Jumaat, Mei 27, 2011

Catatan Sebuah Perjalanan - Pemuda Yang Hatinya Pada Masjid



Hujan di luar masjid itu masih rintik-rintik. Sesekali angin sejuk bercampur bayu laut bertiup menyapa lembut para jemaah yang baru usai memuja dan memuji Allah s.w.t. Di kalangan mereka ada yang terus memetik manik-manik tasbih berkasih dengan Tuhan mereka. Ada juga yang sibuk menadah tangan berdoa dan bermunajat, sebahagian yang lain pula ada yang sedang sibuk dalam satu halkah kecil menela'ah kitab agama, ada yang tekun membaca kalam Allah yang mulia. Angin sepoi-sepoi bahasa yang menghembus mendinginkan para jemaah. Sudah hampir seminggu cuaca agak redup. Hening sungguh rasanya di antara waktu maghrib menanti isyak ini. 

Dalam kedinginan malam yang baru hendak berlabuh, masih ada hamba-hamba Allah s.w.t yang cekal hati nya menuju ke masjid membesarkan Allah s.w.t, meleraikan kerinduan kepada Zat yang maha Agung, Raja bagi segala raja, Pencipta tujuh petala langit dan bumi, yang dengan keagungannya meliputi segalanya, dari sekecil-kecil makhluk di dunia yang ini sehinggalah sebesar-besar Kursy dan 'Araiys. Raja di kehidupan dunia mahupun di kehidupan akhirat. Sang Pemilik segala Kebaikan, Kesempurnaan dan Kemuliaan yang mutlak. Pujian-pujian ditujukan hanya untuk Allah yang Agung, Sang Pentadbir Alam Semesta, yang peredaran bumi, bulan, matahari, bintang dan segala yang ada di cakerawala ini dalam pemerhatian dan kawalanNya. Juga Sang Pemilik Hati para hamba. Yang mendengar segala bisikan orang yang meminta kepadaNya dengan penuh kesyahduan. Yang memperkenan hajat dan doa para hamba hanyalah Dia, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..

Agak ramai anak muda di masjd itu, melebihi golongan yang telah berusia. Ada di kalangan para jemaah itu dari golongan yang agak berada, tidak kurang juga ramainya dari golongan miskin. Walau apa jua latarnya, semuanya sujud menghadap kiblat yang satu. Ada yang datang dengan berkenderaan, lebih tinggi lagi ada yang datang dengan berjalan kaki menongkah gerimis demi menagih secebis kasih dan keredaan dari Tuhan.

Semakin bersungguh kita mendatangi Allah, maka semakin bersungguh pula Allah s.w.t akan mendekati kita. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu dalam hatinya, maka Aku akan mengingatinya dalam hatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu perhimpunan, nescaya Aku akan mengingatinya dalam perhimpunan yang lebih baik (iaitu jemaah para malaikat yang maksum lagi suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka aku akan dekati dia sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, maka Aku akan dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekatiKu dengan berjalan, maka aku akan dekati dia dengan berlari." (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan lain-lain.)

Betapa ajaibnya iman apabila telah menguasai diri. Mampu menolak hati-hati pencinta Tuhan untuk tetap hadir menyahut seruan Ilahi, membelakangkan kesukaan hawa nafsu. Di satu sudut yang lain, bukankah lebih enak pada cuaca-cuaca sejuk sebegini untuk duduk sahaja di rumah berteman tilam dan bantal yang empuk.



Akan tetapi apabila kekuatan iman telah datang, tiada apa yang dapat menghalang, biar datang ribut dan badai, biar terpaksa mengharung onak dan duri. Betapa kemanisan iman mampu menghilangkan segala kesakitan dan kesusahan yang ditempuhi. Kagum saya melihat beberapa anak muda yang berlari-lari anak bertandang ke masjid itu. Biar basah pakaian mereka disimbahi hujan, tidak mereka peduli, asalkan dapat merebut kasih dan rahmat Allah s.w.t yang berlipat kali ganda. Hakikatnya lagi bersungguh-sungguh mereka datang kepada Allah s.w.t, maka lagi bersungguhlah Allah s.w.t akan mendekati mereka.

Teringat kata azimat seorang guru saya, dalam setitik mujahadah kita menekan perasaan untuk melaksanakan perintah Allah, s.w.t dan meninggalkan laranganNya di dunia yang sementara ini, ada selautan kelazatan yang Allah s.w.t sediakan untuk kita di kehidupan akhirat yang kekal abadi nanti.

