Isnin, Disember 21, 2009

Aku Mahu Hijrah


Assalamu'alaikum..

Mus'ab bin 'Umair r.a, si pemuda kaya Makkah, dahulunya pernah memakai pakaian berharga 200 dirham namun setelah keislamannya beliau meninggalkan segala kemewahan hidup yang dikecapinya itu demi mencari keredhaan Allah. Mus'ab r.a dihantar oleh Rasulullah s.a.w sebagai perintis jalan kepada usaha dakwah di Madinah. Dengan serba kekurangan dan kezuhudan beliau telah berdakwah menyampaikan agama kepada penduduk Yathrib sebelum golongan Muhajirin yang lain menyusul. Bantuan yang diberi oleh pemuka-pemuka Yathrib yang berhati mulia seperti As’ad Bin Zurarah r.a, Usaid bin Hudhair r.a dan Saad bin Muaz r.a juga sangat sempurna. Menjadi titik tolak kepada kegemilangan Muhajirin dan Ansar Islam di Madinah al-Munawwarah.

Hijrah menyaksikan pengorbanan yang besar dari dua golongan untuk agama Allah. Pengorbanan golongan Muhajirin ialah dengan meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka semata-mata kerana agama Allah, menempuhi jarak perjalanan yang sukar dengan segala kesusahan, manakala golongan Ansar pula memberi bantuan kepada golongan yang berhijrah, sudi berkongsi kesenangan hidup menyediakan keperluan kepada sang Muhajir. Alangkah tingginya dan indahnya sifat ithar mereka yang seringkali mengutamakan saudara melebihi diri dan keluarga mereka sendiri. Rasulullah s.a.w sangat kasihkan golongan 'pembantu-pembantu' ini sehingga walaupun setelah Fatah Makkah, baginda yang lahir di Makkah ini tetap mahu megikuti golongan Ansar in kembali ke Madinah, malah jasad nabi s.a.w yang mulia itu juga pada akhirnya disemadikan di tanah tumpah golongan 'pembantu' agama Allah.

Ada di kalangan sahabat r.a yang sempat menyaksikan kegemilangan Islam, dan ada yang tidak sempat kerana telah syahid awal. Termasuklah Mus'ab bin 'Umair r.a sendiri, sumbangan dan pengorbanannya terlalu besar untuk umat ini, namun si pemegang panji utama Islam (perang Badar) yang juga merupakan pemegang panji Muhajirin (perang Uhud) ini telah ditakdirkan syahid seawal dalam peperangan Uhud itu.

Dalam buku-buku sirah Islam, terdapat terlalu terlalu banyak kisah kehidupan para sahabat r.a tidak kira Muhajirin mahupun Ansar yang mana kehidupan mereka sentiasa diwarnai dan dengan pengorbanan, susah payah, dan mujahadah, yang memiliki keimanan yang teguh, yang menjadikan sunnah sebagai cara hidup mereka, yang sentiasa menjaga solat, yang diajar ilmu agama dari guru yang terbaik, sahabat-sahabat r.a yang hatinya sibuk dengan Zikrullah, yang sangat mengasihi orang-orang beriman, yang beramal semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Inilah golongan yang telah berjaya dalam agama, golongan sahabat-sahabat r.a, yang telah menggunakan kemampuan, diri, harta dan segala-galanya untuk agama, yang menjadi suri teladan dan ikutan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka. Mereka telah sanggup mengorbankan kesenangan hidup mereka malah telah menebus umat ini dengan darah dan keringat, sehingga kita yang datang kemudian ini dapatlah meneguk hidayah dan mengecapi nikmat Islam. Allah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar ini melalui firmanNya:

وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:

Dan orang-orang yang terdahulu- yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah: 100)

Redha Allah bukan hanya untuk para sahabat r.a sahaja, malah kepada orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan juga. Oleh itu sama-samalah kita berniat untuk mengikuti kehidupan para sahabat r.a ini. Dengan kaum mana kita menyerupainya di dunia ini, maka bersama dengan kaum itulah kita akan dibangkitkan di akhirat nanti. Moga-moga Allah pertemukan kita dan bangkitkan kita di akhirat nanti bersama dengan para sahabat r.a.

Sesungguhnya agama ini telah dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dengan mujahadah dan susah payah. Kita yang datang kemudian ini, seharusnya begitu juga, menjadi penyambung kerja menyebarkan agama ini dengan mujahadah dan susah payah. Sejauhmana pengorbanan kita untuk agama, sejauh itulah yang kita akan dapat.

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه


Maksudnya

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh 'Umar bin Khattab r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperoleh apa yang dia niatkan. Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya.
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat r.a telah mendapatkan apa yang mereka niat dan usahakan. Allah telah memuliakan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya golongan Muhajirin dan Ansar semua mereka telah berjaya menyukakan Allah dan Rasul dalam hayat yang mereka ada.

Hidup perlu hijrah. Hijrah adalah satu sunnah. Aku juga ingin hijrah kerana agama. Tolong doakan hamba..

