Ahad, April 10, 2011

Baju Baru

Walaupun dalam kotak pemikiran ini bermacam-macam cerita hendak dikongsi, namun kesibukan yang mencengkam diri sejak akhir-akhir ini menyebabkan saya tidak mendapat ruang yang cukup untuk mengemaskini blog ini. Dalam tak sedar rupa-rupanya sudah sebulan blog ini sunyi sepi sedangkan blog isteri sudah berderet-deret entri baru. InsyaAllah, kali ini saya tuliskan sedikit di blog ini agar kesepian itu berakhir. Semoga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Entri kali ini adalah berkaitan dengan pakaian, tapi tidaklah saya ingin menyentuh mengenai fesyen, kerana saya tidak ahli dalam hal tersebut. Cuma ingin berkongsi beberapa doa tentang berpakaian untuk kita sama-sama menghafal dan mengamalkannya. Sebenarnya secara peribadi saya telah dihadiahkan dengan banyak baju baru sejak dari tahun lepas. Antara koleksi baju baru tersebut:


Hadiah waktu pertunangan dengan isteri pada 14 September 2010, iaitu sehelai jubah bewarna kelabu. Ianya sangat cantik.

Kemudian saya dihadiahkan lagi dengan dua helai kurta (ala-ala jubah yang ada belahan di sisi) yang juga dihadiahkan oleh isteri tercinta sebagai baju pengantin lelaki pada tahun lepas. Satu bewarna putih dan satu lagi bewarna ungu:

Kurta pengantin versi putih

Versi purple

Dan Alhamdulillah, semalam saya dihadiahkan dengan dua helai lagi baju baru iaitu kurta bewarna coklat dan biru turquoise juga hadiah daripada isteri tercinta. Tahu-tahu je abang sangat suka dengan pakaian jenis ini. Sangat selesa dipakai setiap hari dan yang penting ianya menghampiri sunnah. Jazakillah ye sayang sebab bagi abang baju baru merangkap baju raya untuk tahun ini.

Kurta baru bewarna coklat

Biru turquoise

Disebabkan Allah telah memberi rezeki baju yang banyak kepada saya, maka di sini ingin berkongsikan salah satu daripada doa-doa masnun (doa sunnah) iaitu:

Doa memakai pakaian baru:

للَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنِيْهِ، أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: "Ya Allah bagiMu segala pujian, Engkaulah yang memakaikannya padaku. Aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia dicipta dan aku memohon perlindungan denganMu daripada kejahatannya dan kejahatan tujuan ia dicipta".
(Hadith Riwayat Abu Daud & Tirmidhi).

Doa Memakai Pakaian:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ كَسَانِيْ هَذَا (الثَّوْبَ) وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّيْ وَلاَ قُوَّةٍ

Maksudnya: "Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku dengan pakaian ini, dan memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan kekuatan dariku".
(Hadith Riwayat Abu Daud, Tirmidhi, Ibnu Majah)

Paling senang, Doa menanggalkan pakaian.

بِسْمِ اللهِ
Maksudnya: "Dengan nama Allah".
(HR Tirmidhi)

Jika diamati doanya sangat ringkas dan senang untuk dihafal, kalaulah sehari kita menukar pakaian sebanyak tiga kali, maka dalam masa sebulan kita akan menukar pakaian sebanyak sembilan puluh kali, dan dalam masa setahun pula kita akan menukar pakaian sebanyak seribu lapan puluh kali. Itu baru doa memakai, jika kita amalkan kedua-dua doa memakai dan membuka pakaian pula, maka jumlahnya mencecah dua ribu lebih. Subhanallah, mudahnya membuat pahala. Yang penting ianya doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu kekasih Allah s.w.t, yang juga penghulu segala nabi dan rasul serta junjungan besar kita, Jadi jom kita sama-sama menghafal dan mengamalkannya. Mudah-mudahan kasih Allah s.w.t bersama-sama dengan kita.

Muhammad Ishak Zaini
10 April 2011
7 Jamadil Awal 1432H