Ahad, September 26, 2010

Catatan Sebuah Perjalanan


Masa tidak hanya diam, waktu terus berjalan, masa akan terus berpacu. "Kehidupan kita akan sentiasa melangkah ke depan, ia tidak akan berundur ke belakang lagi. Masa yang berlalu akan terus jauh meninggalkan kita dan hari esok bakal kita hadapi. sebagaimana kehidupan dunia yang tidak pasti ini akan berlalu menjadi semalam untuk kita. Sedang kehidupan akhirat yang pasti menjadi esok buat kita. Kehidupan akhirat yang setiap orang akan dihitung amalannya. Dan kesudahan yang baik yang Allah janjikan adalah untuk orang yang bertaqwa."

Aku bermonolog sendirian setelah terjaga di tengah kepekatan malam. Walaupun jasad masih tersisa keletihan disebabkan pelbagai urusan sepanjang hari. Namun sedikit juga tidurnya, mata masih susah juga mahu menyambung rehat. Buatlah apa-apa yang patut kamu buat wahai diri..

"Segala yang mendatang itu juga bakal berlalu. Hidup di dunia tak perlu lama, yang penting ialah hidup yang berkat. Yang penting hidup dalam rahmat Ilahi, yang membayangi kehidupan nabi s.a.w dan sahabat-sahabat r.hum yang deredhai. Hidup yang seperti nabi telah jalani. Hidup di atas jalan yang para sahabat telah ikuti. Lihat cermin, pandanglah dari hujung rambut hingga hujung kaki, adakah diri kita mirip dengan diri nabi. Lihatlah seharian yang kita jalani, adakah menepati kehidupan nabi. Lihatlah kemana akal fikiran kita dicurahkan, adakah fikir kita seiring dan selari dengan fikir nabi."

"Nabi telah tanam dan semai benih yang baik di kalangan para sahabat baginda. Baginda mengusahakan para sahabatnya dari manusia yang hina menjadi semulia-milia manusia. Sebaliknya kita, benih padi belumpun kita menanamnya tapi kita dah sibuk fikir nak halau burung dari memakan padi."

Aku semakin tertarik menerewang memikirkan perkataan salah seorang jemaah dakwah yang kudengari di sebuah masjid yang ku singgahi untuk bersolat maghrib semalam. hati ini berasa teruja untuk terus mendengarnya lalu ku majukan langkah ku kedepan merenungi untaian kata-kata pendakwah tersebut. Sungguh terkesan dengan kata-katanya sehingga terbawa-bawa sehingga ke malam hari.

Petikan komik bersiri Kosmo: 'Sebuah Jurnal'.

"Sama ada kaya atau miskinnya para sahabat r.a, tidak ada apa yang menghalangi mereka untuk mentaati perintah Allah s.w.t. Perintah-perintah Allah dan sunnah-sunnah rasul dapat mereka tegakkan dengan penuh susah payah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Nama sahabat-sahabat r.a telah harum mewangi. Seharum akhlaq dan tingkah laku mereka. Kita ambil nama-nama sahabat menjadi nama anak-anak kita" Sambung pendakwah itu lagi. Aku merenung akhlaqku yang masih belum cukup bagus ini. Bilalah hati ini nak jadi baik. ya Allah, mohon dibantu hamba yang lemah ini.

"Kita kena menangis dengan kehidupan kita tuan. Para sahabat r.a memandang serius kehidupan akhirat mereka. Sedangkan kita memandang akhirat dengan sebelah mata. Jika duit sepuluh ringgit kita hilang, seminggu kita kecoh menceritakan pada orang lain. Tapi jika kita ada pinjam seratus ringgit dengan seorang kawan, kita diamkan aja." Ku kerutkan dahi untuk memahami tamsilan berbentuk sindiran tersebut. "hati kita terkesan dengan dunia, tapi susah nak terkesan dengan akhirat." ujarnya lagi sambil aku turut mengira-ngira hutangku.

"Slogan Islam cantik, enak didengari, namun slogan telah tinggal slogan, hakikatdi sebalik slogan yang dilaungkan itu tak ada. Islam telah kehilangan ruhnya di tangan-tangan kita umat yang kemudian ini. Akhlaq kita teruk tuan. Dengan tetangga, dengan kawan-kawan, akhlaq kita tidak mencerminkan hakikat islam yang sebenar. Lihatlah akhlaq nabi, nabi selalu agihkan tugas yang ringan-ringan pada sahabat-sahabat yang lain, tetapi tugas yang berat-berat nabi s.a.w sendiri yang pikul. Jika bersafar bersama para sahabatnya, tugas memberi makan kepada binatang tunggangan, memasak dan sebagainya diberi kepada sahabat yang lain, dan tugas yang paling berat nabi s.a.w sendiri yang buat. Baginda mencari kayu api, satu tugas yang sangat sulit dilakukan terutama di kawasan padang pasir. Beginilah akhlaq nabi, nabi mudahkan sahabat-sahabatnya, dan nabi sendiri tunjuk baginda buat kerja yang paling susah. Pada lain ketika, baginda akan menerima tetamu yang sahabat-sahabat baginda tidak sanggup mengikramnya (memuliakan- meraikan)"

