Khamis, Mac 10, 2011

Beberapa Bulan di Semporna - Catatan Sebuah Perjalanan

InsyaAllah khamis 10 Mac saya dan isteri akan pulang bersilaturahim ke semenanjung setelah beberapa bulan menjadi duta kecil di negeri Sabah ini. Saya menganggap ini adalah fasa pertama usaha kami di sini, sebagai tujuan bermuhasabah agar dapat lebih memajukan diri pada masa-masa yang akan datang. Banyak pengalaman dapat ditimba sepanjang tempoh beberapa bulan tersebut, yang akan menjadi bekalan dan kenang-kenangan dalam meniti hari-hari muka. Betapa disyukuri nikmat kehidupan anugerah Ilahi ini.


Medan usaha kami, Masjid Inabah Kamal, Semporna.

Pernah seorang kawan rapat dari semenanjung menelefon saya lalu bertanya khabar takut-takut saya semakin lemah dalam menjalankan usaha agama. Alhamdulillah, ada juga kawan yang sudi mengambil berat tentang diri saya. Sebenarnya salah saya juga lama tidak menghubunginya. Beliau adalah seorang rakan seusaha yang pernah lima tahun mengajar di Lahad Datu pada era 90-an dan setelah itu beliau kembali menyambung rezekinya ke semenanjung. Jadi banyaklah nasihat dan perkongsian beliau kepada saya yang masih hijau di Daerah yang majoriti penduduknya berbangsa Bajau dan Suluk ini.

Justeru, di sini sekadar ingin berkongsikan pengalaman dan laporan mengenai usaha yang dialankan di sini, setakat beberapa bulan ini sebagai renungan buat diri sendiri dalam melipatgandakan lagi usaha di masa akan datang insyaAllah, dengan hati yang sentiasa mengharapkan taufik, hidayat serta rahmat dan izin Allah s.w.t jua.

Pada peringkat awal, setibanya saya di Semporna pada tahun lalu, disebabkan tiada saudara mara dan kenalan di daerah ini, maka dengan belas ihsan seorang rakan seusaha yang baru saya kenali, saya menumpang menginap di rumahnya selama dua minggu sebelum saya dapat mencari rumah sewa yang lain.

Pada ketika itu motosikal saya yang dikirim dari semenanjung masih belum tiba lagi. Dan syukurlah rakan tersebut telah bermurah hati untuk meminjamkan saya motosikalnya beberapa hari kepada saya. Saya manfaatkan kenderaannya itu untuk menghadiri Mesyuarat Halkah Semporna Darat dan juga untuk tujuan peribadi yang lain. Sejak di semenanjung lagi telah menjadi kelaziman saya untuk menghadiri mesyuarat mingguan tidak kiralah sewaktu bermahalah di Lanchang, sewaktu di kampus UKM, mahupun sewaktu DPLI di Nilai. Bagi saya mesyuarat mingguan amat penting dalam menggerakkan kerja di sesuatu kawasan. Saya pernah mendengar pesanan seorang Masyaikh usaha dakwah "Kita akan selamat dalam usaha agama ini dan usaha agama ini akan selamat selagi kita meletakkan diri kita dalam dua perkara iaitu mesyuarat dan berkasih sayang".

Oleh kerana itu mesyuarat usaha agama ini kini telah diadakan d merata-rata Halkah dan kawasan di seluruh dunia baik mesyuarat mingguan, mesyuarat bulanan, mahupun mesyuarat tahunan. Malah banyak juga masjid dan surau telah wujud amalan mesyuarat harian. Biasanya tidak susah hendak mencari rakan seusaha di mana-manapun. Kerana setiap kali tiba waktu solat, amatlah mudah untuk menemui mereka di masjid atau di surau, seperti di semenanjung juga. Maka, informasi berkenaan usaha agama amat mudah diperoleh.

Mesyuarat mingguan diadakan pada setiap hari Khamis malam Jumaat (yang dahulunya Jumaat malam Sabtu) di surau Kampung Perigi, iaitu di pinggir pekan Semporna. Terkejut dan rasa teruja untuk menjalankan usaha agama di tempat dan suasana yang berbeza dari semenanjung. Kehadiran mesyuarat juga agak ramai serta penerimaan mereka terhadap orang baru seperti saya ini juga sangat baik. Sehingga saya menjadi rapat dengan mereka dalam masa yang singkat sahaja. Inilah salah satu ajaibnya usaha agama ini. Mahabbah dan kasih sayang yang Allah s.w.t anugerahkan mencurah-curah.

