Selasa, Oktober 17, 2006

Gagasan Memakmurkan Masjid 24 Jam Setiap Hari


Assalamualaikum..sedikit panduan utk kita bersama..
oleh al fadhil ust sangfaqir..
www.raudhah.com

Gagasan Memakmurkan Masjid 24 jam Sehari

Umat ini pada hakikatnya ialah umat yang mulia. Kita telah dimuliakan oleh Allah sehingga kemuliaan dan ketinggian kita telah diceritakan kepada seluruh nabi-nabi yang datang sebelum kita

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعاً سُجَّداً يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنْ اللَّهِ وَرِضْوَاناً سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمْ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيماً

Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda keimanan mereka terdapat pada muka mereka dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula seperti pokok tanaman yang mengeluarkan tunasnya, lalu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya, kerana Ia hendak jadikan orang kafir merana dengan perasaan marah. Dan Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.(Al-Fath [48]: 29)

Kemuliaan kita menjadi semakin sempurna disebabkan hubungan kita dengan Rasulullah s.a.w. dan usaha yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

وَمَا أَرْسَلْنَكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَلَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya’ [21]: 107)

كُنْتُمْ خَيْرَ امَّةٍ اخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَامُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ ءامَنَ اهْلُ الْكِتَبِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمْ الْمُؤْمِنُونَ وَاكْثَرُهُمْ الْفَسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik. (Aali ‘Imran [3]: 110)

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي ادْعُوا اِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ انَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَنَ اللَّهِ وَمَا انَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada agama Allah atas bukti yang nyata. Aku dan orang yang mengikutiku; Maha Suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. (Yusuf [12]: 108 ).

Tidak ada nabi dan rasul yang datang sebelum Rasulullah s.a.w. yang tidak mengkhabarkan berita gembira tentang Rasulullah s.a.w. dan umat baginda kepada kaum mereka

وَاِذْ اخَذَ اللَّهُ مِيثَقَ النَّبِيِّنَ لَمَا ءاتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ ءَاقْرَرْتُمْ وَاخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ اِصْرِي قَالُوا اقْرَرْنَا قَالَ فَاشْ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firman-Nya): Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan kamu bersungguh-sungguh menolongnya. Allah berfirman (bertanya kepada mereka): Sudahkah kamu mengakui dan sudahkan kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami beriqrar (mengakui dan menerimanya). Allah berfirman lagi: Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.(Aali ‘Imran [3]: 81).

Kita telah dinobatkan sebagai ‘Khaira Ummah’ (Umat Yang Terbaik) di kalangan umat-umat yang pernah muncul di atas muka bumi ini. Martabat ‘Khaira Ummah’ yang gelarannya dititahkan dan dimaktubkan sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla yang telah menciptakan sekalian manusia dan seluruh alam, merupakan suatu gelaran yang amat agung, seagung keagungan Sang Pemberi Anugerah itu sendiri. Bagaimanapun, kemuliaan ini adalah kemuliaan bersyarat. Gelaran ini hanya akan kekal, apabila syarat yang melazimkannya itu kekal pada umat. Umat ini akan kekal mulia, selagi mana mereka memenuhi syarat-syarat yang berikut, iaitu: hakikat iman, usaha meningkatkan iman dan usaha meyebarkan iman.

كُنْتُمْ خَيْرَ امَّةٍ اخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَامُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ ءامَنَ اهْلُ الْكِتَبِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمْ الْمُؤْمِنُونَ وَاكْثَرُهُمْ الْفَسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.(Aali ‘Imran [3]: 110 )

Allah berfirman,

يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Mereka berkata lagi: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah, sudah tentu orang yang kuat akan mengusir keluar daripadanya orang yang lemah. Bagi Allah jualah kemuliaan dan Rasul-Nya serta orang yang beriman; tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui. (Al-Munafiquun [63]: 8 ).

