Khamis, Julai 29, 2010

Pertemuan


Pada suatu hari, dengan izin Allah, seusai menunaikan solat maghrib secara berjemaah di sebuah masjid, saya berpeluang mendengar satu majlis penerangan tentang iman dan amal. Seorang dewasa yang saya lihat agak dalam pengetahuan agamanya menyampaikan nasihat-nasihatnya, sementara ahli jemaah yang lain duduk rapat-rapat mendengar penyampaiannya. Penceritaan adalah sekitar perkara-perkara yang menaikkan semangat untuk mempertingkatkan keimanan, serta memberi galakan dalam beramal. Kehadiran jemaah yang hadir mengimarahkan masjid pada malam itu agak ramai dari malam-malam yang biasa. Dan dalam majlis itu, saya sungguh terkesan dengan satu kisah yang di sampaikan.

Saya pernah mendengar kisah ini sewaktu kecil dahulu, arwah abah selalu memperdengarkan kepada kami sekeluarga dengan bacaan-bacaan kitab agama Tanbihul Ghafilin karangan Imam Al-Mufassir Abu Al-Laith As-Samarqandi rah.a, di samping bacaan kitab-kitab karangan Al-'Allamah Al-'Arif Billah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi rah.a. Namun apabila mendengar kisah ini untuk kesekian kalinya, ada sesuatu yang membuatkan hati saya tersentuh. Maka, saya kongsikan semula kisah yang saya dengari dari majlis itu di sini, yang saya petik kisah bertulisnya dari sebuah laman web.

...

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang faqih yang mahsyur. Suatu ketika beliau pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada yang menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:

"Pertama; apa yang engkau temui maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan perkara pertama yang ditemuinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu beliau pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba beliau ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, beliau teringat akan mimpinya supaya diterima, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya beliau membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya sesuai dengan arahan kelima supaya melarikan diri daripadanya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya beliau berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya kemarahan nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/himpunankisahteladan2.htm

-intaha-

Banyak perkara kita akan temui dalam kehidupan ini. Kadang-kadang kita didatangkan dengan pelbagai masalah yang sentiasa bertamu dalam hidup kita. Yang penting ialah bagaimana kita melayani tetamu tersebut dengan cara sebagaimana yang sepatutnya dilayani. Semoga ada manfaatnya untuk pedoman kita semua dalam menjalani kehidupan.

2 ulasan:

n0vemBer zuLu berkata...

dulu2 juga pernah dgr cerita ini.

terima kasih sbb ingtkan kembali =)

ziarah76 berkata...

pernah dengar cerita ni, dah terlupa, alhamudlillah dapat baca hari ni.

-doakan saya...