Betapa pesanan-pesanan yang disampaikan tersebut memberi sedikit ketenangan kepada hati ini. Bermacam perkara yang kufikirkan akhir-akhir ini. Bermacam persiapan hendak dibuat sehingga fikir-fikir agama telah sedikit luntur. Terima kasih Allah s.w.t yang menerima diri ini untuk duduk bersama dengan orang-orang baik tersebut bagi mengambil manfaat dari mereka. Sesiapa yang datang ke masjid seolah-olah ia mengetuk pintu rahmat Allah s.w.t dan pintu rahmat Allah sentiasa terbuka bagi yang datang mengetuknya. Sesungguhnya aku bukanlah orang yang baik-baik, tetapi suka berkawan dengan orang yang baik-baik. Kawan-kawan tolong doakan daku, moga diberi taufik oleh Allah s.w.t untuk menjadi orang yang baik.

Terima kasih istimewa buat: Seluruh ahli keluargaku di Lanchang yang sangat penyabar, Imam Masjid Sungai K* dan anak-anak serta menantu-menantunya yang amat memahami terutama anaknya yang nombor lapan yang dirindui. Tidak lupa Hjh Ummi Ali dan suami tercinta Hj Rahof serta anak menantu yang banyak membantu. Cikgu Zahari sekeluarga. Abang Saha dan Kak Ayu serta anak-anak, Abang Muaz dan Abang Norli serta keluarga. Bro Ziarah76 dan ahlia serta anak-anak yang sudi mendoakan. Pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan sepengajian yang supportive, Shamsul Baharin dan Ahlia, dan Hazwan sekeluarga dan kawan-kawan yang sudi berkongsi kehidupan denganku.

Buat rakan-rakan seusaha di Sabah, jika aku kesejukan datanglah menziarahi aku.

Ishak Zaini,
17 Syawal 1431H

26 September 2010.

Jumaat, September 17, 2010

Bisikan Masturat


Sebuah puisi yang sangat menyentuh hati yang dipetik dari sebuah blog. Saya abadikannya di sini buat perkongsian kita bersama. Semoga ada manfaatnya buat menyemarakkan semangat dalam menjalankan usaha dakwah Ilallah.

BISIKAN MASTURAT

Ermmm….takkan kan kami sanggup melepas dan membiarkan sang bidadari syurga merampas milik kami dengan sewenang-wenangnya..


Biar harta dunia berkurangan, asalkan ia dibelanjakan di jalanNya...

Biar kami sedikit terabai, asalkan si dia tak mengabaikan usaha agama..

Biar kami mengurus istana sendirian, asal fikirnya sentiasa kerana agama, tak mengapa..

Biar kami di tinggal-tinggalkan, asalkan pemergiannya kerana ummat tercinta..

Biar kami sedikit kesusahan di dunia, kerana mengejar ganjaran akhirat kami rela..

Biar seksa melahirkan kami rasa, asalkan lahirnya para da’ie, kami redha..

Biar segala urusan datang menduga, malam markas dan dakwah tak kan kami biarkan si dia leka..

Biar kesempitan masa bersama, mesyuarat mingguan kami pastikan si dia ada..

Biar sibuk dengan urusan dunia, dengan izin Allah amalan sunnah di rumah sentiasa kami jaga..

Biar si dia syahid tika menyebarkan agama, insyaAllah kami sentiasa sedia terima..

Biarkan segala kepahitan perjuangan di telan bersama..demi Allah, segalanya di rasa seperti gula..

Apabila kami redha dan rela, kelak kami yang akan lebih awal untuk menunggu suami tercinta d syurga..

Notakaki Ukht Umuanisah
Sajak untuk bakal suaminya.

Perjalanan Mencari Cinta,
14Sept 2010
5 Syawal 1431H

Jumaat, September 10, 2010

Antara Kesukaan dan Pengorbanan



Jika kita manahan lapar untuk perkara dunia, umpamanya kita berlapar demi mengusahakan kerja keduniaan kita, ladang pertanian atau perniagaan kita, atau lapar disebabkan kerja pejabat kita, maka kita tidak merasainya sebagai satu pengorbanan.

