap sahaja dapat menurunkan baraan dunia itu...

fuad ansari berkata...

Benar sungguh kata2.. Terima kasih atas perkongsian yg sungguh menginsafkan ni..

Apa yang biasa terjadi:
Junjung dunia dan jinjing akhirat.. (bila dunia nampak goyang, maka akhirat dilepaskan..)

Sama2 azam untuk:
Junjung akhirat dan jinjing dunia.. (bila akhirat nampak goyang, maka lepaskan dunia..)

p/s: Dah ada bayi dalam kandungan erk.. Tahniah....

Ishak Zaini berkata...

Ida,
Amin. Jazakillahu khairan jazak.

Ismadiyusuf,
Benar, Jazakallah atas tambahan nasihat yang amat mendalam maksudnya itu.

Fuad Ansari,
Benar, dunia hanya persinggahan sementara, akhirat jua yang kekal abadi.. Jazakallah.

musa berkata...

semoga allah terima doa untuk bakal anak yang akan lahir nanti

Ishak Zaini berkata...

Haji Musa,
Doakan kami tuan Haji.. Moga dipermudah urusan dan selamat semuanya.

ahLia teeeetttttt..... berkata...

salam..

waaaa...xcited nyer...

dah ader babay dah? best2

ehmm...jazakallah perkongsian ini.. insaf

Ishak Zaini berkata...

ahlia teeett,
Wa'alaikum salam w.b.t. La tansana fi du'a-ik. (Jangan lupa kami dalam doa zai). Jazakillah.

Anak Pendang Sekeluarga berkata...

mashallah,tahniah ustaz...hahhhaa

Ishak Zaini berkata...

Anak pendang,

Jazakallahu khairan jazak. Jangan lupa doakan kami.

Tanpa Nama berkata...

ALLAH maha besar........tahniah kalau ALLAH IZIN KAN imam di di sg kelamah akan mendapat cucu seramai 6 org tahun ini...semoga semua akan menjadi daie.....AMIN YA RABBAL ALAMIN

Ishak Zaini berkata...

Kak Wangi yang pemalu nak memperkenalkan diri,

Doakan moga selamat semuanya. Kalau balik kampung, sampaikan salam kami pada pak imam tercinta. Jazakillah.

musa berkata...

jawapannya "KU"

Zamir Amno berkata...

MasyaAlah suke n insaf bc artikel ni.. jzkk