Isnin, November 08, 2010

Menyelusuri Jalan Taqwa


Pada suatu hari Rasulullah s.a.w tidak dapat tidur dan asyik membolak balikkan lambungnya sahaja. Isteri baginda telah bertanya. "Ya Rasulullah, mengapa tuan tidak dapat tidur?" Baginda s.a.w menjawab. "Ada sebiji tamar terletak di suatu tempat. Saya telah mengambil tamar itu lalu memakannya supaya tidak membazir. Sekarang saya bimbang mungkin tamar itu ialah tamar sedekah." Tamar itu mungkin adalah tamar baginda sendiri, namun kesangsian itu menyebabkan baginda s.a.w tidak dapt tidur sepanjang malam bimbang tamar itu adalah tamar sedekah.

Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan kisah Abu Bakar r.a mempunyai seorang hamba yang berlagak sebagai ahli nujum di zaman Jahiliah. Hamba itu telah menilik nasib untuk seseorang dan secara kebetulan perkara yang ditiliknya itu benar-benar berlaku. Dia telah diberi upah dan sebahagian daripada upahnya itu telah diserahkan kepada hadrat Abu Bakar r.a sebagaimana yang telah ditetapkan ke atasnya. Abu Bakar r.a telah termakan hasil upahan tersebut. Setelah diketahui keadaan sebenar, Hadrat Abu Bakar r.a telah memuntahkan kesemua makanan itu.

Sebuah kisah yang lain mengenai ketaqwaan Hadrat Abu Bakar as-Siddiq r.a: Ibn Sirrin meriwayatkan bahawa apabila Kahlifah Abu Bakar r.a hampir meninggal dunia. Beliau telah berkata kepada Aishah r.ha. "Hatiku tidak ingin mengambil apa-apa daripada Baitulmal. Tetapi Umar r.a tidak membenarkan aku kerana takut menyusahkan aku. Dengan sebab itu aku terpaksa menerima pemberian itu. Setelah kematianku serahkan kebunku itu (yang berada di sekian tempat) kepada Baitulmal sebagai ganti." Setelah Abu bakar r.a meninggal dunia. Aishah r.ha telah mengutuskan seorang utusan kepada Amirul Mukminin Umar r.a untuk menyerahkan kebun itu sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh bapanya. Hadrat Umar r.a berkata: "Semoga Allah s.w.t merahmati bapamu, beliau tidak memberi peluang kepada sesiapapun untuk memperkatakan sesuatu tentang dirinya." [Abu Bakar r.a sebelum itu telah mencatu wang Baitulmal tersebut, setelah isterinya bersusah payah mengumpulkan wang tersebut untuk membeli sedikit manisan]. (Kitabul Amwal)

Dalam Muwatto' Imam Malik pula dikisahkan tentang ketaqwaan Hadrat Umar al-Khattab r.a. Pada suatu ketika Umar r.a telah meminum susu dan beliau mendapati rasanya lain daripada biasa. Beliau telah bertanya kepada orang yang membawa susu itu. "bagaimanakah susu ini diperoleh?" Orang itu menjawab. "Di padang pasir sana ada sekumpulan unta zakat sedang digembala dan saya telah pergi ke sana. Pengembala-pengembala itu telah memerah susu unta-unta tersebut dan sebahagian telah diberikan kepada saya. Hadrat Umar r.a pun lantas memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan kesemua susu itu.

Sebuah kisah yang lain mengenai ketaqwaan Hadrat Umar r.a: Pada suatu ketika Hadrat Umar r.a telah menerima kasturi daripada Bahrain. Beliau telah berkata. "Adakah sesiapa yang boleh menimbangkan kasturi itu dan membahagi-bahagikan di kalangan orang-orang Islam?" Isteri beliau Atiqah r.ha telah menyahut, "Saya akan menimbangkan kasturi itu." Umar r.a mendiamkan dirinya. Selepas beberapa ketika beliau mengulangi soalannya itu lagi. "Adakah sesiapa yang akan menimbang kasturi itu dan boleh membahagi-bahagikannya?" Isterinya sekali lagi manawarkan perkara yang sama tetapi beliau terus mendiamkan diri. Pada kali yang ketiga beliau menerangkan. "Aku tidak suka engkau memegang kasturi dengan tanganmu dan meletakkan kasturi itu di atas dacing dan kemudian menyapu tanganmu ke badan. Dengan perbuatan itu, akau akan mendapat bahagian yang lebih daripada orang lain sebanyak itu."

