Ahad, Oktober 10, 2010

Sebuah Kerinduan


Sedang aku baru sahaja masuk ke rumah yang ku tumpangi itu, sayup-sayup kedengaran laungan azan Asar dengan gemersik alunan rentak Nahwan yang sangat shahdu dari corong pembesar suara masjid berdekatan. Subhanallah. Tersentuh hatiku mendengarnya. Seperti azan di Semenanjung juga. Aku cukup suka mendengar azan berentak ini dan biasa mendengarnya di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur, salah sebuah rumah Allah yang aku suka singgahi sewaktu di semenanjung.

Azan sebagai seruan agung mengisyaratkan telah tiba masa untuk diri ini perlu bersegera menuju ke rumah Allah s.w.t. Sungguh hening suasana kampung ini, sehening hati ini mendengar laungan azan Asar itu. Sehening hati para hamba apabila tunduk sujud kepada Penciptanya. Daerah ini sedikit asing bagiku. Namun sering mengingatkan aku seperti kehidupan di beberapa tempat di negara miskin yang pernah ku lawati suatu ketika dahulu. Aku pernah merindui suasana sebegini apabila pulang ke tanah air ketika itu.


Suasana nampak zuhud tetapi tahap penghayatan agama agak bagus jika nak dibandingkan dengan daerah kelahiranku. Sebelum azan berkumandang entah apa-apa yang mereka sibukkan, Akan tetapi apabila suara azan berkumandang, ramai laki-laki berkopiah mulai berduyun-duyun bergerak menuju ke rumah-rumah Allah. Aku rindukan keheningan sebegini. Biarpun tidak sehebat suasana agama di zaman para sahabat r.a, namun setidak-tidaknya ada bayangan yang cenderung ke arah itu. Suasana manusia-manusia yang ingin menjadi soleh.

Sewaktu bersantai di sebuah surau, seorang teman di daerah yang baru ku kenali ini menyatakan kepadaku. "Tempat *ta'lim mingguan masturat di sini diadakan di rumah Hj Tusman, rumahnya depan sekolah yang ustaz mengajar tu". Subhanallah. Dengan sedikit terkejut berbaur gembira dan teruja aku mendengarnya, dan itu perkhabaran paling gembira dariku yang akan ku sampaikan kepada **si dia yang dirindui. Tentu hatinya berbunga-bunga mendengar ceritaku nanti. Tentu bertambah suka dia mahu ke sini nanti. Awalnya kusangka aku akan dihantar ke tempat yang tandus dan gersang, rupanya dihantar ke tanah yang subur, lubuk emas permata. Maka singgahsana di taman syurga ini bakal menjadi hadiah istimewa dari Allah s.w.t untukmu hai dinda.

*program mingguan untuk kaum ibu yang dilaksanakan di rumah-rumah yang telah ditentukan. Antara progamnya ialah bacaan Kitab Fadhilat Amal, muzakarah dan sebagainya.

**penulis blog adalah tunangan seseorang yang ingin melangsungkan pernikahan beberapa bulan lagi serta bercadang untuk membawa isteri ke sini setelah berkahwin nanti InsyaAllah. Mohon doa untuk kami.


Rindu terlerai dan rindu berbunga. Rindu terlerai kerana hatiku rasa dekat dengan agama di sini, sementara rindu berbunga teringat kat insan-insan di seberang laut sana. Maafkan anakanda wahai bonda, kerana mengheret bonda ke permainan perasaan ini. Awal-awal tiba di sini, bertubi-tubi handsetku menerima panggilan dan mesej terutama dari kaum keluarga, rakan seusaha dan insan tersayang. Baru sahaja sampai sudah bertingkah-tingkah bahasa-bahasa rindu yang masuk. Bila berjauhan, handset jugalah sebagai alat melerai rindu meskipun yang keudara hanya tulisan dan suara tanpa wajah.

Jika kelopak mata langit tidak menangis, masakan bunga-bunga di bumi akan ketawa keriangan. Seorang diri merantau ke tempat orang, sendirian menyelusuri persisiran pantai dan laut. Keseorangan merenung rembulan di langit yang pekat. Semakin lama aku disini semakin tebal rinduku pada mereka. Terutama pada kaum keluarga, sahabat handai, dan tentunya si dia yang bakal menyusulku ke sini. Wahai insan-insan yang ku sayangi, jangan kalian risau, ku dihantar ke daerah yang selamat, yang bagus keadaan agamanya. Angin semilir yang bertiup dari arah laut lalu menyapa pohon-pohon nyiur yang meliuk kebahagiaan di tepian laut jernih itu sangat mendamaikan hati. Terima kasih wahai Allah kerana sentiasa mengirimkan kebahagiaan ini buatku.

Awan senja kian berarak, malam mula merangkak. Azan sekali lagi bakal berkumandang. Jadi kita tangguh dahulu masa untuk berjiwa-jiwaan. Ya Allah, kirimkan kerinduanku ini buat mereka yang merinduiku.

Terlanjur berkisah mengenai rindu, maka turut mahu dikongsikan bersama sebuah kisah menyentuh hati mengenai Muazzin Rasul, Bilal bin Rabah r.a, yang kerinduan untuk menziarahi makam Nabi s.a.w setelah lama tidak bertandang ke kota Madinah al-Munawwarah. Apabila menyebut sahaja nama Bilal r.a, kita pasti teringat penderitaannya menanggung siksaan dalam mempertahankan keimanan. Seorang hamba yang telah merdeka yang disayangi oleh Nabi s.a.w dan para sahabat ,juga seorang yang telah banyak jasanya kepada Islam. Di bawah adalah sebuah kisah tentang kerinduan Bilal r.a. dan penduduk Madinah yang mampu membuatkan air mata para perindu Nabi mengalir berlinangan.