Beritik tolak dari itu, bermulalah saya yang lemah ini menjalankan usaha agama di Semporna. Walaupun tempat ini terkenal dengan keindahan lautnya, namun tidaklah menjadi aktiviti kami ke sini untuk sekadar hanya bersiar-siar melihat keindahan alam semata-mata. Kerana kami sedar kami dihantar ke sini atas satu maksud dan tujuan yang sangat penting.

Saya kemudiannya menyewa bersendirian di sebuah rumah kampung kira-kira sebulan sebelum bercuti panjang. Sementelah menyediakan seadanya kelengkapan rumah buat isteri yang bakal menyusul tidak beberapa lama lagi. (yang pada ketika itu masih bergelar cik tunang). Di marhalah tersebut pada kebanyakan masa suraunya diimarahkan oleh sekumpulan Jemaah Tarekat. Alhamdulillah, saya bercampur gaul secara baik dengan mereka. Bak nasihat seorang sahabat baik: Berkawan baiklah dengan semua orang, dan serendah-rendah dakwah adalah fikir dalam zikir.

Menjelang cuti hujung tahun lepas, saya pulang ke semenanjung dengan kesibukan menguruskan majlis walimah yang sedia menanti. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Allah s.w.t telah hadiahkan sayap kiri yang hebat untuk sang suami bergerak dengan lebih laju dalam usaha agama ini. Tidak menungggu lama, seawal malam pertama kami tinggal sebumbung ta'lim rumah telah kami mulakan dan dapat istiqamah sehingga ke hari ini. Beruntung kedua-dua tangan ini sebab isteri juga kuat fikir agamanya.

Kemudian kami bersama datang ke Semporna dengan semangat yang baru. Kami suami isteri berpindah ke marhalah yang lain pula setelah seorang rakan seusaha mempelawa kami menyewa di rumah keduanya. Kawasan perumahan yang bersebelahan dengan rumah lama kami. Sewaktu awal-awal berpindah ke marhalah ini, amal di masjid tempat kami tinggal masih di tahap yang lemah lagi. Menjadi suatu yang merisaukan hati apabila berminggu tidak meletakkan diri dalam amal masjid. tiada mesyuarat harian, tiada usaha ziarah harian dan mingguan, tiada bacaan hadith dan sebagainya di tempat sendiri. Saya melihat ada sebuah Kitab Fadhail Amal terjemahan Bahasa Melayu di rak masjid namun tidak dihidupkan amalan membaca hadith di masjid ini melainkan selepas Isyak itupun ta'lim dalam Bahasa Urdu yang diperdengarkan oleh sekumpulan warga Pakistan yang berkerja di sini.

Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan akan mendapat sagunya. Maka perlahan-lahan masjid di marhalah ini diusahakan sehingga dapat dihidupkan beberapa amal. Semestinya komitmen dan pengorbanan yang lebih amat diperlukan untuk menghidupkan usaha agama di sini. Tidak dapat tidak, setiap hari harus diperuntukan masa untuk berjumpa manusia bagi tujuan Dawah Ilallah. Lorong ke lorong, jeti ke jeti, titian ke titian, rumah ke rumah, dan hati ke hati. Jika tidak meletihkan diri untuk agama, masakan orang akan datang kepada agama.

Jika dahulu awal-awal saya datang ke Semporna, disebabkan kelemahan saya tidak dapat menghidupkan ziarah mingguan di tempat sendiri, maka ziarah mingguan saya terpaksa menumpang ziarah mingguan marhalah lain. Kini Alhamdulillah, Telah ada mesyuarat harian, telah wujud amalan ta'lim wa ta'lum, dan telah ada amalan ziarah harian dan mingguan (masjid sendiri dan masjid kampung bersebelahan). Cuma amalan mengeluarkan jemaah tiga hari bulanan dari mesjid sendiri yang masih belum direalisasikan. Walaubagaimanapun InsyaAllah, sedikit masa lagi akan diusahakan agar satu jemaah sempurna dapat dikeluarkan dari marhalah ini secepat mungkin.

Tentang malam markaz, malam mesyuarat adalah pada hari Rabu bermula selepas Maghrib dan malam perhimpunan mingguan diadakan pada hari Sabtu malam Ahad. jarak rumah kami untuk ke markaz Tawau adalah sekitar 100km. Setakat ini atas kelemahan diri sendiri, saya masih belum dapat untuk setiap minggu ke markaz, meskipun begitu sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam sebulan, saya akan berusaha untuk hadir ke markaz inyaAllah. Mendengar laporan dari seorang sahabat mengatakan bahawa ramai rakan-rakan seusaha dari Lahad Datu dari dahulu sehingga sekarang ada yang masih istiqamah datang ke setiap progam mrakaz. Jarak tempat tinggal mereka dengan markaz Tawau berkali ganda jauhnya dari kami. Subhanallah, kagum saya dengan pengorbanan mereka.