Begitujuga ketaqwaan yang dimiliki oleh Hadrat Umar Abdul Aziz rah.a yang juga digelar sebagai Umar yang kedua. Pada suatu ketika di zaman pemerintahannya, kasturi sedang ditimbang. Beliau menutup hidungnya sambil berkata. "faedah kasturi hanyalah dengan menghidu baunya." (Ihya 'Ulumuddin)

Ya Rabb, Berikan kami taufik untuk meneladani secebis dari sifat ketaqwaan mereka.

___________

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (Ali Imran: 133)

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). (At-Talaq: 3)

Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Al-A’raaf: 26)


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali Imran: 102)


Abdullah Ibnu Mas’ud r.a berkata: ketika menafsirkan firman Allah s.w.t surah Ali Imran: 102: 'Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa'. Beliau menyatakan: "Hendaklah Dia (Allah s.w.t) ditaati dan tidak dimaksiati, diingat serta tidak dilupakan, disyukuri dan tidak diingkari."


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. (At Taubah: 119)

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat: 13)


Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa. (Ta-ha: 132)

Nabi s.a.w ditanya tentang penyebab yang paling banyak orang masuk ke dalam surga, maka Baginda s.a.w menjawab, “Bertaqwa kepada Allah dan akhlak yang baik. Dan ketika ditanya tentang sesuatu yang paling banyak menjerumuskan orang ke dalam neraka Baginda menjawab, "Mulut dan Kemaluan." (HR Tirmidzi,)


"Seorang Mukmin tidak akan mencapai darjat taqwa hingga meninggalkan hal-hal yang tidak berguna karena khuatir terjerumus ke dalam hal-hal yang haram." (HR Bukhari, Tirmidzi, Ibn Majah, Hakim, Baihaqi).

Suatu ketika, Abu Hurairah r.a ditanya oleh seseorang, "Wahai Abu Hurairah, apakah yang dimaksud dengan taqwa?" Abu Hurairah menjawab pertanyaan itu dengan memberikan satu gambaran. "Pernahkah engkau melalui suatu jalan yang engkau lihat di jalan itu penuh dengan duri. Bagaimana kamu akan melaluinya?" Orang itu menjawab, "Apabila aku melihat duri, maka aku menghindarinya dan berjalan di tempat yang tiada durinya, atau aku langkahi duri-duri itu, atau aku mundur." Abu Hurairah r.a pun berkata, "Itulah taqwa" (HR Ibnu Abi Dunya)

Asy Syaikh Ad Da'eyah Maulana Inamul Hassan al Kandahlawi ketika ditanya apakah itu taqwa, beliau menjawab "Taqwa ialah sebagaimana seseorang yang melalui jalan yang dipenuhi semak berduri dan dia harus menjaga diri dan pakaiannya daripada terkena semak berduri tersebut, begitulah seharusnya seseorang itu hidup didunia. Taqwa memelihara seseorang dari perkara yang haram, tidak dibenarkan, sia-sia, dan tidak berfaedah. Apabila seseorang itu telah datang sifat taqwanya, maka banyak perkara-perkara yang dibenarkan harus dia tinggalkan "

Wasiat nabi s.a.w kepada muaz bin Jabal r.a. "Bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t walau dimanapun kamu berada, dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan itu. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik" (HR Tirmidzi, Ahmad dan Ad-Darimi).


Seorang hamba itu tidak akan mencapai darjat ketaqwaan sehingga ia meninggalkan apa yang tidak dilarang (barang yang harus atau halal) supaya tidak terjerumus pada hal-hal yang dilarang. (HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Baihaqi )

Dari Abu Dzar r.a, saya telah berkata kepada Rasulullah s.a.w, "Ya Rasulullah s.a.w, berilah wasiat kepadaku." Maka Rasulullah s.a.w bersabda, "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah s.w.t karena ia adalah puncak setiap perkara." Saya berkata, "Tambahkan untukku ya Rasulullah." Maka baginda s.a.w mewasiatkan lagi, "Hendaklah kamu membaca Al-Quran, karena ia adalah cahaya bagimu di dunia dan menjadi pusaka untukmu di langit." (HR Ibnu Hibban)


Imam al-Ghazali rah.a menyatakan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Adapun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "bertaqwa".