Setelah Nabi s.a.w wafat, sukar untuk Bilal r.a untuk terus tinggal di Madinah dengan melihat tempat Baginda yang telah kosong. Oleh sebab itu beliau telah berniat untuk menghabiskan saki baki hidupnya dalam jihad. Lantaran itu beliaupun bertolak untuk menyertai jihad. Beliau tidak pulang ke Madinah beberapa lama.

Pada suatu hari, Bilal r.a. bermimpi bertemu Nabi s.a.w. Dalam mimpinya itu baginda, "Wahai Bilal, apa yang menyebabkan engkau tidak datang kepadaku".

Setelah bangun dari dari tidurnya, Bilal r.a. segera pergi ke Madinah. Hasan dan Husain r.huma memohon agar Bilal r.a. melaungkan azan. Permintaan daripada kedua-dua orang yang dikasihi bukanlah perkara yang boleh ditolak. Bilal r.a. pun mula melaungkan azan seperti pada zaman Nabi s.a.w. Sebaik sahaja suara Bilal r.a sampai ke pendengaran penduduk kota Madinah, maka berhamburanlah air mata mereka. sehingga kaum wanita pun keluar dari rumah-rumah mereka dalam keadaan menangis.

Setelah beberapa hari Bilal r.a. tinggal di Madinah, Bilal r.a pun pulang, dan beliau meninggal dunia kira-kira pada tahun kedua puluh Hijriyah di Damsyik. (Asadul-Ghabah - Ibn Athir)

Dipetik dari kitab "Hikayatus Sahabah" oleh asy-Syaikh al-'Arif Billah Ad-Da'iyah al-Muhaddith Muhammad Zakaria al-Kandahlawi rah.a. Semoga ada manfaatnya dalam memandu kerinduan kita.

Buat sang perindu malam yang sentiasa menyintai dua rakaat solat ketika berdiri di gelita malam. Mohon diselitkan namaku di celah untaian doa-doamu.

Ishak Zaini.
10 Oktober 2010
2 Zulkaedah 1421H

10 ulasan:

umu6point berkata...

Assalamualaikum...

Allahuakhbar..bertuahnya tuan dan bakal ahlia kelak di hantar ke bumi Allah yg usaha agamanya begitu subur..

Semoga anugerah Allah ini nanti menghasilkan tunas2 yang mekar dan menjadi asbab usaha agama terus berkembang apabila pulang ke tanah air kelak..amin :)

Ishak Zaini berkata...

Wa'alaikumsalam wbt.

Allahumma amin thumma amin thumma amin. Jazakillah atas doanya yang sangat berharga itu. Betapa pada saat-saat ini, doa-doa ikhlas dari orang langit seperti saudari amat saya harapkan.

Yang megalir dari telaga yang jernih, adalah air yang jernih juga insyaAllah.. :)

aliaazuan berkata...

Assalamualaikum.

MasyaAllah..tak lama lg rupanya.Alhamdulillah.

Smoga Allah Taala terus pilih Tuan dan bakal ahlia utk buat usaha agama. Bila ada fikir,smuanya Allah akan permudahkan. InsyaAllah.

Ishak Zaini berkata...

Wa'alaikumsalam..

Allahumma amin thumma amin thumma amin..

Ustazah Aliaazuan.. Jazakillahu khairan jazak atas doa ustazah yang amat bernilai tu..

Allah yubarik fih..

Ana muhtaj 'ala du'aik.. La tansana fi du'aik..

aliaazuan berkata...

Salam.

Erk! Ustazah? MasyaAllah...

Allahumma amiin, thumma amiin, thumma amiin...

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm..

Amin ya ustazah..

~ida~ berkata...

salamualaykum..

rasa sebak pula baca tulisan ansari kali ni..
teringat zaman jauh di perantauan,lebih kurang sama jer perasaan tu...
Tapi Allah tu adilkan,kesedihan dengan ujian yang sedikit di gantikan dengan seribu kegembiraan yang hadir..

istiqomah...istiqomah....!!

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm wbt ida.

Selamat pulang dari perantauan. Allahu yuhanniuki..
Fa inna ma'al 'usri yusra..

ukhti,mardhiah berkata...

Assalamualaikum.......
semoga zaujah tuan dpt mnyesuaikan diri dgn baik disana....semoga dia tidak merasa keseorangan dan kesepian bila berjauhan dari keluarga...semoga dia tidak mengingat kenangan bersama adik-beradik,anak2 semut dan ibu bapa y bo mengalirkan air matanya.....emm semoga tuan akan menjaganya sebaik ibu bapa menjaganya...dan menyanyanginya,lebih dari adik beradiknya menyanyanginya...InsyaAllah..semoga berjaya di dunia dan akhirat.

Ishak Zaini berkata...

Wkmslm wbt cikgu diah,

Allahumma amin.. Jazakillah atas pesanan dan amanat yang menyentuh hati dan penuh keikhlasan.

InsyaAllah kami takkan sia-siakan kerisauan dan kesedihan cikgu..