Teringat kawan yang saya ceritakan yang menelefon saya tadi itu pernah bercerita bahawa waktu beliau tinggal di Lahad Datu, beliau akan bertolak ke malam markaz bermula sekitar jam 11 pagi. Maklumlah kemudahan jalanraya di kebanyakan jalanraya di negeri ini tidaklah sebaik jika hendak berbanding dengan kebanyakkan jalanraya di semenanjung. lebih-lebih lagi sebelum era Milinium. Jadi persiapan yang awal perlu dibuat jika hendak berjalan jauh, setiap minggu pula tu. Allahu Akbar! Nampaknya banyak lagi saya kena belajar dari orang macam mereka ini. Betapa besar ganjaran yang Allah sediakan untuk mereka yang membantu agama Allah s.w.t bersungguh-sungguh seperti ini. Membelakangkan masa rehat mingguan untuk mencari redha Allah s.w.t. Inilah ajaibnya iman.

Berkenaan usaha masturat pula, kami suami isteri akan memperdengarkan bacaan hadith serta bermuzakarah tentang enam sifat sahabat selepas Isyak sebagai amalan harian. Di samping itu , sebagai amalan mingguan pula setiap hari Ahad akan diadakan Ta'lim Mingguan Wanita. di sebuah rumah rakan seusaha di Kampung Bubul Lama. Isteri jsaya turut bersemangat untuk mengahadiri majlis Ta'lim Mingguan Wanita, kerana setiap hari ahad ada sahaja kuih muih yang isteri sediakan seawal pagi sebagai bekalan untuk dibawa ke majlis tersebut. Jazakillah isteriku. Abang berbangga dengan kesungguhanmu.

Sebenarnya banyak lagi kisah dan laporan menarik sepanjang beberapa bulan kami di Semporna ini yang ingan dikongsikan namun akibat kekangan masa, saya terpaksa menangguhkannya dahulu. Diharapkan selepas kembalinya kami dari bercuti sambil bersilaturahim dengan ahli keluarga yang telah berbulan kami tinggalkan ini nanti, kami dapat meningkatkan lagi kesungguhan usaha kami dalam membantu agama di medan yang berkat ini insyaAllah. Muhasabah untuk diri sendiri sepanjang beberapa bulan berada di rantau orang ini. Mohon doa dari tuan-tuan semua. Jazakumullahu khairan jazak.

Muhammad Ishak Zaini
9 Mac 2010
4 Rabiul Akhir 1432H

12 ulasan:

fuad ansari berkata...

Menarik dua kata-kata ni...(",)

"Kita akan selamat dalam usaha agama ini dan usaha agama ini akan selamat selagi kita meletakkan diri kita dalam dua perkara iaitu mesyuarat dan berkasih sayang".

"Berkawan baiklah dengan semua orang, dan serendah-rendah dakwah adalah fikir dalam zikir"

Seronok baca kisah ni.. Moga Allah terima pengorbanan ustaz dan seluruh ummat ini dalam usaha untuk sebarkan agama.. Usaha agama adalah seperti air yang mengalir. Jika ia bertakung, maka akan keruhlah ia..

azharjaafar berkata...

Perjalanan baru bermula.. Semoga Allah beri istiqomah kepada tuan & keluarga untuk memperjuang agama.

Umma-ali berkata...

Aslm, umi terharu...

Marina Ali berkata...

ustaz lebih kurang juga kisahnya ditempat akak,yang paling menyedihkan surau dimarhalah akak tidak membenarkan untuk terima jemaah,buku taalim jugak ada,tapi diletakkan dibelakang...selepas suami akak datang,buku taalim tu diletakkan didepan,dan abang salleh hidupkan taalim buat masa nie masih sorang2 lagi...sedihkan...nak ikram orang kampung pelan2...hanya Allah sahaja yang tahu macammana usaha, kami...doakan akak dan suami ye ustaz

Tanpa Nama berkata...

...Moga Allah swt permudahkan segala urusan ustaz dan rakan seusaha di seluruh Alam....

..istiqamah, istikhlas dan ikhlas..

Apabila Allah permudahkan..semua perkara akan mudah...

misbah ums berkata...

byk mujahadah buat usaha di sana kan ustaz..insyaallah azam keluar area2 tawau lepas ni..

Anak Pendang Sekeluarga berkata...

slm,mshaAllah...barakah....family ustaz...

Ibnu Mutalib berkata...

MasyaALlah... payah nak start tempat baru.. semua taufiq kan ustaz!..

Ishak Zaini berkata...

Assalamu'alaikum.

Fuad Ansari,
Moga Allah terima pengorbanan yang sedikit ini untuk agamanya. Pengorbanan yang mudah-mudahan akan akan menjadi percikan hidayat buat diri sendiri. Bergerak dan terus bergerak membawa agama ke seluruh alam.

