Sabtu, Oktober 31, 2009

Jangan Campakkan Diri Dalam Kebinasaan


Assalamu'alaikum..
Adalah menjadi sesuatu yang ajaib apabila usaha Rasulullah s.a.w hanya di sekitar Tanah Arab namun agama yang dibawa oleh baginda ini telahpun tersebar ke seluruh dunia. Umum mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w tidak berseorangan dalam menyebarkan agama, bahkan baginda juga telah menyediakan serta menghantar para sahabatnya untuk menyebarkan agama ke seluruh alam. Dan Islam tersebar ke seluruh dunia adalah hasil dakwah dan pengorbanan yang tidak terkira daripada para sahabat r.a serta orang-orang yang mengikuti mereka. Setiap umat Islam perlu melaksanakan dakwah dan menjadikan dakwah sebagai profesion atau kerjaya utamanya sebagai seorang Muslim. Inilah yang difahami oleh para sahabat r.a. Bagi mereka meninggalkan usaha dakwah bererti mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Allah s.w.t berfirman:

وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik.

(Surah al-Baqarah: 195)


Abu Ayub al-Ansari r.a mengatakan “Adakah kamu memahami maksud ayat suci ini? Padahal ayat ini diturunkan adalah kepada kami (kaum Ansar). Peristiwanya seperti berikut: Apabila Islam telah mulai tersebar luas dan ramai yang telah menjadi penolong agama (menyampaikan dan menyebarkan agama), tiba-tiba timbul dalam hati di kalangan kami (orang-orang Ansar) secara diam-diam “Allah s.w.t telah memberi kejayaan kepada orang-orang Islam dan ramai di kalangan umat islam telahpun menjadi pendakwah agama. Dahulu kita (orang-orang Ansar) tidak diberi tumpuan kepada ladang-ladang kita (kerana sibuk dengan tugas mendakwahkan agama), sekarang tibalah masanya untuk kita memberi tumpuan untuk membaiki dan mengusahakan semula ladang-ladang kita itu”. Maka dengan peristiwa ini, ayat di atas diturunkan memberi amaran kepada para sahabat r.a supaya tidak meninggalkan usaha dakwah. (Al-Kandahlawi, Maulana Muhammad Zakariyya, Fadhilat Sedekah)

Ya Allah, berilah kami faham agama sebagaimana sahabat-sahabat r.a faham agama.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Mulia dan Hina


Assalamu'alaikum..
Dinukilkan di dalam sebuah hadith:

عن منيب الأزدى رضى الله عنه قال: رأيت رسول الله (ص) في الجاهلية وهو يقول: ياأيها الناس قولوا لا إله إلا الله تفلحوا. فمنهم من تفل في وجهه، ومنهم من حثا عليه التراب، ومنهم من سبه حتى انتصف النهار، فأقبلت جارية بعس من ماء، فغسل وجهه ويديه، وقال: يا بنية! لا تخشى على أبيك غيلة ولا ذلة، فقلت: من هذه؟ قالوا: زينب بنت رسول الله (ص) وهي جارية وضيئة.

Maksudnya: Daripada Munib al-Azdi r.a meriwayatkan, “Sewaktu saya dalam keadaan jahiliyah, saya melihat Rasulullah s.a.w menyeru: ‘Wahai Manusia, ucaplah La Ilaha Illallah, nescaya kamu akan berjaya!’. Saya melihat salah seorang dari mereka meludah ke muka baginda, dan ada yang melemparkan debu kepadanya, sementara yang lain mencaci-maki baginda. Perlakuan ini berlanjutan sehingga ke tengah hari. Maka datanglah seorang gadis kecil membawa pinggan yang berisi air, lalu ia mencuci wajah dan tangan baginda yang mulia. Dan Rasulullah s.a.w bersabda. ‘Wahai puteriku, janganlah kamu takut kalau bapamu terbunuh secara tiba-tiba, atau ada sesuatu yang menghinakan.’ Saya menanyakan siapakah gadis kecil itu? Orang mengatakan bahawa itu ialah Zainab Binti Rasulullah s.a.w, ia seorang gadis kecil yang cantik.


(Hadith riwayat Thabrani dan Majma' al-Zawaid: 18/6)

Rasulullah saw adalah manusia yang paling mulia..
Ingin beri manusia perkara yang paling mulia..
Tetapi seolah-olah baginda adalah pengemis yang paling hina..
Rasulullah saw dan para sahabat telah tebus umat ini dengan keringat, darah dan air mata.
Kita? Apa pula yang kita lakukan untuk umat ini?

Setelah Rasulullah saw wafat kerja ini telah disambung oleh para sahabat ra.
Mereka faham apa keinginan Rasulullah saw.
Maka mereka telah bergerak ke seluruh alam menyebarkan agama.
Sahabat ra adalah orang yang paling faham agama di kalangan umat ini.
Allah sediakan ganjaran yang begitu banyak jika beribadat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi.
Namun mengapa orang-orang yang paling faham agama ini telah keluar dari Makkah dan Madinah dan bercita-cita untuk mati di jalan Allah?
Kubur-kubur sahabat kenapa sebahagian besarnya berada di luar Makkah dan Madinah?

Orang Ansar pertama yang menyambut Nabi di Madinah ialah Abu Ayub al-Ansari r.a.
Rasulullah saw adalah tetamunya setibanya baginda ke Madinah dalam peristiwa hijrah.
Orang yang sambut Nabi di Madinah, tetapi kuburnya di Turki. Subhanallah!
Mengapa kubur Abu Ayub al-Ansari r.a di Turki?
Mengapa tidak kuburnya di Madinah.
fahamkah kita apa yang sahabat-sahabat ra faham?