Ahad, Disember 13, 2009

Hamba-hamba Ar-Rahman


Assalamu'alaikum..
Sifat hamba-hamba Ar-Rahman..
Firman Allah s.w.t:

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلاماً*
وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً*
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَاماً*
إِنَّهَا سَاءتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً*
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَاماً*
وَالَّذِينَ لا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ وَلا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلا بِالْحَقِّ وَلا يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَاما ً*
يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَاناً*
إِلا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً*
وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحاً فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَاباً*
وَالَّذِينَ لا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَاماً*
وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمّاً وَعُمْيَاناً*
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً*
أُوْلَئِكَ يُجْزَوْنَ الْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلاماً*
خَالِدِينَ فِيهَا حَسُنَتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً*

Maksudnya:

-Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
-Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
-Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.
-Sesungguhnya Neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk;
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
-Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
-Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan;
-Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
-Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
-Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
-Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.
-Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
-Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

(Surah al-Furqan: 63-76)

Jom.. Calonkan diri..

Jumaat, Disember 11, 2009

Would You Leave Your Dakwah?



Assalamu'alaikum.

Tawaran diberi..
Wanita, harta dan kedudukan..
Yang diminta cuma supaya berhenti menyampaikan agama..
Namun baginda s.a.w menolak semuanya itu dengan menjawab:



لو وضعت الشمس في يميني والقمر في يساري ما تركت هذا الأمر حتى يظهره الله.


Maksudnya: Jika matahari itu diletakkan di tangan kananku dan bulan di sebelah kiriku, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan kerja ini sehinggalah Allah s.w.t memenangkan agamaNya (atau aku sendiri yang musnah dalam perjuangan itu).
(Riwayat Baihaqi)

Kerja yang tidak ada gaji dan upah..
Namun penting teramat penting..

Mengapa sebegini penting kerja ini?


Jumaat, November 20, 2009

Daging Korban


Assalamu'alaikum..

Sekadar renungan buat diri ini dalam menjalani bulan ZulHijjah 1430.

Allah s.w.t perintahkan Ibrahim a.s supaya menyembelih Ismail a.s.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (as-Saffat: 102)

Allahu.. Sudahlah ditinggalkan si anak dan isteri sekian lama demi pergi mentablighkan agama, baru sahaja Ibrahim a.s melerai rindu kembali ke pangkuan keluarga. Allah perintahkan supaya Ibrahim a.s menyembelih pula buah hatinya. Allah beritahu..

إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاء الْمُبِينُ


Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.
(as-Saffat: 106)

Iktibar:
Tuan-tuan yang mulia, Allah perintahkan supaya korban, namun Allah bukanlah nakkan daging. Tapi Allah nak tengok hati, adakah perkara yang kita sayang, sanggup kita korbankan untuk Allah, untuk agama Allah.

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ



Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.
Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Al-Hajj: 37)

Allah punya suka dengan pengorbanan keluarga da'ie ini, hinggakan amal-amal yang bersangkutpaut dengan perbuatan ahli keluarga Ibrahim demi agama Allah ini, diwajibkan ke atas umat ini untuk mengikutinya (terangkum dalam perlaksanaan amal-amal ibadah haji). Satu dunia umat Islam datang ke Makkah untuk buat apa yang Ibrahim, Hajar a.s dan Ismail a.s pernah buat. Dan kita amat dituntut untuk melakukan ibadah korban.

Para sahabat r.a juga dah buktikan mereka sanggup korban untuk agama Allah s.w.t. Abu Bakar r.a telah korbankan seluruh hartanya untuk agama Allah, Umar pernah korbankan separuh hartanya untuk agama Allah, sahabat-sahabat r.a berlumba-lumba lakukan pengorbanan diri, harta, masa, perasaan. Mereka sanggup hidup susah demi agama ini sampai ke seluruh alam. Demi agama Allah, mereka sanggup korbankan segala yang disayangi. Lalu bagaimanakah pula dengan keadaan kita, apa pengorbanan yang kita lakukan? Korban dunia untuk dapatkan akhirat atau korbankan akhirat untuk dapatkan duniakah kita?
Firman Allah:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah: 24)

Selamat berkorban demi cinta..

Selasa, November 17, 2009

Pakaian, Makanan, Rumah


Assalamu'alaikum..

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah s.a.w.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab r.a ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab r.a sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Makkah).

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan tumpuan kepada ibadat sahaja dan tidak perlu mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

(Maksud Hadith Riwayat Tirmidhi)

Allahu.. Bagaimana pakaian, makanan dan rumah saya? Bagaimana pula amal agama saya dalam dunia yang serba mewah ini?

Isnin, November 16, 2009

Akhirat dan Kualiti Amal Kita


Assalamu'alaikum..

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah sebuah kehidupan yang sangat sementara. Kehidupan dunia akan berakhir suatu hari nanti sedangkan akhirat adalah sebuah kehidupan yang tiada akhirnya. Umur dunia mungkin panjang lagi, tetapi apa yang pasti umur kita tidak akan sepanjang umur dunia ini.
Dan apa yang pasti juga, kehidupan akhirat itu maha panjang.

Sayangnya, kita lebih faham keuntungan kebendaan di dunia ini berbanding kerugian akhirat dan amal-amal agama. Kita faham nilai perkerjaan dunia yang kita usahakan, kita faham nilai rm50, rm 100, rm1000 dan sebagainya, kita tahu dengan rm1000 kita boleh dapat apa, tetapi kita payah nak faham nilai solat berjemaah, nilai 2rakaat solat sunat tahjud, nilai sedekah, nilai membaca al-Quran, zikir dan amal-amal agama yang lain.

