Jumaat, April 22, 2011

Catatan Sebuah Perjalanan - Khidmat Untuk Agama Allah



Beberapa hari lepas saya baru pulang dari khuruj Fi Sabilillah. Tidak sempat hendak berehat panjang di rumah, kami dimaklumkan pula akan kedatangan satu jemaah dari semenanjung yang akan transit dua hari di marhalah berhampiran dengan rumah kami sebelum mereka akan menyambung usaha dakwah dengan kaedah berjalan kaki di pulau berhampiran. Bermakna selepas usai urusan khuruj tiga hari, program seterusnya ialah membantu jemaah semenanjung yang baru sampai itu. Firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ
  
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (As Saff: 14)

Menyahut panggilan ayat tersebut, saya pun bermesyuarat dengan isteri untuk membantu jemaah ini pula. Alhamdulillah isteri sedia untuk membantu. Sokongan padu dari isteri amat memberangsangkan. Semoga Allah s.w.t menerima korban kami yang tidak seberapa ini menjadi penyebab turunnya hidayah buat diri kami, buat anak cucu generasi kami, buat umat di Semporna dan  buat umat di seluruh alam ini. Juga menjadi sebab keredhaan-Mu kepada kami wahai Allah. Apa lagi hajat yang lebih besar di dunia ini dari mengharapkan supaya Allah s.w.t redha pada kehidupan kita sebagaimana Allah s.w.t telah meredhai pada kehidupan para sahabat r.a.

Terlebih dahulu saya mulakan cerita saya dengan kisah khuruj tiga hari kami. Alhamdulillah, tidak dapat hendak digambarkan perasaan ini kerana sangat seronok berbaur syukur yang teramat sangat ke hadrat Ilahi disebabkan kami telah dapat keluar tiga hari sempurna dari marhalah kami sendiri buat julung-julung kalinya. Semoga menjadi saham berguna untuk dibawa di kehidupan akhirat. Semoga Allah s.w.t sudi terus menggunakan diri kita sebagai perantara atau penyebab tersebarnya kebaikan. Diriwayatkan dalam sebuah hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: من دعا إلى هدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه لا ينقص ذلك من أجورهم شيئاً...

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang mengajak kepada hidayah (petunjuk), pahalanya adalah sama dengan dengan pahala semua orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun... (Hadith riwayat Muslim)

Semoga amalan ajak mengajak kepada kepada Allah s.w.t ini berkekalan sehingga ke hari kiamat di marhalah kami dan juga di marhalah-marhalah lain di seluruh pelusuk alam. Rentetan dari entri Beberapa Bulan Di Semporna - Catatan Sebuah Perjalanan yang lalu, saya ada mengisahkan tentang tahap usaha agama di marhalah saya, bagi yang telah biasa dengan jemaah masjid di Malaysia, ia digelar lima amal jemaah masjid iaitu:

1. Mengadakan mesyuarat harian.
2. Menghidupkan ta'lim di rumah dan ta'lim di masjid.
3. Melapangkan masa selama dua jam setengah setiap hari khusus untuk usaha da'wah.
4. Amalan ziarah mingguan di marhalah sendiri dan marhalah berhampiran.
5. Khuruj Fisabilillah selama tiga hari setiap bulan dari marhalah sendiri.

Pada entri tersebut saya mengisahkan tentang masjid di marhalah kami hanya dapat dihidupkan dengan empat amal jemaah masjid. Alhamdulillah, berkat dari doa tuan-tuan yang mukhlisin, pada bulan ini iaitu bulan April 2011 Allah telah memakbulkan hajat kami yang dhaif ini untuk menyempurnakan kelima-lima amal yang dituntut oleh para Masyaikh dalam usaha dakwah ini. 