Rasulullah saw tidak sempat untuk ke seluruh alam, tetapi keinginan baginda agar agama ini sampai ke seluruh alam. Baginda telah sediakan sahabat-sahabat ra untuk ke seluruh alam. Sahabat-sahabat tahu apa yang baginda inginkan. Tidak ada nabi lain yang Allah akan hantar selepas baginda saw.

Baginda saw telah mewariskan kita satu kerja untuk kita usahakan kepada semua umat supaya mereka datang kepada perhambaan kepada Allah swt. Kita adalah satu ummat dari Bani Adam, kita adalah anak-anak Adam dan Adam dijadikan daripada tanah, apakah yang anak Adam hendak sombongkan yang kita dijadikan daripada tanah dan kepada tanah akan dikembalikan. Rasulullah saw dan sahabat-sahabat ra telah korbankan segalanya demi hidayat untuk umat ini dalam serba kepayahan. Kita dengan segala kesenangan yang kita ada, apa yang dapat kita beri untuk umat ini?

Kata asy syaikh ad da'iyah Maulana Muhammad Ilyas rah.a:
hari ini tempat amal telah diambil oleh muzakarah, banyak cakap tapi amal kurang.
Oleh itu, siapa sedia untuk bantu agama Allah? Siapa sedia untuk jadi macam para sahabat ra?

Rabu, Oktober 28, 2009

Perbaharui Iman




Assalamu'alaikum..

Dinukilkan dalam sebuah hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله (ص) جددوا إيمانكم. قيل: يا رسول الله، وكيف نجددوا إيماننا؟ قال: أكثروا من قول لا إله إلا الله.

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda “Perbaharuilah iman kamu”, Para sahabat r.a bertanya “Ya Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami?” Baginda s.a.w bersabda “Perbanyakkan mengucap (لا إله إلا الله).


(Hadith riwayat Imam Ahmad, Tabrani, Targhib)

Petikan dan sedutan daripada kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi:

”Kita ada satu silap faham dengan dakwah. Kita rasa dakwah hanya untuk orang yang bukan/belum Islam. Sebenarnya dakwah juga untuk orang yang sudah pun beriman.

Allah berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya... ) (An-Nisaa’ 4: 136) Mufassirin menyatakan makna ayat ini seolah-olah menyatakan, ”Wahai orang-orang yang beriman, hiduplah kamu dengan kehidupan yang beriman. Iman yang sempurna dan amalan yang sempurna.” Iman yang ada di dalam hati, mazharnya ada dalam kehidupan dan amalan kita.”

”Satu lagi salah faham kita terhadap kerja dakwah ialah bahawa dakwah itu adalah untuk memperbaiki orang lain. Bukan begitu. Manfaat dakwah yang utama ialah untuk islah diri kita.

Allah berfirman: (Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.) (Ya Sin 36:10) Perkataan ’mereka’ di dalam ayat ini, merujuk kepada ’golongan yang didakwah’. Kesan dakwah kepada mereka sama sahaja, tetapi kepada ’orang yang melakukan dakwah’ ada manfaatnya untuk diri mereka sendiri. Allah berfirman: (Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.) (Al-Ankabut 29: 6)”


”Hari ini, rata-rata fikir untuk kuatkan iman telah terkeluar daripada fikir dan zihin umat. Sedangkan fikir ini adalah asas agama. Dalam banyak riwayat-riwayat menceritakan bahawa para Sahabat saling mengajak sesama mereka untuk bercakap tentang iman dan duduk dalam majlis iman.

Iman para Sahabat adalah contoh kepada manusia seluruhnya. Allah Taala berfirman: (Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman...) (Al-Baqarah 2: 13) Perkataan ’orang-orang itu’ di sini maknanya ialah para Sahabat. Namun begitu, para Sahabat ini masih lagi diminta untuk memperbaharui (tajdid) dan memperkuatkan iman mereka. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada mereka, ”Perbaharuilah sentiasa iman kamu!” Lalu ditanyakan, macamanakah cara untuk memperbaharui iman itu? Jawab Rasulullah s.a.w., ”Perbanyakkanlah berkenaan qaul (percakapan atau perkataan) Laa ilaaha illalLah!”

Makna ’qaul’ di sini boleh jadi zikir atau muzakarah. Zikir secara fardiyy dan muzakarah secara ijtima’i. Kebesaran Allah perlu diulang-ulang dan dicakap-cakapkan. Secara umumnya, muzakarah tentang ini telah terkeluar daripada umat sedangkan ia adalah satu perkara yang penting. Muzakarah tentang benda lain seperti pangkat, harta, darjat dsb wujud, tetapi muzakarah tentang hakikat kalimah ini telah hilang.

Pernah satu masa, Saiyidina Umar masuk dalam satu majlis, dan ada Saiyidina Uthman di situ. Lalu Saiyidina Umar berkata, dalam majlis ini ada seorang yang jika imannya dibahagikan-bahagikan kepada sepasukan tentera sekalipun, akan memadai untuk mereka. Abdullah bin Rawahah, Muaz bin Jabal dan Abu Darda’ sering ajak-ajak Sahabat yang lain duduk-duduk dalam masjid untuk muzakarah tentang iman. Inilah majlis iman. Apa yang selalu dibincangkan, itulah yang akan masuk ke dalam hati. Para Sahabat selalu bincang tentang iman.”


dipetik daripada:
http://gunawanaziz.blogspot.com/2009/07/petikan-kata-kata-hadrat-as-syaikh-ad.html