Jumaat, September 10, 2010

Antara Kesukaan dan Pengorbanan



Jika kita manahan lapar untuk perkara dunia, umpamanya kita berlapar demi mengusahakan kerja keduniaan kita, ladang pertanian atau perniagaan kita, atau lapar disebabkan kerja pejabat kita, maka kita tidak merasainya sebagai satu pengorbanan.

Namun jika kita berlapar seketika untuk agama, sebagai contoh lewat menjamah makanan atas sesuatu urusan agama, maka kita merasa seolah-olah kita telah membuat satu pengorbanan yang besar.

Jika kita berjaga malam untuk menyiapkan urusan-urusan keduniaan kita, sebagai contoh tatkala manusia lain sedang nyenyak tidur dan kita pula sibuk menyiapkan assignment, atau menyiapkan sesuatu urusan pejabat yang kita bawa balik untuk disudahkan di rumah, maka kita merasakan ianya sebagai satu perkara yang biasa sahaja.

Namun jika sesekali kita dapat berjaga malam atas urusan agama, mengambil wuduk tatkala orang lain sedang nyenyak tidur, lalu mengerjakan dua rakaat solat, mengabikan diri kepada Allah s.w.t, maka kita merasakankan bahawa seolah-olah kita telah melakukan satu pengorbanan yang besar untuk agama.

Sejumlah wang lima puluh ringgit kita merasakan betapa kecil jika di bawa ke pasaraya,membeli lauk-lauk kegemaran kita, sayur dan makannan serta keperluan harian kita, betapa tidak ada apa-apanya jumlah wang lima puluh ini.

Namun jika not lima puluh kita bawa ke masjid, lalu memasukkan ia ke dalam tabung masjid, kita akan merasa betapa besarnya kita telah berkorban untuk agama. Atau dengan wang lima puluh itu kita mensedekahkannya kepada faqir miskin. Maka kita merasakan bahawa betapa besar wang yang telah kita korbankan untuk agama.

Jika kita menekan butang-butang telefon bimbit kita selama setengah jam tanpa henti bertingkah mesej dengan buah hati kesayangan kita, sambil tersenyum keseorangan, kita merasakan betapa sekejapnya setengah jam itu berlalu. Itupun belum tentu cukup tempoh setengah jam itu.

Namun kita merasakan betapa lamanya tempoh setengah jam untuk kita habiskan sebentar menarik manik-manik tasbih bagi berZikrullah. Merenung dan mengingati Allah s.w.t, zat yang menciptakan kita, buah hati kita, serta Zat yang mencipta dan memelihara seluruh apa yang ada di alam ini. Atau kita duduk selama beberapa minit sambil menselawati kekasih Allah s.w.t serta menyoroti perjuangan baginda dan para sahabatnya. Ataupun jika selama setengah jam kita dapat duduk beristirghfar menangisi dosa-dosa yang pernah kita lakukan, maka kita akan merasakan yang kita telah melakukan satu pengorbanan.

Jika kita menggunakan masa kita selama beberapa jam untuk menonton sesebuah filem, atau menggunakan masa yang sama untuk keluar bersiar-siar di tepi laut, maka kita merasakan ianya adalah sesuatu yang biasa dan bukannya satu pengorbanan.

Namun jika kita memperuntukkan selama tiga jam untuk mendengar ceramah agama atau mendengar cerita-cerita tentang kebesaran Allah s.w.t, risalah kenabian, tentang akhirat, atau menghabiskan masa kita selama tiga jam untuk membaca al-Quran, maka betapa lamanya kita merasakan tempoh tiga jam itu. Dan jika kita sanggup melakukannya maka kita merasakan bahawa kita telah melakukan satu pengorbanan yang besar untuk agama.

Jika kita pergi bercuti selama beberapa hari di sebuah pusat peranginan, atau jika kita dihantar untuk berkursus untuk sesuatu tujuan keduniaan, maka kita merasakan ianya sesuatu yang biasa sahaja.

Namun jika terdapat sekumpulan orang Islam datang mengajak kita untuk melapangkan masa selama beberapa hari untuk program keagamaan, maka betapa lamanya dirasakan tempoh beberapa hari itu dan kita merasakan ianya adalah satu tuntutan pengorbanan yang besar.

مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الْآخِرَةَ

Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat..(Ali Imran: 152)

Kita sukakan keduniaan, namun dalam masa yang sama kita perlu usahakan kehidupan akhirat kita.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
(al-Baqarah: 201)

Dalam setitik mujahadah dan pengorbanan yang kita menekan nafsu yang kita suka di dunia ini, demi melakukan-perkara-perkara yang Allah s.w.t sukai, maka ada selautan kelazatan dan kesenangan yang Allah s.w.t akan berikan kepada kita di akhirat nanti.

Kesusahan dan pengorbanan di dunia untuk agama, adalah kesenangan yang abadi di akhirat.

Selamat berkorban!

Salam Aidilfitri 1431H
Maaf Zahir Batin

Ishak Zaini,
10 September 2010,
1 Syawal 1431H

2 ulasan:

umu6point berkata...

huhuu...terus sampai ke hati.. entah kenapa perkataan2 yang di sampaikan terasa sangat pada saya.. Jazakallah mengingatkan.
Selamat menyambut Aidul fitri :)

Ishak Zaini berkata...

Tepuk dada tanya iman. saya pun sama.. terasa je, kalau mengadap laptop.. berjam-jam rasa macam sekejap sangat. Tapi kalau buka quran, belum sejam dah terasa lama..
Tanda iman tengah sakit. Istighfar betul. Moga Allah dengan limpah Rahmatnya mengurniakan secebis rasa cinta kita kepada amal-amal agama..