Para sahabat r.a jika mereka tertinggal takbiratul ula solat berjemaah sahaja, mereka akan bersedih dan berkabung selama tiga hari seolah-olah telah mengalami kerugian yang amat sangat. Para sahabat r.a adalah manusia-manusia yang sangat faham akan nilai akhirat.

Lain pula halnya dengan kita, kadang-kadang kita sanggup kebelakangkan amal agama demi nak bentuk keduniaan kita. Bertambah hairan sebab kita tak rasa bersalahpun membelakangkan amal demi untuk membina dunia kita itu. Sebagai contoh solat: Apabila telah berkumandangnya laungan azan menandakan telah masuk waktu solat (lelaki sepatutnya berduyun-duyun bersegera menuju ke rumah Allah dan para wanita sepatutnya bersegera solat di awal waktu), tetapi apa yang biasanya terjadi ialah kita masih sibuk mengutamakan kerja-kerja membina dunia kita atau masih sibuk berkerja dengan alasan untuk mencari rezeki.
Sedangkan Allah hubungkan rezeki itu sendiri dengan solat.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

(Surah Thaha: 132)

Betapa telah jauhnya faham kita berbanding dengan faham para sahabat r.a. Renungkan sahabat r.a rela mewakafkan kebunnya kerana kebunnya menjadi penyebab lalai dalam solat. Jika akhirat para sahabat bergoyang, mereka sanggup lepaskan dunia mereka untuk meneguhkan akhirat mereka.
Kita pula terbalik, kita sanggup lepaskan akhirat kita demi nak memperteguhkan dunia kita. Amat menghairankan kita tak rasa bersalahpun melewat-lewatkan solat demi dunia kita, apatah lagi nak rasa bersalah sebab bermalas-malas mengerjakannya dan tak khusyuk dalam solat. Kemudian kita bertenang diri seolah-olah dengan tindakan kita itu telah cukup untuk menarik redho Allah.

Tambah nak menyedapkan hati, kita bandingkan diri kita dengan orang yang tak solat. Maka jawapannya 'saya lebih baik dari mereka yang tidak solat'. Oh, betapa jauhnya kita. Jangan dibandingkan rohani kita dengan orang yang lebih rendah dari kita, tapi bandingkanlah rohani kita dengan rohani para sahabat r.a. Bandingkan kualiti solat kita dengan kualiti solat para sahabat r.a. Amatlah rugi jika kita hanya faham dunia dan kualiti ISO 9001 sahaja. Berusahalah ke arah nak mencapai kualiti rohani sebagaimana rohani para sahabat r.a juga. Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini amat sementara, sedangkan akhirat itu kekal abadi.


Khamis, November 12, 2009

Dakwah Nabi Nuh a.s


Assalamu'alaikum..
Firman Allah s.w.t:


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحاً إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَاماً فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ



Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).


(Surah al-Ankabut: 14)


Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t berfirman:


قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلاً وَنَهَاراً


Maksudnya: (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)

(Surah Nuh: 5)


Ada banyak kisah dakwah Nabi Nuh a.s di dalam al-Quran, di sini sekadar ingin kongsikan mengenai dua ayat ini. (Sila juga refer penceritaan Allah tentang kisah Nabi Nuh a.s dalam surah al-A'raf, at-Taubah, Yunus, Hud, Ibrahim, al-Isra', Maryam, al-Anbia', al-Hajj, al-Mukminun, al-Furqan, al-Syu'ara, al-Ankabut, al-Ahzab, As-Soffat, Sod, Ghofir, Asy-Syura, Qaf, Az-Dzariat, an-Najm, al-Qomar, al-Hadid, at-Tahrim, al-Haqqah, Nuh)

Tidak tergambar betapa jerih payah dan cekalnya hati nabi Nuh a.s selama 950 tahun menjalankan usaha mengajak umatnya kepada Allah s.w.t siang dan malam dengan penuh kesabaran walaupun yang mengikuti baginda hanyalah sekitar lapan puluh orang. Sesungguhnya kuantiti pengikut bukanlah ukuran kejayaan dalam melaksanakan dakwah, kerana yang memberi hidayat adalah kerja Allah s.w.t.

(Jumlah lapan puluh orang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Tafsir Ibn. Kathir)

Kerja dakwah adalah 'mahkota kerja', kerana jikalaulah ada kerja yang lebih mulia dari kerja dakwah, sudah tentu Allah telah beri kerja itu kepada Para Nabi dan Rasul iaitu orang-orang yang Allah paling kasih.

Nabi Nuh a.s selama 950 tahun siang dan malam telah buat dakwah. Umat ini insyaAllah akan menjadi saksi kepada Nabi Nuh a.s di akhirat nanti. Kita sendiri, tak kan sekadar dengar sahaja Nuh a.s buat dakwah, apa pula yang kita lakukan siang dan malam, sepanjang hidup kita ini. Berapa masa kita berikan untuk kesibukan urusan kerja agama dan kerja dunia kita? Apa tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim?


Isnin, November 09, 2009

Dakwah Sang Semut


Assalamu'alaikum..
Firman Allah s.w.t:


حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi an-Naml, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”.

