Rabu, Oktober 27, 2010

Manusia Akhirat


Bersantai sejenak untuk renungan bersama.

Jika kita tidak betulkan diri kita di dunia, takut-takut Allah s.w.t akan membetulkan diri kita di akhirat. Adalah menjadi satu kesusahan yang besar bagi kita jika Allah s.w.t membaiki diri kita di akhirat nanti. Begitu juga, kita perlu perbetulkan iman kita di dunia ini. Allah s.w.t mahu kita kembali kepadaNya dengan membawa keimanan dan keyakinan yang betul tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu apapun. Allah s.a.t mahu amalan kita bertepatan dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Jika tidak, kita akan menerima balasan yang pedih di akhirat nanti.

Untuk mengusahakan sesebuah pertanian yang mampu mendatangkan pulangan yang bagus, memerlukan komitmen yang jitu, masa yang banyak, penjagaan yang baik, serta ketelitian dari segenap aspek. Lantaran untuk pertanian itu rosak amatlah mudah. Maka semakin baik penjagaan sesuatu pertanian itu, semakin cerah peluangnya mengaut banyak pulangan. Begitu juga untuk membina iman adalah suatu perkara yang susah, memerlukan komitmen yang berterusan, masa yang banyak, penjagaan yang baik dan sering berlawanan dengan nafsu, (contohnya baru nak berehat, tiba-tiba kedengaran laungan azan, kenalah menekan nafsu untuk bingkas bangun dan bersiap menuju ke masjid). Sebaliknya untuk merosakkan iman amatlah mudah. Terlalu banyak perkara yang mampu merosakkan iman berada di zaman ini.

Untuk menanam padi, benih perlu disemai dan dijaga dengan baik, perlu awasinya dari serangan musuh. Sebaiknya lalang tumbuh dengan begitu senang, tumbuh melata tanpa diundang. Begitulah halnya, perkara baik susah nak tumbuh, perkara buruk senang untuk tumbuh. Nak buat pahala adalah bermacam kesusahan terpaksa ditanggung, untuk berbuat dosa, amatlah mudah, kerana perkara yang mampu menjerumuskan kita kepada dosa datangnya dari segenap arah tanpa diundang.

Barang semahal mana sekalipun, jika tidak dijaga dengan baik, lama-kelamaan ia akan menjadi rosak juga. Sebaliknya, barang yang buruk tetapi jika kita menjaganya dengan baik, ia tetap akan menjadi elok jua. Begitu juga dengan iman yang berharga, jika tidak dijaga dengan baik, ia akan menjadi rosak juga.

Lazimnya kita selalu perasan muda dalam berbuat dosa dan maksiat, tetapi tidak perasan tua dalam beramal ibadat dan bertaubat. Umur dunia mungkin panjang lagi, namun apa yang pasti umur kita takkan sepanjang umur dunia ini. Sedikit masa lagi, insyaAllah, kita akan pergi. Dunia akan semakin jauh berlalu meninggalkan kita, di depan kita akhirat semakin hampir.

Rasulullah s.a.w telah tinggalkan kita satu cara hidup sempurna untuk kita ikuti. Jalannya penuh ranjau dan duri, selalu berlawanan dengan nafsu. Namun akhirnya jalan itu yang akan membawa kita ke Jannah yang penuh kesenangan. Umum mengetahui, dunia adalah tempat bercucuk tanam, dan akhirat adalah tempat menuai hasil yang kita usahakan di dunia. Untuk membina dan menyediakan kediaman akhirat kita, tempat untuk mengusahakannya adalah di dunia. Kerana kita adalah anak-anak akhirat, maka jadilah kita anak-anak akhirat.

Ishak Zaini
27 Oktober 2010
19 Zulqaedah 1431H