Ibadat fardu telahpun selasai. Di beberapa sudut masjid itu, ada empat atau lima orang remaja itu masih sedang sibuk menyambung pengabdian mereka. Ada seorang itu sangat tekun dengan zikirnya, seorang lagi saya perhatikan sedang tunduk berdoa. Pandangan saya menjadi sayu melihat betapa tekunnya mereka beribadah. Mata saya terpaku memandang beberapa anak muda yang berhati waja itu. 

Masakan tidak, usia mereka masih belasan tahun. Akan tetapi hatinya telah diikat dengan masjid..Seorang anak muda yang lama khusyuk menadah tangan berdoa memohon sesuatu dari Allah s.w.t saya perhatikan gelagatnya. Lima minit telah berlalu, namun dia tetap masih setia menadah tangan sambil matanya sedikit tertutup dan mulut yang sedikit terkumat kamit. Sejuk perut ibu yang mengandungkannya, hati saya berbisik.

Manfaat jangka panjang yang akan diperoleh pula sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w: "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah s.w.t di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah s.w.t", seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang mengingati Allah s.w.t  di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadith riwayat Abu Daud, Tirmidhi dan Ibnu Majah)

Nah, bukankah padang mahsyar nanti penuh dengan kedahsyatan, manusia dalam kebingungan dan huru-hara, justeru apabila naungan Allah s.w.t telah diperoleh (melalui sedikit usaha di dunia ini), maka akan terselamatlah ia dalam huru-hara pada hari kebangkitan. Sesungguhnya sesiapa yang datang ke masjid seolah-olah mengetuk pintu rahmat Allah s.w.t yang amat besar, dan pintu rahmat Allah s.w.t itu sentiasa terbuka seluas-luas untuk sesiapa yang ingin mengetuk dan memasukinya.

Demikian gelagat beberapa anak muda di marhalah saya, yang beberapa bulan lepas (sekitar Februari 2011) sewaktu saya masih hanya berdua dengan seorang lagi rakan seusaha menjalankan usaha ziarah mingguan, sewaktu saya mendatangi mereka, mereka hanya duduk-duduk melepak di siring jalan sebagaimana kebanyakan anak-anak muda yang lain di kampung mereka. Seingat saya dalam sekelompok anak muda  yang kami datangi waktu itu salah seorangnya sedang diwarnakan rambutnya oleh seorang lagi temannya. Apabila dakwah disampaikan, mereka tekun mendengar. Begitulah seterusnya mingu-minggu yang seterusnya perlahan-perlahan mereka didekati, akhirnya pada bulan April 2011 sebahagian dari mereka dapat mengikuti program khuruj tiga hari kami berpusat di sebuah masjid di ceruk sebuah desa di Semporna.

Syukur pada Allah, kesan yang amat positif hasil daripada khuruj fi Sabilillah tersebut, mereka mengambil manfaat sepenuhnya sewaktu khuruj itu. waktu-waktu terluang banyak digunakan untuk bermuzakarah perkara-perkara 'atas langit dan bawah bumi'. Adab dan sunnah yang diajar terus diamalkan. Semangat mereka yang dahulunya pada perkara yang bukan-bukan, tetapi kini telah disalurkan dengan semangat keagamaan. Jika dahulu lagu dan muzik yang menjadi siulan, kini lidah mereka dibasahi ayat-ayat al-Quran dan Zikrullah. Jika dahulu rambut diwarna-diwarnakan, kini jika  kepala tidak berketayap atau bersongkok pun mereka akan rasa malu. Dan Alhamdulillah, rangkaian amalan 'Dakwah, Ta'lim dan Istiqbal', dapat dilaksanakan di marhalah kami berkat bantuan, kerjasama dan usaha dari golongan anak-anak muda seperti inilah. Apa yang diharapkan semoga amalan ini berterusan sehingga ke hari kiamat.

Suatu ketika dahulu, sewaktu usaha ziarah dari rumah ke rumah dan dakwah dijalankan, kami ada bertemu dengan seorang anak muda yang sedang duduk-duduk di berandar rumahnya. Setelah ta'ruf dan penerangan maksud kedatangan kami secara ringkas dibuat, cerita tentang akhirat pun dbentangkan, serta kepentingan kita membuat persiapan iman dan amal bagi perbekalan kehidupan akhirat. Akhir sekali pemuda itu di ajak untuk datang ke masjid untuk sambung mendengar penerangan mengenai perkara agama.