Tidak akan rugi orang yang bermesyuarat, dan tidak akan menyesal orang yang istikharah.

Azharjaafar,
Allahumma amin,
Ya Allah ikhlaskanlah kami dalam usaha ini, istikhlaskanlah kami dalam usaha agama ini, dan istiqamahkanlah kami di atas jalan ini.

Umma Ali,
Umi, orang Melaka (terutama Haji Mokhtar) antara yang banyak berjasa menghidupkan usaha agama ini zon tenggara Sabah ini (Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau). Beliau pernah lama tinggal di Sabah dan menjadi sebab hidupnya usaha agama di Bahagian timur dan tenggara Sabah. Sampai sekarang jasa orang Melaka di sebut-sebut orang di sini.

Satu lagi kisah menarik, iaitu pada bulan Dis 2010 yang lepas, Jemaah Dr. Rafi UPM (yag juga adalah orang Melaka) telah buat usaha selama empat puluh hari di kawasan pulau-pulau di Semporna, dan hasil dari usaha gigih dan pengorbanan mereka, seramai dua puluh lebih orang pribumi di sini dapat di islamkan dan di bawa keluar ke jalan Allah.

Jika ditambah dengan jumlah ahli keluarga mereka yang di islamkan, jumlahnya mencecah lima puluh lebih. Allahu Allah. Kesungguhan menjalankan usaha yang amat dicemburui.

Kak Marina Ali,
Betapa disyukuri setidak-tidaknya sudah ada satu anjakan daripada kitab tersebut berada di belakang, kini sudah berada di depan untuk diperdengarkan bersama. Berkat fikir risau akak dan abang Salleh, insyaAllah banyak lagi amal-amal akan hidup di marhalah akak insyaAllah.

"Berfikir sesaat lebih baik daripada setahun beribadat." (Ibnu Hibban)

Bila wujud fikir dan kerisauan, serta adanya pengorbanan, petanda usaha bakal bergerak insyaAllah.

Tanpanama,
Amin, moga Allah dengan belas kasihan dan sifat kerahimannya menerima kita semua untuk manjadi sebab tersebarnya agama ini.

Ishak Zaini berkata...

Misbah UMS,
Bukan saya yang jalankan usaha ini, saya tidak ada apa-apa, semuanya kerja Allah. Betapa beruntung jika Allah sudi gunakan diri dan harta kami yang hina ini untuk agamanya.

Orang Tawau mengalu-alukan kedatangan tuan ke sini insyaAllah.

Anak Pendang,
MasyaAllah, amin, didoakan keberkatan dari Allah mencurah-curah untuk enta sekeluarga juga.

Ibnu Mutalib,
Sekadar berkongsi pengalaman, tempat baru kena banyakkan ikram, bergaul dengan masyarakat dengan akhlak yang baik, bercakap dengan bahasa yang lemah lembut, ikram dari segala sudut yang kita mampu, takluk hati mereka terlabih dahulu, muka kena terus senyum, kalau di masjid kena duduk bersama-sama dengan program orang tempatan. Jangan jadi kera sumbang. Tak semestinya banyak cakap dakwah, yang penting ada fikir dakwah. Kena banyak hikmah dalam perkataan dan tingkahlaku, sebab hasrat hati nak jalankan usaha dalam jangkamasa yang panjang, jadi biar perlahan-lahan. Usaha tempatan adalah usaha yang sangat seni dan halus. Hubungan baik dengan orang tempatan bagaikan tapak yang kukuh sebelum dapat memulakan usaha lima amal jemaah masjid. Dan paling penting kena banyakkan doa dan merintih dengan Allah. Kerana hakikatnya kita tidak mampu nak buat apa-apa tanpa izin dari Allah,hanya Allah sebagai pemberi hidayat.

Ya Allah, kerja ini adalah untuk saya, jika saya tidak jalankan kerja ini maka saya adalah dalam kerugian dan kebinasaan. Ya Allah, jika diukur dengan kemampuan saya, nescaya saya tidak mampu, hanya Engkau yang mampu menggerakkan agama dan usaha agama ini di sini. Ya Allah, bukakanlah jalan untuk kami menjalankan usaha agama di sini.

Ibnu Mutalib berkata...

MasyaALlah ustaz.. kene byk belajar nih.

saya ni baru2 je, tapi teringin sangat untuk wujud usaha di kampung .

jazakallahukhair ustaz,nasihat yg sgt2 berguna

Marina Ali berkata...

akak setuju sangat apa yang ustaz katakan....hari ini kelemahan kita yang buat usaha kurang skill hikmah dan ikram...:)