(Surah al-Naml: 18)


Hebat Allah! Perkataan dakwah semut ini mengajak kawan-kawannya masuk ke dalam sarang sahajapun telah Allah rakam dan abadikan dalam Kitab al-Quranul Karim yang suci, Kitab yang paling benar, kitab yang dibaca oleh umat ini berulang-ulang kali setiap hari sehingga hari kiamat. Kitab yang tersemat utuh di dada-dada para hafiz. Kitab yang menjadi panduan hidup bagi setiap mukmin. Kitab yang mukjizatnya kekal dari dulu sehingga hari kiamat.

Tuan, al-Quran bukanlah kisah sejarah sebagaimana kisah hikayat atau kisah dongeng atau cerita kanak-kanak. Maha suci Allah dari sahaja-sahaja mahu bercerita kepada kita. Maha suci Allah dari menceritakan perkara yang sia-sia. Bahkan setiap yang Allah firmankan di dalam al-Quran tidak ada yang meragukan padanya.

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Kitab ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.
(Surah al-Baqarah: 2)

Quran adalah pedoman hidup kita. Fikirkan, andai perkataan mengajak masuk sarang sahaja pun Allah punyalah suka sehingga mengabdikan dakwah semut ini di dalam Kitab yang paling agung, maka apatah lagi kesukaan Allah pada perkataan atau suara-suara dakwah yang mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t dan suara-suara yang mengajak manusia agar terselamat dari kebinasaan yang lebih dahsyat di akhirat. Betapa sudah tentu Allah lebih suka lagi.

Di dalam al-Quran Allah tidak memfokuskan ibadah nabi-nabi tapi Allah banyak fokuskan dakwah nabi-nabi. Banyak Allah kisahkan dakwah nabi-nabi, bahkan Allah ulang-ulang cerita contohnya kisah dakwah yang dijalankan oleh Musa a.s berada di banyak tempat di dalam al-Quran. Untuk apa Allah banyak abadikan kisah-kisah dakwah tersebut, untuk apa Allah ulang cerita? Adalkah dakwah ini tanggungjawab nabi s.a.w seorang sahaja? Adakah kitab al-Quran ini diturunkan untuk Rasulullah s.a.w seorang sahaja? Tentulah tidak. Bahkan al-Quran adalah panduan kita semua juga.

Berbalik kepada antara dakwah semut mengajak kawan-kawannya masuk ke sarang dan dakwah orang-orang Islam mengajak manusia kepada Allah s.w.t. Allah telah mengiktiraf perkataan mengajak kepada Allah sebagai perkataan yang terbaik. Firman Allah s.w.t:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengEsakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!

(Surah al-Fusilat: 33)



Antara kita dan semut, siapa yang lebih utama untuk jalankan dakwah?
Oleh itu semua niat untuk untuk sukakan Allah dan Rasul dengan menyambung kerja baginda menjalankan dakwah insyaAllah!

Khamis, November 05, 2009

Islah Diri


Assalamu'alaikum.
Imam Malik rah.a menukilkan


لن يصلح أخر هذه الأمة إلا بما أصلح أولها


Maksudnya: Orang yang terkemudian daripada umat ini sekali-kali tidak akan dapat diperbaiki, kecuali dengan cara yang sama yang telah digunakan untuk memperbaiki orang pada zaman permulaannya.

Selasa, November 03, 2009

Berkasih Sayang Pada Jalan Allah



Assalamu'alaikum.

Al-Imam al-Ghazali mengeluarkan sebuah hadith daripada Al-Nasai yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a sebagaimana dalam ihya: Abu Idris al-Khaulani berkata kepada Mucaz “Aku mengasihi engkau pada jalan Allah.” Maka Muaz menjawab “Gembiralah kamu, gembiralah kamu! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Akan diletakkan untuk segolongan manusia beberapa kursi di keliling arasy pada hari kiamat, yang mana wajah mereka seperti bulan purnama pada malam hari. Di waktu manusia lain dalam keadaan gentar, tetapi mereka tidak gentar, dan di waktu itu manusia lain dalam keadaan takut tetapi mereka tidak takut. Mereka itu adalah kekasih-kekasih Allah s.w.t yang tidak ada pada mereka kegundahan dan ketakutan”. Lalu orang bertanyakan “Siapakah mereka itu ya Rasulullah? Rasulullah s.a.w menjawab “Mereka itu ialah orang yang berkasih sayang pada jalan Allah s.w.t”.

Abu Hurairah r.a menerangkan berkenaan hadith ini Sesungguhnya di sekeliling arasy itu ada beberapa mimbar yang diperbuat daripada nur (cahaya), dan di atas mimbar itu ada satu golongan manusia, pakaian dan wajah mereka adalah nur. Mereka itu bukanlah nabi-nabi dan bukanlah syuhada (orang yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah s.w.t) tetapi mereka disenangi oleh nabi-nabi dan syuhada. Lalu sahabat berkata “Ya Rasulullah, terangkanlah kepada kami siapakah mereka itu”. Maka Rasulullah s.a.w menjawab “Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang pada jalan Allah s.w..t, sama-sama duduk di jalan Allah s.w.t, dan kunjung mengunjungi pada jalan Allah s.w.t.

(Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Ihya’ cUlum al-Din)

Isnin, November 02, 2009

Perasaan Ummat


Seruan Al-‘Allamah Ad-Da’iyah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi kepada orang-orang Islam.


Assalamu'alaikum.