Tidak semena-mena pemuda itu bertanya "Ustaz, aku mahu ikut ke masjid, tapi rambut aku ada warna merah sikit ini, jadi bolehkah aku pergi masjid dalam keadaan yang begini." ujarnya sambil menunjukkan ke arah rambutnya yang berwarna itu. Pertanyaan pemuda tersebut membuatkan saya ketawa kecil. Spontan sahabat saya di sebelah memberi jawapan "Boleh bah, kau ikut saja kami pergi masjid, lagipun sikit saja merahnya kan?" Tanya sahabat saya di sebelah. Pemuda itu terus mengiyakan. Lalu sahabat saya menyambut, "Alah, sikit saja tu, kalau merah semua satu rambut pun tak apa, kau datang saja masjid. Pergilah kau bersiap sekarang." begitulah gelagat sebahagian daripada umat ini, yang amat disayangi oleh junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w, yang jika tidak 'saya' dan 'tuan-tuan' pergi kepada mereka memberitahu tentang kebesaran Allah s.w.t, hal-hal akhirat, kepentingan usaha atas iman dan amal, dan lain-lain, maka mereka hanya tenggelam dalam dunia mereka. Rasulullah yang kita kasihi s.a.w sudah tiada, maka siapa lagi hendak turun padang jumpa umat jika tidak kita yang mengaku umatnya ini?

Kisah sebegini cuma sebuah cerita kecil di medan usaha saya di Semporna ini, walhal di merata tempat seluruh dunia ada beribu-ribu lagi kisah-kisah yang lebih menarik apabila insan-insan yang dahulunya jauh dari Allah s.w.t telah diberi hidayat untuk mentaatiNya dan mendapat manfaat serta kesan yang baik daripada usaha dakwah yang dijalankan. Sekadar untuk kita sama-sama cetuskan kerisauaan dan menyemai sifat kasih pada umat.

Dan pada Sabtu ini, insyaAllah satu perhimpunan kecil bagi pelajar akan diadakan di Semporna sempena cuti persekolahan. Bersemangat sungguh anak-anak muda di marlahah kami hendak menyertainya. Selepas Zohor, jemaah-jemaah untuk khuruj tiga hari akan dibentuk dan dikeluarkan ke kawasan-kawasan yang di mesyuaratkan. Semoga Allah s.w.t jayakan pehimpunan tersebut. Di marhalah kami, sekurang-kurangnya sudah ada lima belas orang menyatakan keazaman dan kesungguhan untuk ikut pada perhimpunan itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua. Daripada melakukan aktiviti yang bukan-bukan dalam cuti persekolahan nanti, lebih baiklah ikat diri anak-anak muda ini dengan masjid untuk belajar usaha dakwah. Mudah-mudahan Allah menerima anak-anak muda di tempat kami untuk membangunkan usaha agama.

Saya teringat sebuah kisah yang sarat dengan iktibar dan pedoman, iaitu kadang-kadang fikir golongan muda lebih tinggi dari fikir orang tua, Kisahnya begini: iaitu tentang dua orang anak muda Ansar dalam peperangan Badar iaitu Muaz bin Afra r.a dan Muaz bin Amr bin Jamuh r.a. (golongan muda) yang bertanya kepada Abdurrahman bin Auf r.a (golongan tua) di manakah Abu Jahal kerana anak-anak muda itu ingin menamatkan riwayat Abu Jahal itu. Perlu diketahui bahawa Abu Jahal bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah pemuka Kafir Quraisy yang amat digeruni, dikawal rapi pula oleh pahlawan dan pengawal yang handal. Namun, Allah s.w.t telah menerima niat dua orang anak muda tadi untuk menjatuhkan Abu Jahal. Kemudian dibantu oleh Abdullah bin Mas'ud, riwayat Abu Jahal dapat ditamatkan dalam perperangan melawan musuh pertama dalam Islam itu. Semangat membara anak-anak muda ini dikagumi oleh Abdurrahman bin Auf r.a sendiri. Meskipun masih muda, tetapi fikirnya tinggi mengalahkan orang yang lebih tua. (Cerita asal dipetik dari Hikayatus Sahabah oleh Al-'Alamah Al-Muhaddikh Asy-Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a yang diambil dari Kitab Asadul Ghabah dan Tarikhul Khamis.) Semoga lebih ramai lagi pemuda-pemuda di zaman ini akan bangkit seperti dua orang Muaz ini.

