Khamis, Mac 10, 2011

Beberapa Bulan di Semporna - Catatan Sebuah Perjalanan

InsyaAllah khamis 10 Mac saya dan isteri akan pulang bersilaturahim ke semenanjung setelah beberapa bulan menjadi duta kecil di negeri Sabah ini. Saya menganggap ini adalah fasa pertama usaha kami di sini, sebagai tujuan bermuhasabah agar dapat lebih memajukan diri pada masa-masa yang akan datang. Banyak pengalaman dapat ditimba sepanjang tempoh beberapa bulan tersebut, yang akan menjadi bekalan dan kenang-kenangan dalam meniti hari-hari muka. Betapa disyukuri nikmat kehidupan anugerah Ilahi ini.


Medan usaha kami, Masjid Inabah Kamal, Semporna.

Pernah seorang kawan rapat dari semenanjung menelefon saya lalu bertanya khabar takut-takut saya semakin lemah dalam menjalankan usaha agama. Alhamdulillah, ada juga kawan yang sudi mengambil berat tentang diri saya. Sebenarnya salah saya juga lama tidak menghubunginya. Beliau adalah seorang rakan seusaha yang pernah lima tahun mengajar di Lahad Datu pada era 90-an dan setelah itu beliau kembali menyambung rezekinya ke semenanjung. Jadi banyaklah nasihat dan perkongsian beliau kepada saya yang masih hijau di Daerah yang majoriti penduduknya berbangsa Bajau dan Suluk ini.

Justeru, di sini sekadar ingin berkongsikan pengalaman dan laporan mengenai usaha yang dialankan di sini, setakat beberapa bulan ini sebagai renungan buat diri sendiri dalam melipatgandakan lagi usaha di masa akan datang insyaAllah, dengan hati yang sentiasa mengharapkan taufik, hidayat serta rahmat dan izin Allah s.w.t jua.

Pada peringkat awal, setibanya saya di Semporna pada tahun lalu, disebabkan tiada saudara mara dan kenalan di daerah ini, maka dengan belas ihsan seorang rakan seusaha yang baru saya kenali, saya menumpang menginap di rumahnya selama dua minggu sebelum saya dapat mencari rumah sewa yang lain.

Pada ketika itu motosikal saya yang dikirim dari semenanjung masih belum tiba lagi. Dan syukurlah rakan tersebut telah bermurah hati untuk meminjamkan saya motosikalnya beberapa hari kepada saya. Saya manfaatkan kenderaannya itu untuk menghadiri Mesyuarat Halkah Semporna Darat dan juga untuk tujuan peribadi yang lain. Sejak di semenanjung lagi telah menjadi kelaziman saya untuk menghadiri mesyuarat mingguan tidak kiralah sewaktu bermahalah di Lanchang, sewaktu di kampus UKM, mahupun sewaktu DPLI di Nilai. Bagi saya mesyuarat mingguan amat penting dalam menggerakkan kerja di sesuatu kawasan. Saya pernah mendengar pesanan seorang Masyaikh usaha dakwah "Kita akan selamat dalam usaha agama ini dan usaha agama ini akan selamat selagi kita meletakkan diri kita dalam dua perkara iaitu mesyuarat dan berkasih sayang".

Oleh kerana itu mesyuarat usaha agama ini kini telah diadakan d merata-rata Halkah dan kawasan di seluruh dunia baik mesyuarat mingguan, mesyuarat bulanan, mahupun mesyuarat tahunan. Malah banyak juga masjid dan surau telah wujud amalan mesyuarat harian. Biasanya tidak susah hendak mencari rakan seusaha di mana-manapun. Kerana setiap kali tiba waktu solat, amatlah mudah untuk menemui mereka di masjid atau di surau, seperti di semenanjung juga. Maka, informasi berkenaan usaha agama amat mudah diperoleh.