Ini adalah kerana beberapa hari yang lalu seramai tujuh orang  (dua orang berpengalaman khuruj empat bulan, dan lima orang anak muda yang belum pernah khuruj sebelum ini) yang tinggal di marhalah Inabah Kamal, Semporna telah dapat sama-sama khuruj Fisabilillah. Hati ini terlalu gembira dan ingin berkongsikan kegembiraan itu disini. Ini bermakna bertambah satu lagi marhalah  di Semporna ini telah hidup dengan lima amal jemaah masjid. Semuanya DENGAN IZIN Allah jua. Yang dapat serta dalam khuruj Fisabilillah di marhalah kami bulan ini baru tujuh orang, walhal masih banyak lagi umat nabi yang sepatutnya diusahakan agar bulan-bulan yang berikutnya akan bertambah lagi jumlah yang dapat dikeluarkan di jalan Allah insyaAllah.

Apa yang diharapkan dengan wujudnya amal-amal ini di marhalah kami, semoga ianya akan menjadikan diri yang serba kekurangan ini dapat menjadi bertambah baik, hati bertambah jernih, sifat-sifat terpuji dapat tersemai, serta agama yang sempurna dapat diusahakan agar dapat diamalkan dalam seluruh kehidupan ini. Inilah tujuan utama kerana usaha agama ini bagaikan kursus untuk memantapkan iman diri sendiri. 

Setelah kami pulang ke rumah, saya ada bertanya kepada salah seorang anak muda yang khuruj bersama kami tampoh hari. "Apa dibilang mamak sama bapakmu keluar da'wah kelmarin nak?" -Apa respon emak dan bapamu kamu keluar da'wah semalam. Dan sepatah jawab anak muda tersebut sambil terukir senyuman puas di wajahnya. "Baagus!". Saya turut ketawa melihat reaksi anak muda tersebut kerana sebelum ini ada di kalangan bapa mereka yang keberatan hendak mengizinkan anaknya keluar bersama kami, namun Allah s.w.t punya kuasa pada saat-saat akhir ayahnya mengizinkan jua anaknya untuk keluar bersama-sama dengan kami.

Adapun, jika ada hati-hati hamba Allah s.w.t yang semakin hampir dengan Allah, semua itu adalah hidayah yang Allah s.w.t berikan. Dalam kesyukuran melihat anak-anak muda marhalah kami semakin berjinak-jinak dengan kerja dakwah, saya beristighfar kepada Allah s.w.t sebagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a beristihgfar setelah berbondong-bondong manusia datang kepada agama Allah s.w.t. Dalam bahasa yang mudahnya takut-takut diri ini syok sendiri atau perasan bagus. Firman Allah s.w.t:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ * وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا * فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا 

Maksudnya: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An Nasr: 1-3)

Alhamdulillah, syukur padamu ya Allah. Justeru, misi kami seterusnya ialah cuba untuk menghidupkan rangkaian amalan 'Dakwah, Ta'lim dan Istiqbal' pula di tempat kami. Apa itu da'wah, ta'lim dan istiqbal? InsyaAllah jika berkesempatan saya akan ceritakan di kemudian hari. Kalau ada rakan-rakan seusaha yang telah hidup amalan DTI ini di tempat mereka, mohon ada yang sudi berkongsi pengalaman dengan kami yang baru mencongak hendak memulakannya. Apa yang pasti ianya bukanlah sekadar duduk-duduk sahaja di hadapan laptop dan mengarang itu dan ini, bahkan ianya memerlukan komitmen dan pengorbanan berbentuk amalan. Ianya perlu mengeluarkan sedikit peluh untuk turun padang jumpa umat. 

Alhamdulillah betapa disyukuri nikmat kehidupan ini kerana dikurniakan isteri yang memahami tanggungjawab usaha agama ini. Tidak jemu-jemu sokongan yang diberikan. Air tangannya sentiasa menjadi buah tangan kami kaum lelaki ini dalam menjalankan usaha da'wah ini. Selepas ini bolehlah masak sedap-sedap lagi buat bekalan untuk program ziarah mingguan, program masturat dan sebagainya. Kalaulah sayang tahu betapa bangganya sang suami melihat anak-anak muda di marhalah kita dengan berseleranya mengalas perut dengan makanan yang sayang masakkan, tentu sayang akan teruja untuk terus membantu usaha agama ini dengan daya dan kemampuan yang Allah anugerahkan kepada sayang. 