Hasan Al-Basri menyatakan bahwa taqwa adalah takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah s.w.t, dan menunaikan segala yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Taqwa juga bermaksud kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.


"Orang yang bertaqwa boleh diketahui dari keadaan lahiriah dan batiniahnya. Keadaan lahiriah dengan selalu memelihara hukum-hukum Allah s.w.t dan batiniahnya selalu berniat dan melakukan segala hal dengan tulus dan ikhlas." (Ibn Atho'illah Assakandari)


Ya Rab, Diri ini terlalu mengharapkan Rahmat dan ampunan dariMu..

___________

Seorang alim pernah ditanya oleh seorang budak. "Ustaz, apa beza iman dengan taqwa?" Ustaz menjawab. "Iman dan taqwa tak jauh bezanya, macam langit dan bumi sahaja." "Haa??" Budak muda terkejut kehairanan.

Ustaz pun menerangkan. "Begini, saya akan berikan contohnya sahaja agar kamu mudah faham. Orang beriman dan orang bertaqwa antara ciri-cirinya: Orang beriman bila dia mendengar azan, dia akan cepat-cepat pergi ke masjid. Tapi orang bertaqwa lagi tinggi, belum azan dia dah berada di masjid menunggu untuk solat. Takut-takut dia terlewat atau telepas takbiratul ula dalam solat berjemaah, jadi dia datang sebelum azan lagi supaya dapat persiapkan diri dia awal" "Waa.." Budak muda kekaguman.

Ustaz menambah "Satu lagi contoh kalau wanita beriman, sekurang-kurangnya dia menutup aurat dengan menutup seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan. Secara umumnya ini telah memadai. Tapi kalau taqwa lagi tinggi, dia pakai purdah terus. Sebelum orang lelaki lain tertengok dia, dia dah dinding dirinya dari dilihat" "Waa.." Budak muda sekali lagi terkesima.."

"Satu lagi, orang beriman kalau berjalan dan tertengok wanita, dia akan cepat-cepat kalihkan matanya. Sekali tengok boleh lagi, tak boleh ulang nak tengok dua kali. Tapi kalau orang bertaqwa lagi tinggi, dia akan merendahkan pandangannya terus. Sebelum tertengok wanita, dia dah elak dirinya dari tertengok. Sekarang dah boleh faham?" Soal orang alim tersebut. "Waa.. Nampak macam sama iman dan taqwa ini ya, tapi taqwa la yang lagi tinggi ye ustaz. Ya, sekarang saya sudah faham. Terima kasih atas penerangan ustaz" Budak muda menyahut puas dengan jawapan mudah ustaz. (Kisah diadaptasi dari pengalaman peribadi penulis)

Sebetulnya diri ini tak layak hendak menceritakan tentang tajuk ini, lantaran masih jauh dari mendapat sifat taqwa tersebut. Namun semoga ada manfaatnya sebagai nota dan peringatan buat diri sendiri dalam menyemarakkan semangat untuk mengikuti jalan taqwa. Ya Rab, dimanakah aku pada pandangan-Mu.

Menyelusuri Jalan Taqwa

M. Ishak Bin Zaini
7 November 2010

30 Zulqaedah 1431H

4 ulasan:

zarch berkata...

- Ya Rabb, Berikan kami taufik untuk meneladani secebis dari sifat ketaqwaan mereka -

...amin...amin..ya Rabbulalamin...

Ishak Zaini berkata...

Saudara Zarch,

Amin.. Ya Rabb.. Sesungguhnya keharuman kehidupan mereka semerbak wanginya hingga hari ini, kami merindui keharuman itu ya Allah..

aliaazuan berkata...

Salam Ustaz Ishak,

sungguh! terasa sgt rendahnya diri ini.

اللهم اهدني بالهدى ونقني بالتقوى واغفرلي فى الآخرة والأولى

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm Ustzh Aliaazuan..

Rasa rendah diri di hadapan Allah pun dah suatu nikmat yang besar.. Semoga Allah menganugerahkan apa yang ustazah rasa itu kepada saya juga..