Apa yang saya amati, fikir anak-anak muda di marhalah kami ini jauh lebih tinggi dari kami yang agak dewasa. Kerana saya mendapati jumlah anak-anak muda yang datang ke masjid semakin bertambah. Rupanya apabila mereka pulang ke rumah, mereka sambung ajak mengajak kawan-kawan mereka yang lain untuk datang mengimarahkan masjid. Allahu akbar. Maksud firman Allah s.w.t:

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (At-Taubah: 18)

Cuaca masih redup, bumi Semporna masih dibasahi air hujan. Wahai Allah, sebagaimana Engkau basahi bumi ini dengan air hujanMu, maka Engkau basahi jugalah hati-hati kami dengan hidayatMu. Dan sebagaimana Engkau sinari bumi ini dengan cahaya matahariMu, maka Engkau sinari jugalah hati kami dengan cahaya pentunjukMu. Jika tanpa pentunjuk dan hidayat dariMu, maka siapalah kami pada saat dan ketika ini. Wahai Allah, semoga apa yang telah menjadi kerisauan Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda, jadikanlah ianya sebagai kerisauan kami juga. Wahai Allah, kasihanilah umat ini. Wahai Allah kasihanilah umat ini. Wahai Allah, kasihanilah umat ini. Jangan biarkan kami hidup tanpa hidayah dan bimbingan dariMu.

---------------------------------------


Mohon doakan juga, Jumaat malam 27 Mei saya dan isteri akan bertolak ke Tawau, berkumpul dan bermalam di sana, sebelum insyaAllah akan bertolak ke Kundasang pada pagi Sabtu 28 Mei ini  untuk khuruj sepuluh hari masturat insyaAllah. Hajat hati hendak khuruj di Kota Kinabalu, apakan daya perancangan Allah s.w.t  lain dari apa yang kami hajatkan. Setelah beberapa kali dimesyuaratkan di markaz Tawau, akhirnya kami diputuskan untuk jalankan usaha di sekitar Kundasang, iaitu kawasan di kaki Gunung Kinabalu. Perjalanan ke sana mungkin mengambil masa selama enam hingga lapan jam, dengan keadaan jalan yang tidaklah seindah dan sebaik jalanraya di semenanjung. Wahai bayi dalam perut isteriku, kami bawakan kamu keluar di jalan Allah s.w.t sebelum kamu lahir ke dunia ini lagi, jika takdirnya setelah kamu lahir ke dunia, terus tetaplah kamu melazimi untuk keluar di jalan Allah s.w.t menjalankan usaha dakwah Ilallah sehingga akhir hayatmu.

Selamat datang juga buat rombongan jemaah masturat dari  kampung saya di semenanjung -Lanchang (cikgu Rahman, Pakcik Mohd Akhir dan rakan-rakan serta isteri-isteri mereka) yang akan tiba di Sandakan 30 Mei ini untuk menjalankan usaha masturat selama sepuluh hari di  sana. Kalau sempat nanti kami suami isteri akan singgah si Sandakan bertemu kalian insyaAllah. Buat rakan-rakan seusaha yang lain juga, selamat menjalankan usaha dakwah dalam cuti persekolahan ini. Moga semuanya dalam rahmat Allah s.w.t. Antaranya bapa dan ibu mertua sendiri, yang sungguh bersemangat untuk keluar sepuluh hari masturat seperti anak dan menantunya ini.. Cikgu Musa dan isteri yang akan ke Indonesia, Haji Saleh dan Ahlianya, blogger Kak Marina, Hajah Ummi Ali dan suami yang akan menerima jemaah serta rakan-rakan seusaha yang lain. mohon selitkan nama kami dalam doa kalian yang amat bernilai di penjuru-penjuru malam itu.

Muhammad Ishak Zaini
27 Mei 2011
23 Jamadil Akhir 1432H

Isnin, Mei 16, 2011

Sebilah Rotan Seorang Guru


Ucapan selamat hari guru buat semua guru-guru yang pernah mendidik diri ini, teristimewa:

1. Emak yang menjadi cikgu nombor satu dalam hidup saya. Sifatnya yang sangat lembut, penyayang, dan amat penyabar. Beliau adalah guru nombor satu dalam sekolah kehidupan saya.

