Isnin, Ogos 30, 2010

Umat Yang Bergerak





Air yang bergerak dari pergunungan menuju ke lautan, akan memberi manfaat kepada hidupan lain di sepanjang jalannya. Tumbuh-tumbuhan, haiwan, serta manusia akan dapat mengambil manfaat daripada air yang mengalir tersebut.

Sebaliknya air yang tidak bergerak, hanya terkepung di satu tempat, akan mendatangkan kemudharatan kepada hidupan di sekelilingnya. Airnya terdedah untuk berbau busuk, menjadi tempat membiaknya haiwan-haiwan perosak yang mampu mengancam nyawa manusia.

Sewaktu Rasulullah s.a.w beruzlah di gua Hira', sewaktu belum ada sebarang pergerakan dilakukan, keadaan bangsa arab jahiliah tetap tiada perubahan. Mereka tetap dengan kejahilan mereka. Hidup dengan meyakini banyak tuhan, hidup dengan amalan yang rosak. Kemudian dengan perintah Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w mula bergerak menyampaikan agama. Barulah keadaan berubah secara perlahan-lahan, kegelapan jahiliah pun bertukar menjadi cahaya keimanan yang terang benderang.

Kerana ada pergerakan, maka wujudlah golongan Muhajirin. Golongan para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah meninggalkan kaum keluarga dan kampung halaman mereka kerana agama. Dibantu oleh golongan Ansar yang siap sedia mengorbankan diri dan harta mereka untuk membantu usaha agama di zaman awal Islam. Muhajirin dan Ansar bergerak seiringan menyahut keinginan Rasulullah s.a.w dalam menggerak-gerakkan rahmat ke seluruh alam. Firman Allah s.w.t:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ : 107)

Islam sebuah agama yang sentiasa bergerak. Dari Makkah al-Mukarramah, Madinah al-Munawwarah dan sekitar Jazirah Arab, Islam telah bergerak membawa cahaya keislaman dan keimanan ke Benua Afrika, Eropah, Asia. Dari sebuah negara Islam yang kecil menjadi sebuah wilayah Islam yang luas. Hinggalah pelita-pelita hidayah telah nyala di seluruh alam.

Dengan pergerakan para da'e yang terdahulu, pergerakan membawa agama yang didalamnya ada mujahadah dan pengorbanan, maka natijahnya Islam telah sampai ke tanah tumpah yang kita cintai ini. Memerdekakan datuk nenek kita dan keturunannya daripada jajahan kesyirikan, kemungkaran, kebathilan. Betapa ramai kita dapat mengecapi nikmat keimanan hasil dari umat terdahulu yang telah menggerakkan Islam. Sabda Rasulullah s.a.w :

بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء

Maksudnya : Islam bermula dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing. (Hadith riwayat Muslim)

Allah s.w.t telah menghantar kita dengan satu tujuan yang besar, untuk kita bergerak membawa kebaikan kepada umat. Firman Allah s.w.t:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali-Imran: 110)


Dalam sebuah hadth dari Mu’awiyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

‏لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها

Maksudnya: Hijrah tidak akan berakhir hinggalah (pintu) taubat ditutup. Pintu taubat tidak ditutup hinggalah matahari terbit dari sebelah Barat. (Hadith riwayat Abu Daud)

Jelas, umat ini mempunyai tanggungjawab yang besar yang harus dipikul untuk menggerakkan agama ini. Golongan awal Islam telah menunjukkan contoh bagaimana mereka menggerakkan agama ini, dengan pengorbanan diri dan harta, serta pengorbanan keinginan dan perasaan, demi untuk menyebarkan agama. Firman Allah s.w.t:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur, dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisa': 100)

Kita pula, untuk maksud dan tujuan apa kita bergerak? Adakah kita bergerak menepati keinginan Allah dan Rasul? Samakah gerak kita dengan gerak para sahabat r.a? Ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w telah tinggalkan umat dalam keadaan umat sedang bergerak. Selamilah perasaan dan keinginan Rasulullah s.a.w. Bersediakah kita untuk bergerak membawa agama ini? Bergerak seperti air yang bergerak.

-Ishak Zaini 2010

Selamat memburu Lailatul Qadar di ambang kemerdekaan..
Selamat beri'tikaf..




5 ulasan:

ziarah76 berkata...

mari bergerak..

(parti GERAKAN = ada GERAK ada maKAN)

Peluncur Islam berkata...

umat kena bergerak...
macam air...
kena selalu dialirkan...
kalau bertakung...
boleh jadi mudarat dengan izin Allah...

umat ni perlu bergerak...
dalam bentuk kerja dakwah...

Ishak Zaini berkata...

Ziarah 76,

ayuh bergerak! nak makan mulakan dengan Bismillah..

Ishak Zaini berkata...

Peluncur Islam,

Orang-orang batil dengan tak segan silu bergerak membawa dan mencanangkan kebatilan mereka..

Kita orang Islam ada perkara yang Haq,kena berani nak bawa perkara Haq.

Bergeraklah sebagaimana para Rasul a.s dan para sahabat r.hum telah bergerak menyebarkan perkara Haq. Bergerak ke seluruh alam membawa cahaya, cahaya terang yang akan menghilangkan kegelapan.

zarch berkata...

TaqabbalAllahu minna wa minkum - Eid Mubarak, maaf zahir & batin.