[Tiga hari sebelum Hadrat Syaikh meninggal dunia, yakni pada 29 hb Zulqaedah, 1384H bersamaan 2hb April, 1965M; hari selasa selepas solat Subuh; Hadrat Syaikh telah memberi satu ceramah terpenting yang terakhir dalam kehidupan beliau. Selepas Hamd (memanjat pujian kepada Allah) dan selawat, berlawanan dengan kebiasaan, Hadrat Syaikh telah mulai berceramah seperti berikut:]

Tengoklah, saya tidak berapa sihat. Sepanjang malam saya terpaksa berjaga kerana tidak boleh tidur. Namun demikian saya terpaksa bercakap sebab perkara ini adalah amat penting. Sesiapa yang memahaminya dan mengamalkannya maka Allah Taala akan meninggikannya dan memberikan kejayaan. Jika tidak, maka dia akan melumpuhkan kakinya sendiri.

Ummat ini telah terbentuk dengan penuh susah payah. Untuk menjadikan ummat ini, Rasulullah saw. dan Sahabat-Sahabat r.anhum telah banyak berusaha dan menanggung penderitaan. Musuh-musuh Islam yakni Yahudi dan Nasrani telah sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak berkekalan sebagai satu ummat, bahkan berpecah belah.

Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan sifat ummat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu ummat, hanya dengan bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia. Mereka pada masa itu tidak mempunyai walaupun sebuah rumah dari batu bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi hanya selepas sembilan tahun sesudah Hijrah. Orang yang paling awal telah menyalakan lampu di dalam Masjid Nabawi ialam Tamim Dari r.a. Sementara itu, kira-kira seluruh kaum Arab telah memeluk agama Islam. Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa, dan dari berbagai-bagai kabilah telah menjadi satu ummat yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw. sudah tersebar ke seluruh tanah Arab, bahkan ke kawasan-kawasan di luar daripadanya juga. Umat sudah terbentuk. Selepas itu ummat telah bangun dan ke mana sahaja mereka tuju, maka negara demi negara telah jatuh di bawah kaki mereka.

Ummat ini telah dibentuk secara begini; iaitu, tidak seorang pun di kalangan ummat ini menjadi pembantu kepada keluarganya, bangsanya, saudara-maranya, partinya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan RasulNya. Pada zaman orang-orang Islam hidup sebagai satu ummat, di mana-mana pun jika seorang Islam dibunuh, maka seluruh ummat telah terkesan, bersimpati dan merasai kepedihan. Kini beribu-ribu dan berjuta-juta orang Islam telah disembelih tetapi kita tidak merasai apa-apa jua.

Ummat bukanlah nama satu kaum atau satu golongan manusia yang bermastautin di satu kawasan. Tetapi beratus-ratus bahkan beribu-beribu kaum yang tinggal di kawasan yang berlainan bersatu-padu menjadi satu ummat. Sesiapa yang menganggap bahawa dia berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah, dan orang lain berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah yang lain, maka dia seolah-olah telah menyembelih ummat ini, menghancur-leburkan serta merosakkan hasil usaha baginda Rasulullah saw. dan para Sahabat r.anhum. Apabila berasing-asingan dan berpecah-belah, kita sendiri telah menyembelih ummat ini terlebih dahulu. Yahudi dan Nasrani hanya mengerat ummat ini yang sudah tersembelih. Sekiranya orang-orang Islam, hari ini menjadi ummat semula, maka semua kekuatan di seluruh dunia sekalipun, tidak boleh menggerakkan walaupun sehelai bulu roma ummat ini. Bom atom atau pun roket sekalipun, tidak boleh membinasakan mereka. Tetapi sekiranya mereka dengan semangat perkauman dan kedaerahan meneruskan fahaman menghabcur-leburkan ummat, maka demi Allah, senjata-senjata dan tentera-tentera kamu tidak boleh selamatkan kamu dari kemusnahan.

Hari ini orang-orang Islam di seluruh dunia telah dihimpit dan dibunuh dengan sebab kehilangan perasaan ummat. Mereka telah mensia-siakan pengorbanan Baginda Rasulullah saw. Saya bercakap tentang perkara ini dengan kepiluan di dalam hati saya, bahawa satu-satunya sebab kesemua kebinasaan dan kemunduran ini adalah kerana ummat tidak lagi berkekalan sebagai satu ummat yang bersatu-padu; bahkan mereka telah lupa apa itu UMMAT dan bagaimanakah baginda Rasulullah saw. Telah membina ummat ini!

"Untuk menjadi umat yang sebenar dan supaya bantuan Allah bersama dengan orang-orang Islam, tidak cukup dengan hanya di kalangan mereka menghidupkan solat, zikir, madrasah dan kebiasaan mengajar dan belajar ilmu. Ibnu Muljam yang merupakan pembunuh Hadrat Ali r.a. adalah seorang yang banyak bersolat dan berzikir. Sehingga apabila orang-orang yang marah (atas pembunuhan Hadrat Ali r.a.) sebelum membunuhnya cuba memotong lidahnya, maka dia telah berkata, “Buatlah apa yang kamu mahu, tetapi janganlah memotong lidah saya; dengannya saya boleh berzikir kepada Allah hingga ke akhir nafas saya dalam kehidupan ini.” Namun begitu Baginda Rasulullah saw. telah bersabda, “Pembunuh Ali adalah seorang yang paling buruk dan bernasib malang di kalangan ummatku."