2. Arwah abah. Sewaktu saya kecil, tidaklah saya tahu apa sebabnya abah sangat garang, namun bila dah dewasa ini, baru saya tahu kegarangan abah itulah ubat paling mujarab untuk membentuk peribadi mulia buat anak-anaknya di hari muka. Pepatah menyebut "Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak, tangan-tangankan". Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w: "Jangan kamu mengelak dari merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik." (Imam Ahmad dan Tabrani)

Sebagaimana Lukmanul Hakim a.s pernah bermadah "Pukulan ayah terhadap anak-anaknya adalah seumpama air bagi sawah". (Dur al-Manthur). Sungguh terkesan dengan saranan dua guru terbaik sepanjang zaman ini. Semoga saya dan isteri dapat amalkannya apabila ada anak kelak.

3. Semua warga pendidik di seluruh negara. terutamanya guru-guru saya sejak saya Tadika Kemas Kg. Kenangan Lanchang, S.K Rantau Panjang Lanchang, S.M.A al-Wosto Temerloh, S.M.A al-Khairiah Temerloh, Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM Nilai.

Sebagai renungan bersama, mari kita hayati firman Allah s.w.t:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. (Fatir: 28)

Semoga semakin bertambahnya ilmu di dada, menjadikan kita semakin TAKUT kepada Allah s.w.t.

Selamat Hari Guru, Semoga Allah memberkatimu...

Muhammad Ishak Zaini
16 Mei 2011
12 Jamadil Akhir 1432H

Selasa, Mei 03, 2011

Keinginan Sebuah Hati

“Hati kita ni kecil sahaja, tetapi macam-macam benda kita nak isi”. Sebaris perkataan ini sungguh menyentuh dan memberi kesan yang mendalam kepada hati saya. Saya memerhati seraut wajah lelaki yang semakin dimamah usia yang menuturkan perkataan tersebut. Dengan nada yang rendah dan perlahan, yang telah terpampang di wajahnya beribu duri dan ranjau yang pernah ditempuhinya. 

Dengan ketayap putih yang sentiasa melekat di kepalanya serta sehelai kain ridak (selendang) yang selalu tersangkut di bahunya. Sambil sesekali janggut putihnya meliuk-liuk ditiup angin. Mengingatkan saya kepada sebuah hadith nabi s.a.w yang dipetik dari kitab Jami’ Soghir oleh Sheikh Abul Fadhl Jalaluddin , Abdur Rahman bin Abi Bakr al-Khudairy as-Suyuti atau lebih dikenali sebagai Imam as-Suyuti:

خير جلسائكم من ذكَركم الله رؤيته وزاد فى عملكم منطقه وذكَركم الآخرة عمله

"Sebaik-baik orang yang duduk disekelilingmu (teman) ialah dia yang apabila kamu pandang wajahnya membuatkanmu teringat kepada Allah, dan apabila mendengar bicaranya membuatkan bertambah amalmu, dan dengan melihat kepada amalnya membuatkan kamu akan teringat akan akhirat".

Sungguh tenang melihat wajah yang telah banyak berkhidmat untuk agama ini. Kata-katanya sejuk bagai air yang mengaliri tanah yang gersang. Membuatkan hati yang keras bisa menjadi rawan. Sangat mendalam maksudnya. Teringat akan Allah, teringat akan kehidupan akhirat serta menaikkan semangat untuk memperbaiki serta menambahkan amal ibadah kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا * وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

Maksudnya: Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. (Al-Israa': 18-19)

“Ampuni daku yang hina ini ya Allah, kerana macam-macam makhluk ada dalam hati kecilku ini”. Bisikku sendirian dengan seribu keazaman mensucikan diri. Sesungguhnya hati ini terlalu kotor dicemari sampah cinta dunia yang tebal dan lalang angan-angan yang kian melangit.

Kata hukama': Sesungguhnya dunia adalah sebuah negeri keruntuhan dan yang paling runtuh daripadanya adalah hati yang membangunkannya, sedangkan akhirat adalah negeri pembangunan dan yang paling terbangun daripadanya adalah hati yang meruntuhkannya.