Namun jika kita berlapar seketika untuk agama, sebagai contoh lewat menjamah makanan atas sesuatu urusan agama, maka kita merasa seolah-olah kita telah membuat satu pengorbanan yang besar.

Jika kita berjaga malam untuk menyiapkan urusan-urusan keduniaan kita, sebagai contoh tatkala manusia lain sedang nyenyak tidur dan kita pula sibuk menyiapkan assignment, atau menyiapkan sesuatu urusan pejabat yang kita bawa balik untuk disudahkan di rumah, maka kita merasakan ianya sebagai satu perkara yang biasa sahaja.

Namun jika sesekali kita dapat berjaga malam atas urusan agama, mengambil wuduk tatkala orang lain sedang nyenyak tidur, lalu mengerjakan dua rakaat solat, mengabikan diri kepada Allah s.w.t, maka kita merasakankan bahawa seolah-olah kita telah melakukan satu pengorbanan yang besar untuk agama.

Sejumlah wang lima puluh ringgit kita merasakan betapa kecil jika di bawa ke pasaraya,membeli lauk-lauk kegemaran kita, sayur dan makannan serta keperluan harian kita, betapa tidak ada apa-apanya jumlah wang lima puluh ini.

Namun jika not lima puluh kita bawa ke masjid, lalu memasukkan ia ke dalam tabung masjid, kita akan merasa betapa besarnya kita telah berkorban untuk agama. Atau dengan wang lima puluh itu kita mensedekahkannya kepada faqir miskin. Maka kita merasakan bahawa betapa besar wang yang telah kita korbankan untuk agama.

Jika kita menekan butang-butang telefon bimbit kita selama setengah jam tanpa henti bertingkah mesej dengan buah hati kesayangan kita, sambil tersenyum keseorangan, kita merasakan betapa sekejapnya setengah jam itu berlalu. Itupun belum tentu cukup tempoh setengah jam itu.

Namun kita merasakan betapa lamanya tempoh setengah jam untuk kita habiskan sebentar menarik manik-manik tasbih bagi berZikrullah. Merenung dan mengingati Allah s.w.t, zat yang menciptakan kita, buah hati kita, serta Zat yang mencipta dan memelihara seluruh apa yang ada di alam ini. Atau kita duduk selama beberapa minit sambil menselawati kekasih Allah s.w.t serta menyoroti perjuangan baginda dan para sahabatnya. Ataupun jika selama setengah jam kita dapat duduk beristirghfar menangisi dosa-dosa yang pernah kita lakukan, maka kita akan merasakan yang kita telah melakukan satu pengorbanan.

Jika kita menggunakan masa kita selama beberapa jam untuk menonton sesebuah filem, atau menggunakan masa yang sama untuk keluar bersiar-siar di tepi laut, maka kita merasakan ianya adalah sesuatu yang biasa dan bukannya satu pengorbanan.

Namun jika kita memperuntukkan selama tiga jam untuk mendengar ceramah agama atau mendengar cerita-cerita tentang kebesaran Allah s.w.t, risalah kenabian, tentang akhirat, atau menghabiskan masa kita selama tiga jam untuk membaca al-Quran, maka betapa lamanya kita merasakan tempoh tiga jam itu. Dan jika kita sanggup melakukannya maka kita merasakan bahawa kita telah melakukan satu pengorbanan yang besar untuk agama.

Jika kita pergi bercuti selama beberapa hari di sebuah pusat peranginan, atau jika kita dihantar untuk berkursus untuk sesuatu tujuan keduniaan, maka kita merasakan ianya sesuatu yang biasa sahaja.

Namun jika terdapat sekumpulan orang Islam datang mengajak kita untuk melapangkan masa selama beberapa hari untuk program keagamaan, maka betapa lamanya dirasakan tempoh beberapa hari itu dan kita merasakan ianya adalah satu tuntutan pengorbanan yang besar.

مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الْآخِرَةَ

Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat..(Ali Imran: 152)

Kita sukakan keduniaan, namun dalam masa yang sama kita perlu usahakan kehidupan akhirat kita.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
(al-Baqarah: 201)

Dalam setitik mujahadah dan pengorbanan yang kita menekan nafsu yang kita suka di dunia ini, demi melakukan-perkara-perkara yang Allah s.w.t sukai, maka ada selautan kelazatan dan kesenangan yang Allah s.w.t akan berikan kepada kita di akhirat nanti.

Kesusahan dan pengorbanan di dunia untuk agama, adalah kesenangan yang abadi di akhirat.

Selamat berkorban!

Salam Aidilfitri 1431H
Maaf Zahir Batin

Ishak Zaini,
10 September 2010,
1 Syawal 1431H