Ta’lim dari madrasah telah diperolehi oleh Abul Fadhal dan Faizi juga. Ilmu dan kepandaian mereka begitu tinggi sehingga boleh menulis tafsir al-Quran walaupun dengan huruf yang tidak bertitik. Walhal merekalah yang telah menyesatkan Akbar [Maharaja India dari keluarga Mughal] dan merosakkan agama Islam. Jadi, bagaimanakah perkara yang ada pada Ibnu Muljam, Abul Fadhal dan Faizi boleh mencukupi untuk menjadi ummat yang sebenar dan mendapat nusrah ghaibiah dari Allah Taala.

Hadrat Syah Ismail Syahid rah.a., Hadrat Syed Ahmad Syahid rah.a., dan rakan-rakan mereka kesemua adalah satu jamaah yang unggul dan paling baik dari segi keagamaan mereka. Apabila mereka sampai ke kawasan sempadan [yakni utara-barat Pakistan yang diduduki oleh kaum Pathan], orang-orang di sana telah menjadikan mereka pembesar-pembesar mereka. Maka syaitan telah menimbulkan di dalam hati beberapa orang Islam di sana bahawa, “Mereka ini orang-orang luar, mengapakah mereka diberi kesempatan untuk mengetahui kami?” Maka mereka telah mula menentang orang-orang Islam yang teguh mengamalkan agama ini. Beginilah caranya orang-orang Islam menghancurkan perasan ummat oleh sebab kedaerahan mereka. Maka Allah Taala telah memberikan pembalasan dan penyeksaan dengan memberi kuasa kepada orang-orang Inggeris ke atas mereka. Ini merupakan azab daripada Allah Taala.

Ingatlah! Bahawa perkataan, kaumku, daerahku, saudaraku dan yang seumpamanya, semuanya adalah perkataan yang memecahbelahkan ummat! Perkataan dan semangat sebegitu rupa adalah sangat-sangat dibenci oleh Allah Taala sehingga sedikit kesilapan dari segi ini oleh seorang Sahabat yang begitu tinggi darjatnya seperti Saad ibnu Ubadah r.a. [yang jika tidak diberhentikan dengan serta-merta pada masa itu juga, maka akan wujud perpecahan antara Ansar dan Muhajir] telah dibalas oleh Allah Taala di dunia.

Terdapat riwayat bahawa Saad ibnu Ubadah r.a. telah dibunuh makhluk jin dan di Madinah telah kedengaran pengumuman seperti berikut, tetapi tidak kelihatan makhluk yang mengumumkannya:

[Kami telah membunuh ketua kaum Khazraj: Saad ibnu Ubadah;
Kami telah menjadikannya sasaran anak panah kami yang telah memasuki jantungnya!]

Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh dan pengajaran bahawa walaupun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan, tetapi jika ia melakukan kesilapan dengan menyebabkan perpecahan ummat, maka Allah Taala tetap akan menghancurkannya.

Ummat akan menjadi ummat yang sebenar apabila setiap individu dan golongan di kalangan ummat ini tanpa membeza-bezakan, memegang usaha yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah saw. Dan ingatlah bahawa perkara yang memusnahkan perasaan ummat adalah keburukan dari segi muamalat dan muasyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan ummat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinanya maka timbullah perpecahan dan perasaan ummat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa ummat ini tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih. Ummat akan menjadi ummat yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan muasyarat, melalui menunaikan hak-hak semua pihak dan melalui bersifat ikram terhadap sekalian orang. Bahkan apabila untuk menunaikan hak-hak orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan, baharulah ummat ini akan dapat dibentuk. Baginda Rasulullah saw, Hadrat Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Hadrat Umar r.a. telah membentuk ummat ini dengan cara mengorbankan kesemua kepunyaan mereka dan menanggung bermacam-macam kesusahan."


Pada zaman Hadrat Umar r.a. suatu ketika telah datang berjuta-juta dinar dan dirham dan mesyuarat telah diadakan untuk membahagi-bahagikannya. Pada masa itu ummat sudah dibentuk; yang bermesyuarat itu bukanlah daripada suatu daerah atau satu kaum atau kabilah sahaja. Bahkan manusia daripada pelbagai kaum, kabilah dan daerah berada dalam syura tersebut yang terkenal sebagai orang-orang khawas dari segi persahabatan dengan Baginda Rasulullah saw. Melalui mesyuarat, mereka denga sepenuh perhatian telah membuat keputusan bahawa dalam pembahagian tersebut, yang paling banyak akan diberi ialah kepada kabilah baginda Rasulullah saw. Kemudian kepada ahli kabilah Hadrat Abu Bakar r.a. dan selepas itu kabilah Hadrat Umar r.a. Maka dengan keputusan ini, saudara mara Hadrat Umar r.a. telah mendapat kedudukan yang ketiga. Apabila keputusan ini telah dikemukakan kepada Hadrat Umar r.a., beliau tidak meluluskan keputusan tersebut lalu berkata, Apa juga yang diperolehi dan akan diperolehi oleh ummat ini adalah kerana baginda Rasulullah saw. semata-mata. Jadi, dalam pembahagian harta ini, kita akan hanya mempertimbangkan perkaitan hubungan dengan baginda Rasulullah saw sahaja. Kabilah yang paling dekat dengan baginda akan mendapat bahagian yang paling besar. Kemudian yang kedua, yang ketiga, yang keempat dan seterusnya. Jadi, bahagian yang terbanyak telah diberikan kepada Bani Hasyim. Kemudian Bani Abd Manaf, anak-anak Qasa, Kalab, Marra dan seterusnya. Mengikut tertib ini kabilah Hadrat Umar r.a. sangat jauh terkebelakang dan bahagian yang diperolehi oleh mereka adalah terlalu sedikit. Tetapi Hadrat Umar r.a. tetap membuat keputusan ini. Beliau sendiri telah membelakangkan kabilahnya sendiri dengan pembahagian ini. Dengan cara beginilah ummat ini telah dibentuk!


