Isnin, Disember 21, 2009

Aku Mahu Hijrah


Assalamu'alaikum..

Mus'ab bin 'Umair r.a, si pemuda kaya Makkah, dahulunya pernah memakai pakaian berharga 200 dirham namun setelah keislamannya beliau meninggalkan segala kemewahan hidup yang dikecapinya itu demi mencari keredhaan Allah. Mus'ab r.a dihantar oleh Rasulullah s.a.w sebagai perintis jalan kepada usaha dakwah di Madinah. Dengan serba kekurangan dan kezuhudan beliau telah berdakwah menyampaikan agama kepada penduduk Yathrib sebelum golongan Muhajirin yang lain menyusul. Bantuan yang diberi oleh pemuka-pemuka Yathrib yang berhati mulia seperti As’ad Bin Zurarah r.a, Usaid bin Hudhair r.a dan Saad bin Muaz r.a juga sangat sempurna. Menjadi titik tolak kepada kegemilangan Muhajirin dan Ansar Islam di Madinah al-Munawwarah.

Hijrah menyaksikan pengorbanan yang besar dari dua golongan untuk agama Allah. Pengorbanan golongan Muhajirin ialah dengan meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka semata-mata kerana agama Allah, menempuhi jarak perjalanan yang sukar dengan segala kesusahan, manakala golongan Ansar pula memberi bantuan kepada golongan yang berhijrah, sudi berkongsi kesenangan hidup menyediakan keperluan kepada sang Muhajir. Alangkah tingginya dan indahnya sifat ithar mereka yang seringkali mengutamakan saudara melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Rasulullah s.a.w sangat kasihkan golongan 'pembantu-pembantu' ini sehingga walaupun setelah Fatah Makkah, baginda yang lahir di Makkah ini tetap mahu megikuti golongan Ansar in kembali ke Madinah, malah jasad nabi s.a.w yang mulia itu juga pada akhirnya disemadikan di tanah tumpah golongan 'pembantu' agama Allah.

Ada di kalangan sahabat r.a yang sempat menyaksikan kegemilangan Islam, dan ada yang tidak sempat kerana telah syahid awal. Termasuklah Mus'ab bin 'Umair r.a sendiri, sumbangan dan pengorbanannya terlalu besar untuk umat ini, namun si pemegang panji utama Islam (perang Badar) yang juga merupakan pemegang panji Muhajirin (perang Uhud) ini telah ditakdirkan syahid seawal dalam peperangan Uhud itu.

Dalam buku-buku sirah Islam, terdapat terlalu terlalu banyak kisah kehidupan para sahabat r.a tidak kira Muhajirin mahupun Ansar yang mana kehidupan mereka sentiasa diwarnai dan dengan pengorbanan, susah payah, dan mujahadah, yang memiliki keimanan yang teguh, yang menjadikan sunnah sebagai cara hidup mereka, yang sentiasa menjaga solat, yang diajar ilmu agama dari guru yang terbaik, sahabat-sahabat r.a yang hatinya sibuk dengan Zikrullah, yang sangat mengasihi orang-orang beriman, yang beramal semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Inilah golongan yang telah berjaya dalam agama, golongan sahabat-sahabat r.a, yang telah menggunakan kemampuan, diri, harta dan segala-galanya untuk agama, yang menjadi suri teladan dan ikutan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka. Mereka telah sanggup mengorbankan kesenangan hidup mereka malah telah menebus umat ini dengan darah dan keringat, sehingga kita yang datang kemudian ini dapatlah meneguk hidayah dan mengecapi nikmat Islam. Allah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar ini melalui firmanNya:

وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:

Dan orang-orang yang terdahulu- yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah: 100)

Redha Allah bukan hanya untuk para sahabat r.a sahaja, malah kepada orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan juga. Oleh itu sama-samalah kita berniat untuk mengikuti kehidupan para sahabat r.a ini. Dengan kaum mana kita menyerupainya di dunia ini, maka bersama dengan kaum itulah kita akan dibangkitkan di akhirat nanti. Moga-moga Allah pertemukan kita dan bangkitkan kita di akhirat nanti bersama dengan para sahabat r.a.

Sesungguhnya agama ini telah dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dengan mujahadah dan susah payah. Kita yang datang kemudian ini, seharusnya begitu juga, menjadi penyambung kerja menyebarkan agama ini dengan mujahadah dan susah payah. Sejauhmana pengorbanan kita untuk agama, sejauh itulah yang kita akan dapat.

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه


Maksudnya

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh 'Umar bin Khattab r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperoleh apa yang dia niatkan. Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya.
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat r.a telah mendapatkan apa yang mereka niat dan usahakan. Allah telah memuliakan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya golongan Muhajirin dan Ansar semua mereka telah berjaya menyukakan Allah dan Rasul dalam hayat yang mereka ada.

Hidup perlu hijrah. Hijrah adalah satu sunnah. Aku juga ingin hijrah kerana agama. Tolong doakan hamba..

Ahad, Disember 13, 2009

Hamba-hamba Ar-Rahman


Assalamu'alaikum..
Sifat hamba-hamba Ar-Rahman..
Firman Allah s.w.t:

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلاماً*
وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً*
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَاماً*
إِنَّهَا سَاءتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً*
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَاماً*
وَالَّذِينَ لا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ وَلا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلا بِالْحَقِّ وَلا يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَاما ً*
يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَاناً*
إِلا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً*
وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحاً فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَاباً*
وَالَّذِينَ لا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَاماً*
وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمّاً وَعُمْيَاناً*
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً*
أُوْلَئِكَ يُجْزَوْنَ الْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلاماً*
خَالِدِينَ فِيهَا حَسُنَتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً*

Maksudnya:

-Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
-Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
-Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.
-Sesungguhnya Neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk;
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
-Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
-Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan;
-Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
-Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
-Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.
-Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
-Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

(Surah al-Furqan: 63-76)

Jom.. Calonkan diri..

Jumaat, Disember 11, 2009

Would You Leave Your Dakwah?



Assalamu'alaikum.

Tawaran diberi..
Wanita, harta dan kedudukan..
Yang diminta cuma supaya berhenti menyampaikan agama..
Namun baginda s.a.w menolak semuanya itu dengan menjawab:



لو وضعت الشمس في يميني والقمر في يساري ما تركت هذا الأمر حتى يظهره الله.


Maksudnya: Jika matahari itu diletakkan di tangan kananku dan bulan di sebelah kiriku, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan kerja ini sehinggalah Allah s.w.t memenangkan agamaNya (atau aku sendiri yang musnah dalam perjuangan itu).
(Riwayat Baihaqi)

Kerja yang tidak ada gaji dan upah..
Namun penting teramat penting..

Mengapa sebegini penting kerja ini?