Mesyuarat mingguan diadakan pada setiap hari Khamis malam Jumaat (yang dahulunya Jumaat malam Sabtu) di surau Kampung Perigi, iaitu di pinggir pekan Semporna. Terkejut dan rasa teruja untuk menjalankan usaha agama di tempat dan suasana yang berbeza dari semenanjung. Kehadiran mesyuarat juga agak ramai serta penerimaan mereka terhadap orang baru seperti saya ini juga sangat baik. Sehingga saya menjadi rapat dengan mereka dalam masa yang singkat sahaja. Inilah salah satu ajaibnya usaha agama ini. Mahabbah dan kasih sayang yang Allah s.w.t anugerahkan mencurah-curah.

Beritik tolak dari itu, bermulalah saya yang lemah ini menjalankan usaha agama di Semporna. Walaupun tempat ini terkenal dengan keindahan lautnya, namun tidaklah menjadi aktiviti kami ke sini untuk sekadar hanya bersiar-siar melihat keindahan alam semata-mata. Kerana kami sedar kami dihantar ke sini atas satu maksud dan tujuan yang sangat penting.

Saya kemudiannya menyewa bersendirian di sebuah rumah kampung kira-kira sebulan sebelum bercuti panjang. Sementelah menyediakan seadanya kelengkapan rumah buat isteri yang bakal menyusul tidak beberapa lama lagi. (yang pada ketika itu masih bergelar cik tunang). Di marhalah tersebut pada kebanyakan masa suraunya diimarahkan oleh sekumpulan Jemaah Tarekat. Alhamdulillah, saya bercampur gaul secara baik dengan mereka. Bak nasihat seorang sahabat baik: Berkawan baiklah dengan semua orang, dan serendah-rendah dakwah adalah fikir dalam zikir.

Menjelang cuti hujung tahun lepas, saya pulang ke semenanjung dengan kesibukan menguruskan majlis walimah yang sedia menanti. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Allah s.w.t telah hadiahkan sayap kiri yang hebat untuk sang suami bergerak dengan lebih laju dalam usaha agama ini. Tidak menungggu lama, seawal malam pertama kami tinggal sebumbung ta'lim rumah telah kami mulakan dan dapat istiqamah sehingga ke hari ini. Beruntung kedua-dua tangan ini sebab isteri juga kuat fikir agamanya.

Kemudian kami bersama datang ke Semporna dengan semangat yang baru. Kami suami isteri berpindah ke marhalah yang lain pula setelah seorang rakan seusaha mempelawa kami menyewa di rumah keduanya. Kawasan perumahan yang bersebelahan dengan rumah lama kami. Sewaktu awal-awal berpindah ke marhalah ini, amal di masjid tempat kami tinggal masih di tahap yang lemah lagi. Menjadi suatu yang merisaukan hati apabila berminggu tidak meletakkan diri dalam amal masjid. tiada mesyuarat harian, tiada usaha ziarah harian dan mingguan, tiada bacaan hadith dan sebagainya di tempat sendiri. Saya melihat ada sebuah Kitab Fadhail Amal terjemahan Bahasa Melayu di rak masjid namun tidak dihidupkan amalan membaca hadith di masjid ini melainkan selepas Isyak itupun ta'lim dalam Bahasa Urdu yang diperdengarkan oleh sekumpulan warga Pakistan yang berkerja di sini.

Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan akan mendapat sagunya. Maka perlahan-lahan masjid di marhalah ini diusahakan sehingga dapat dihidupkan beberapa amal. Semestinya komitmen dan pengorbanan yang lebih amat diperlukan untuk menghidupkan usaha agama di sini. Tidak dapat tidak, setiap hari harus diperuntukan masa untuk berjumpa manusia bagi tujuan Dawah Ilallah. Lorong ke lorong, jeti ke jeti, titian ke titian, rumah ke rumah, dan hati ke hati. Jika tidak meletihkan diri untuk agama, masakan orang akan datang kepada agama.