Untuk membentuk umat, apa yang mustahak ialah semua orang perlu mencuba supaya kesatuan berkekalan di kalangan ummat dan supaya tidak timbul perpecahan. Maksud sebuah hadith Baginda Rasulullah saw , “Pada hari kiamat salah seorang akan dibawa kepada Allah Taala untuk pembalasan. Semasa hidup di dunia, orang itu telah mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa, mengerjakan haji, bertabligh dan lain-lain amalan yang baik. Tetapi dia akan diberi penyeksaan. Sebab, satu perkataan yang telah diucapkannya menyebabkan peprpecahan di kalangan ummat. Ia akan dihukum, “Rasailah penyeksaan untuk satu perkataan itu yang telah mendatangkan kerugian kepada ummat.” Seorang lagi yang dihadapkan mempunyai mempunyai kekurangan dari segi solat, zakat, puasa, haji dan lain-lainnya dan dia dalam ketakutan akan azab Allah Taala, tetapi dia telah diberikan banyak pahala dan balasan baik sehingga dengan penuh kehairanan dia sendiri akan bertanya, Untuk amalan saya yang mana satu, saya dimuliakan begini? Dia akan diberitahu, Pada masa dan keadaan sekian-sekian itu engkau telah mengucapkan satu perkataan yang telah menghentikan satu pergaduhan di kalangan ummat yang ditahap perpecahan. Pada ketika perpecahan itu, ummat telah kembali bersatu padu disebabkan perkataan kamu itu. Kesemua ini adalah pahala dan balasan untuk perkataan mu itu.


Di dalam membentuk ummat dan juga merosakkan ummat, peranan yang besar telah dimainkan oleh lidah. Lidah boleh menyenangkan hati orang, boleh juga ia menyakiti dan memecahkan hati. Cukup dengan satu perkataan salah yang keluar daripada lidah, maka menyebabkan penggunaan tongkat dan pergaduhan dan peperangan yang sempurna telah wujud. Demikian juga dengan satu perkataan sahaja boleh mendatangkan perdamaian dan perpaduan; ia boleh menyatukan hati-hati yang berpecah-belah. Oleh itu, perkara yang paling penting ialah lidah (percakapan) mesti dikawal supaya tidak disalahgunakan. Perkara ini hanya akan tercapai apabila seseorang itu sentiasa ada perasaan bahawa Allah ada bersama di setiap tempat dan juga Dia maha mendengar setiap perkataan yang diucapkan."

Di Madinah, pada zaman itu, ada dua kabilah Ansar, iaitu Aus dan Khazraj. Di antara keduanya telah terjadi pergaduhan dan peperangan sejak ratusan tahun. Apabila Rasulullah saw telah berhijrah dan sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam. Maka dengan berkat Baginda dan Islam, pergaduhan dan peperangan itu telah terhenti dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan jahat supaya Aus dan Khazraj bergaduh dan berperang semula. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh orang-orang dari kedua kabilah tersebut, salah seorang (mengikut perancangan jahat tersebut) telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu syair mengenai peperangan mereka yang lama. Maka pada mulanya, mereka bertikam lidah antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Salah seorang telah segera mengadu kepada Baginda Rasulullah saw. Baginda saw. dengan serta merta datang ke tempat kejadian, lalu bersabda, Kamu hendak berperang sesama sendiri, sedangkan aku masih berada di kalangan kamu? baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan perasaan susah hati. Mereka telah memahami kesilapan masing-masing. Mereka telah sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan perancangan jahat. Kedua-dua belah pihak telah menangis dan memeluk antara satu sama lain. Ayat suci telah diturunkan oleh Allah Taala:

[
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا وأنتم مسلمون ]

(Seolah-olah Allah memaksudkan) Wahai orang-orang yang beriman! Takutilah Allah sepertimana yang harus kamu takuti kepada-Nya dan sampai ke nafas kamu yang terakhirlah kamu hidup sebagai hamba yang menyerah diri dan mentaati Allah.

Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan sentiasa mentaati-Nya, maka syaitan pun tidak ada kesempatan untuk menyesatkannya dan ummat akan terselamat dari semua pergaduhan dan keburukan yang lain.


[
واعتصموا بحبل الله جميعا ًولاتفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا ً و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها ]

(Seolah-olah Allah memaksudkan) Dan berpeganglah kamu sekalian secara berjemaah dengan tali Allah yakni kitab Allah dan agama-Nya dengan teguh; yakni dengan sifat IJTIMA’IYYAT yang sempurna serta sifat perasaan ummat, berpegang kepada agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi berpecah-belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan persaudaraan satu sama lain. Semasa kamu berperang sesama sendiri, kamu sebenarnya telah menghampiri neraka sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu dan telah menyelamatkan kamu dari neraka.