Tentang jemaah dari semenanjung yang baru tiba kelmarin, isteri telah panjang lebar ceritakan di sini: Story mory lagi dan lagi Boleh sambung baca di blognya insyaAllah. Ada seramai tiga belas orang dalam jemaah tersebut dan salah seorang dari mereka adalah seorang yang saya amat kenali, iaitu salah seorang pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UKM Bangi. Sewaktu zaman saya menuntut di kampus, beliau memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan usaha agama di kalangan mahasiswa UKM, akan tetapi kini beliau telahpun bersara. Tentulah seronok bertemunya kembali selain dapat mengimbau kenangan sewaktu menjalankan usaha di kampus. InsyaAllah, saya berazam untuk membantu jemaah ini semampu yang boleh. Betapa besar khafilah rahmat yang datang bertandang ini, rugilah jika tidak merebut rahmat besar ini. Jom sama-sama kita berganding bahu menjadi pembantu-pembantu agama Allah! Firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Muhammad Ishak Zaini
22 April 2011
19 Jamadil Awal 1432 H

14 ulasan:

Ibnu Mutalib

MasyaAllah.

tak terkata ustaz.
terutama bila tgk jemaah jalan kaki dalam gambar.

agaknya kalau jalan kaki dibenarkan utk org muda mungkin jadi lebih meriah,heh

Marina Ali

Asslamualaikum ustaz..Ya Allah kak ina suka baca catatan ustaz.... terharu,sebak,melihat insan2 yang mengorbankan diri,masa,harta,semata-mata untuk mujahadah di jalan Allah...besar pengorbanan mereka..pengorbanan yang turut dibantu oleh para isteri yang memberi sokongan padu yg tidak berbelah bagi untuk sang suami,bertuahnya Puan Umu...mudah2han segala pengorbanan yg ikhlas ini akn menjaddi asbad hidayat utk semua umat.

Daud

Teruskan usaha...DTI mohalla kami d sandakan pun tgah dusahakan...doa sama2...tahniah dengan 5 amalnya...cuma yang lenig berat untuk istiqamah...he3...tapi dgn rakan seusaha yang sentiasa bagi support...insyaALLAH ada jazbah skit...

Ishak Zaini

Ibnu Mutalib,

Kita sama-sama niat nanti dah cukup umur azam untuk keluar berjalan kaki di jalan Allah insyaAllah.

Er, sori sebab blog seperti blog enta, blog Kak Marina, dan blog rakan seusaha terlalu berat untuk kami layari. Maklumlah laptop kami dah agak uzur, blog yang banyak sisipan macam lampu kelip-kelip, video, mp3, radio dan sebagainya tak mampu laptop kami nak bertahan untuk menjengahnya. Sori ye.

Kak Marina,
Wa'alaikum salam w.b.t.
Semua rasul-rasul yang mendapat sokongan dan dibantu oleh isteri mereka lebih cepat kesan da'wahnya terhadap umat (seperti nabi Ibrahim a.s dan Nabi Muhammad s.a.w) berbanding dengan rasul-rasul yang tidak mendapat bantuan dari isteri mereka (seperti nabi Nuh dan nabi Lut a.s).

Moga Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan laki-laki dan wanita yang menjadi pembantu-pembantu agamaNya.

Daud,
Tak ada apa yang hendak ditahniahkan tuan. Benar, yang penting istiqamah. Doakan kami moga dapat istiqamah dalam usaha tempatan.

ALIAAZUAN

Salam.