Jika dahulu awal-awal saya datang ke Semporna, disebabkan kelemahan saya tidak dapat menghidupkan ziarah mingguan di tempat sendiri, maka ziarah mingguan saya terpaksa menumpang ziarah mingguan marhalah lain. Kini Alhamdulillah, Telah ada mesyuarat harian, telah wujud amalan ta'lim wa ta'lum, dan telah ada amalan ziarah harian dan mingguan (masjid sendiri dan masjid kampung bersebelahan). Cuma amalan mengeluarkan jemaah tiga hari bulanan dari mesjid sendiri yang masih belum direalisasikan. Walaubagaimanapun InsyaAllah, sedikit masa lagi akan diusahakan agar satu jemaah sempurna dapat dikeluarkan dari marhalah ini secepat mungkin.

Tentang malam markaz, malam mesyuarat adalah pada hari Rabu bermula selepas Maghrib dan malam perhimpunan mingguan diadakan pada hari Sabtu malam Ahad. jarak rumah kami untuk ke markaz Tawau adalah sekitar 100km. Setakat ini atas kelemahan diri sendiri, saya masih belum dapat untuk setiap minggu ke markaz, meskipun begitu sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam sebulan, saya akan berusaha untuk hadir ke markaz inyaAllah. Mendengar laporan dari seorang sahabat mengatakan bahawa ramai rakan-rakan seusaha dari Lahad Datu dari dahulu sehingga sekarang ada yang masih istiqamah datang ke setiap progam mrakaz. Jarak tempat tinggal mereka dengan markaz Tawau berkali ganda jauhnya dari kami. Subhanallah, kagum saya dengan pengorbanan mereka.

Teringat kawan yang saya ceritakan yang menelefon saya tadi itu pernah bercerita bahawa waktu beliau tinggal di Lahad Datu, beliau akan bertolak ke malam markaz bermula sekitar jam 11 pagi. Maklumlah kemudahan jalanraya di kebanyakan jalanraya di negeri ini tidaklah sebaik jika hendak berbanding dengan kebanyakkan jalanraya di semenanjung. lebih-lebih lagi sebelum era Milinium. Jadi persiapan yang awal perlu dibuat jika hendak berjalan jauh, setiap minggu pula tu. Allahu Akbar! Nampaknya banyak lagi saya kena belajar dari orang macam mereka ini. Betapa besar ganjaran yang Allah sediakan untuk mereka yang membantu agama Allah s.w.t bersungguh-sungguh seperti ini. Membelakangkan masa rehat mingguan untuk mencari redha Allah s.w.t. Inilah ajaibnya iman.

Berkenaan usaha masturat pula, kami suami isteri akan memperdengarkan bacaan hadith serta bermuzakarah tentang enam sifat sahabat selepas Isyak sebagai amalan harian. Di samping itu , sebagai amalan mingguan pula setiap hari Ahad akan diadakan Ta'lim Mingguan Wanita. di sebuah rumah rakan seusaha di Kampung Bubul Lama. Isteri jsaya turut bersemangat untuk mengahadiri majlis Ta'lim Mingguan Wanita, kerana setiap hari ahad ada sahaja kuih muih yang isteri sediakan seawal pagi sebagai bekalan untuk dibawa ke majlis tersebut. Jazakillah isteriku. Abang berbangga dengan kesungguhanmu.

Sebenarnya banyak lagi kisah dan laporan menarik sepanjang beberapa bulan kami di Semporna ini yang ingan dikongsikan namun akibat kekangan masa, saya terpaksa menangguhkannya dahulu. Diharapkan selepas kembalinya kami dari bercuti sambil bersilaturahim dengan ahli keluarga yang telah berbulan kami tinggalkan ini nanti, kami dapat meningkatkan lagi kesungguhan usaha kami dalam membantu agama di medan yang berkat ini insyaAllah. Muhasabah untuk diri sendiri sepanjang beberapa bulan berada di rantau orang ini. Mohon doa dari tuan-tuan semua. Jazakumullahu khairan jazak.

Muhammad Ishak Zaini
9 Mac 2010
4 Rabiul Akhir 1432H