Syaitan memang ada bersama kamu. Penyelesaian masalah ini adalah di tangan kamu. Kamu seharusnya berada di dalam satu golongan yang tugasnya hanyalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan dan fasad.


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Aali ‘Imran: 104)

Di kalangan ummat harus ada satu golongan yang tugasnya patut menyuruh manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus meneruskan usaha untuk iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha atas solat, atas zikir, atas ilmu yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Mereka juga perlu usaha untuk selamatkan manusia dari keburukan dan segala jenis maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa ummat akan berkekalan sebagai umat yang bersatu-padu.


تَكُونُواْ كَالَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَاخْتَلَفُواْ مِن بَعْدِ مَا جَاءهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَلاَ

وَأُوْلَـئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ


Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka Yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa Yang besar. (Surah Aali ‘Imran: 105)

Sesiapa yang selepas menerima kesemua nasihat-nasihat ini, dan masih meneruskan untuk mengikut jalan syaitan, berjalan secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan dan perpaduan ummat, maka bagi mereka ada penyeksaan yang keras.

Kesemua ajaran dan perkara-perkara dalam agama mempunyai JORD (kesatuan) dan juga untuk kesatuan dan perpaduan. Di dalam solat ada Jord, dalam puasa ada Jord. Dalam haji ada Jord bagi pelbagai kaum dan bangsa dan negara dan manusia yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa. Di dalam halaqah ta’lim ada Jord. Sifat ikram (memuliakan) orang-orang Islam dan mencintai orang-orang Islam, memberi dan menerima hadiah antara satu sama lain, kesemua ini adalah yang mendatangkan kesatuan dan yang membawa ke syurga. Mereka yang membuat usaha untuk kesemua amalan ini akan mendapati wajah mereka berseri-seri pada hari Hisab."


Dan sebaliknya, benci, hasad, dengki, mengumpat, menghasut, menghinakan orang, mengecilkan hati orang dan menyakiti hati orang, kesemua ini adalah perbuatan yang menyebabkan perpecahan dan membawa ke neraka. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan dihinakan pada hari Hisab.


وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكْفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ

فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللّهِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ


(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu. Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya. (Surah Aali-'Imran:106-107)

Mereka yang telah memecahbelahkan, dan menjalani perbuatan yang memecahbelahkan, telah menghancurkan perasaan ummat, maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur masing-masing dengan muka yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara-cara orang kafir setelah kamu dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di sini azab neraka sepertimana telah kamu kufurkan. Dan mereka yang ikut jalan yang betul, wajah-wajah mereka akan bercahaya dan berseri-seri. Untuk selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah Ta'ala dan syurga."

Saudara-saudaraku dan teman-temanku sekelian!
Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah cuba untuk memecahbelahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua kabilah Ansar bermusuhan antara satu sama lain. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan, pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan ummat telah disifatkan sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat.

Pada hari ini di seluruh dunia telah berlaku usaha untuk memecahbelahkan perasaan sebagai satu ummat. Jalan penyelesaian dan perkara yang boleh mengatasinya ialah hendaklah kamu menyibukkan diri kamu sendiri dalam usaha Baginda Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu mengajak orang-orang Islam ke masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang iman. Dirikanlah halqah Ta'lim dan Zikir. Bermesyuaratlah mengenai usaha agama. Telah terbukti bahawa pelbagai kaum, keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu melalui amalan-amalan ini di Masjid Nabawi.

Perasaan perpaduan ummat akan hidup apabila kamu akan mengelakkan diri dari perkara-perkara yang memberi peluang kepada syaitan untuk memecahbelahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama, maka hendaklah kamu ingat bahawa yang keempat bersama kamu adalah Allah s.w.t. Apabila ada empat atau lima orang duduk bersama, maka hendaklah kamu selalu ingat bahawa Allah s.w.t bersama kamu sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia mendengar setiap perkataan kamu dan Dia melihat sama ada kamu berbincang untuk perpaduan ummat ataupun kamu memecahbelahkan ummat. Adakah kamu sedang mengumpat atau menghasut, atau membuat perancangan jahat untuk orang lain.

Ummat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah Baginda Rasulullah s.a.w dan kelaparan Baginda s.a.w, sementara kita hari ini memecahbelahkan ummat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa meninggalkan solat Jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan seperti yang berlaku akibat memecahbelahkan ummat. Apabila akan datang perasaan perpaduan ummat di kalangan orang-orang Islam, maka tidak sekali-kali mereka akan dihinakan di dunia ini.


Kekuatan Russia dan Amerika juga akan menunduk di hadapan mereka. Dan perasaan ummat akan hanya datang apabila diamalkan atas ayat:

أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman..
(Surah al-Maidah: 54)

Yakni, setiap orang Islam disisi orang Islam yang lain akan mengecilkan, merendahkan, dan menghinakan diri dan akan berkelakuan lemah-lembut terhadapnya. Di dalam tabligh harus kita melatihkan diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat (
أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ) di kalangan orang-orang Islam, maka di dunia mereka akan menjadi:

أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maksudnya: ..berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir..
(Surah al-Maidah: 54)

Yakni, ia akan dimuliakan berbanding dengan orang-orang kafir. Ia akan dikurniakan Allah s.w.t dengan kehebatan dan kemenangan ke atas orang-orang kafir, sama ada kafir itu kafir Eropah ataupun kafir Asia.