Sgt2 trharu kalau bca kisah org buat korban ni..tmbh2 kalau jumpa jemaah jln kaki kat mane2. Itupun masih kena caci maki, halau, tak bg duduk msjd apa smua..dan benar, sokongan para isteri sgt pnting. Takut agama smpai kat dpn pintu rmh saja. baru2 ni dgr byn drp maulana indonesia psl usaha msturat.. mmg terkesan hbs...masyaAllah.Moga Allah kekalkan kita dlm jln2 agama hgga akhir hayat. amin.

Ishak Zaini

Ustazah Aliaazuan,

Antara istimewanya orang yang jalankan usaha da'wah ialah mereka datang entah dari mana-mana, tapi yang peliknya mereka ada di mana-mana..

Biar tak laku pada pandangan manusia, asalkan Allah pandang itu sudah cukup.

Lepas ni ustazah boleh la share bayan masturat Maulana Indonesia itu dengan kami di blog.. Kesian kami tak dapat dengar bayan tersebut secara life macam ustazah.

Tokwan

Salam, sekarang ada satu jemaah 2B jalankaki dari markas Jitra sedang bergerak di Sabah, berusaha dikawasan mana saya tak tahu, kalau jemaah ini pergi tempat anta nusrahlah mereka, mereka ini orang lama, sampaikan salam saya pd mereka cikgu Musa Kola Kedah

Ishak Zaini

Wa'alaikumsalam w.b.t,

Tokwan,

InsyaAllah kalau jemaah Jitra tersebut datang ke Semporna ini saya akan nusrah mereka. Boleh saya korek dari mereka cerita tentang Tokwan. Hehe, gurau je Tokwan.

Doakan markaz Tawau akan buat jord (pehimpunan orang Islam) pada 30/4/11 - 1/5/11 ini. Kepada sesiapa yang berkesempatan dijemput untuk hadir. (lelaki sahaja). Banyak manfaatnya mendengar pesanan dan nasihat dari orang lama insyaAllah.

fuad ansari

SubhanAllah...

Gembira bila mendengar perkhabaran jemaah bergerak seluruh alam...

Saya melihat. golongan yg mengorbankan masa untuk agama Allah lebih berpandangan jauh walaupun terkadang2 mereka bukanlah dikalangan pemimpin masyarakat..

Kalau, ketua syarikat memikirkan tentang kemajuan yg ingin dicapai syarikat untuk tempoh 5-10 tahun mendatang.

Tetapi, golongan yang mengorbankan masa untuk agama Allah, memikirkan tentang kebahagiaan yang ingin dicapai pada kehidupan akhirat yang berkekalan..

Nampak lebih jauh pandangan golongan ini kan.. (",)

Ishak Zaini

Fuad Ansari,

Kita sibuk mengumpul simpanan dunia kita dengan harta yang banyak.

Tapi para sahabat r.a sibuk mengumpul simpanan akhirat mereka dengan membelanjakan sebanyak-banyaknya harta di jalan Allah s.w.t.

Ziarah76

mudah-mudahan Allah pilih saya juga

Ishak Zaini

Ziarah76,

Sama-sama mengharap.. Amin..

Anak Pendang Sekeluarga

saya hari tu,jadi rahaba jemaah jlan kaki,jalan sejauh 10 km...ya Allah hanya Allah saja yg tau...perasaan ini...

Salam ziarah,menarik artikel yang ustaz tulis,saya menjemput ustaz untuk memberi komentar,cadangan untuk penambahbaikan atau pandangan terhadap artikel terbaru saya.Semoga jasa ustaz dibalas oleh Allah SWT.Mana tahu kemungkinan kita berbeza pandangan,jesturu itu,di harapkan dapat berkongsi bersama.

Ishak Zaini

Anak Pendang,

10km jalan kaki, tinggi dah tu. Moga Allah terima pengorbanan enta jadi asbab hidayat buat umat. InsyaAllah nanti saya lawat blog enta.

Related Posts with Thumbnails

Blogger template 'PurpleRush' by Ourblogtemplates.com 2008