Sekali lagi saya bermenung panjang. “Sibuknya aku membangunkan duniaku, sedangkan bekalan akhiratku yang kekal itu entah kemana”.  Kehidupan dunia ini lambat laun pasti akan binasa dan ada penghujungnya, sedangkan kehidupan akhirat itu adalah kekal buat selama-lamanya dan tiada berpenghujung. Kehidupan dunia ini begitu pendek sedangkan angan-anganku begitu panjang. Sabda Rasulullah s.a.w: 

عن عبد الله رضى الله عنه قال: خط النبي خطا مربعا، وخط خطاً في الوسط خارجا منه، وخط خطوطاً صغاراً إلى هذا الذي في الوسط من جانبه الذي في الوسط وقال: هذا الإنسان، وهذا أجله محيط به، أوقد أحاط به، وهذا الذي هوخارج أمله، وهذه الخطوط الصغار الأعراض، فإن أخطأه هذا نهشه هذا، وإن أخطأه هذا نهشه هذا

Dari Abdullah r.a meriwayatkan suatu ketika Nabi s.a.w membuat satu garisan berbentuk empat segi. Kemudian baginda melukiskan satu garisan sehingga keluar dari rajah empat segi tersebut. Baginda juga melukiskan garisan-garisan kecil da dalam rajah di antara garisan tengah. (Ulama telah melukiskannya dengan pelbagai bentuk) di antaranya adalah seperti ini, yang diambil dari Kitab Al-Ahadith al-Muntakhobah oleh Al-'Allamah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi rah.a:
 Kemudian baginda bersabda: Garisan tengah ini adalah manusia, dan garisan empat segi ini adalah ajal mautnya yang manusia tidak dapat lari darinya. Garisan yang terkeluar dari kotak itu adalah angan-angan manusia yang lebih panjang dari kehidupannya. Garis-garis kecil di dalam kotak itu ialah kejadian dan ranjau-ranjau kehidupannya. Jika ia terlepas dari satu kejadian, maka kejadian yang lain pula akan memerangkapnya. Dan begitulah seterusnya. (Hadith Riwayat Bukhari).

Hadith ini sarat dengan iktibar dan panduan buat kita dalam mengharungi kehidupan. Sungguh tepat apa yang diperumpamakan oleh Rasulullah s.a.w itu, berkali-kali saya meneliti hadith ini. Inilah kotak kehidupan, yang menggambarkan secara keseluruhan bagaimana manusia menjalani kehidupannya di dunia. Sesungguhnya angan-anganku sangat panjang sedangkan kehidupan ini amatlah singkat. 

Saya mengangkat sedikit kepala memerhatikan lelaki yang menyampaikan nasihatnya itu. Hati ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyedarkan saya dari terus dilamun mimpi indah yang memperdaya. Masa pun berlalu dan terus berlalu.

Sehinggalah beberapa hari lepas Allah s.w.t telah takdirkan saya bertemu kembali dengan lelaki tua yang kaya hati tersebut di sebuah masjid. Katanya “Doakan saya nak, pertengahan Mei ini pakcik nak ke Indonesia, berdakwah di sana.” Allahu Allah. Kagum saya melihat semangat agama yang ada pada diri pakcik ini, biarpun tidak ada siapa yang mengenalinya di dunia ini, namun semangatnya untuk membantu agama ini amat tinggi.  Melihatnya bagaikan melihat bayangan kehidupan para sahabat r.a yang dalam sirah mereka telah bertebaran ke serata penjuru alam demi menyampaikan risalah Islam.

Nasihatnya akan saya semat utuh di dalam hati sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan dunia yang singkat ini. Keikhlasan orang-orang yang seumpama ini  adalah bagaikan pelita-pelita hidayah yang menerangi kegelapan.

"Haji tolong doakan untuk saya juga, doa yang yang keluar di jalan Allah s.w.t sangat mustajab, doakan kami dan bayi kami yang masih dalam kandungan ini agar kelak dapat mejadi da'ie macam para sahabat r.a." Biarlah angan-angan, harapan dan impianku hanya besar dalam hal seperti ini sahaja. Doakan kami.

Dinukilkan dalam sebuah hadith:

عن تميم الداري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "الدين النصيحة، قالوا: لمن يا رسول الله؟ قال: لله، ولكتابه، ولرسوله، ولأئمة المسلمين وعامتهم

Daripada Tamim Dari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Agama itu adalah semata-mata nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Maka baginda s.a.w bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.” (Hadith riwayat Muslim).

Muhammad Ishak Zaini
3 Mei 2011
30 Jamadil Awal 1432H