Firman Allah Taala lagi,

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَانْتُمْ الْاعْلَوْنَ اِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa dukacita, kamulah yang tetap tinggi (dan mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman. (Aali ‘Imran [3]: 139)

Dalam firman-Nya yang lain dinyatakan,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَبِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَبِ الَّذِي أَنزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَع

Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. (An Nisaa' [4]: 136)

Di sini ada gesaan kepada orang-orang yang sudah punya iman, agar mempertingkat dan memperteguhkan lagi iman mereka. Allah berfirman,

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ امَّةٌ يَدْعُونَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَامُرُونَ بِالْمَعْرُوف وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَاوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada sebahagian daripada kamu satu umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala yang makruf (baik) serta melarang daripada segala mungkar (salah, buruk dan keji). Dan mereka itulah (yakni orang-orang yang menjalankan usaha dakwah, amar makruf dan nahyi mungkar) orang-orang yang berjaya!(Aali ‘Imran [3]: 104)

Syaikh Muhammad Abu Zahrah di dalam bukunya Kitab Ad-Dakwah ilal-Islam, semasa memberikan komentarnya kepada ayat ini menyatakan, “Perkataan ( min ) yang bermaksud ‘daripada’ di dalam ayat ini boleh diertikan (secara nahunya) sebagai ( min bayaaniyah) atau “( min ) penerangan”; jika demikian, ayat ini hendaklah difahamkan sebagai, “Dan hendaklah kamu semua – wahai keseluruhan kaum muslimin – menjadi satu umat yang semuanya berfungsi sebagai pendakwah kepada kebaikan, penyuruh dengan perkara makruf dan pencegah daripada perkara mungkar.” Intaha.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah pada kurunku, kemudian kurun yang sesudah mereka, kemudian kurun yang sesudah mereka...” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim) Sebahagian ulamak memberikan pengertian kurun di sini dengan makna generasi, manakala sebahagiannya pula dengan makna yang zahir, iaitu tempoh masa satu abad. Daripada sabdaan suci ini, jelas bahawa tiga ratus tahun yang pertama atau tiga lapisan generasi yang pertama dalam sejarah kemunculan umat ini, ia adalah sebaik-baik zaman yang telah diberikan pujian terlebih awal oleh Sodiqul-Masduq (Seorang Yang Benar lagi Dibenarkan) iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri.

Sekiranya kita benar-benar berusaha meneliti keadaan Zaman Yang Dipuji ini, sudah pasti kita semua bersetuju bahawa antara ciri zahir yang menjadi jati diri warga Zaman ini ialah masjid-masjid yang telah dimakmurkan dengan sebenar-benar pemakmuran. Masjid-masjid telah benar-benar berfungsi sepanjang 24 jam setiap hari sebagai gedung rahmat dan nur keimanan, medan pembinaan dan peningkatan iman serta markaz di mana tersebarnya iman. Kenapa masjid? Masjid adalah suatu yang penting. Kepentingan masjid dapat dilihat seawal kemunculan manusia di atas muka bumi ini. Bukankah Allah mengatakan bahawa masjidlah (yakni Baitullahil-Haram) merupakan seawal-awal binaan yang dibangunkan untuk manusia beribadah kepada Allah?

اِنَّ اوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَلَمِينَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia(Aali ‘Imran [3]: 96)

Malah dalam sejarah umat ini, bukankah peristiwa Israk dan Mikraj menyatakan bahawa Israknya Rasulullah s.a.w. ialah daripada Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, yakni daripada masjid ke masjid?

سُبْحَنَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنْ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَا الَّذِي بَرَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Israk [17]: 1)

Bukankah perkara pertama yang disegerakan Rasulullah s.a.w. semasa hijrah baginda seusai saja sampai di Madinah (Yathrib) ialah membina masjid di Quba’, yang mana diperakui oleh Allah sebagai ‘lamasjidun ussisa ‘alat-Taqwa’ (Masjid yang diasaskan atas Ketaqwaan)?

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Janganlah engkau sembahyang di masjid itu buat selamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula lebih patut engkau sembahyang di dalamnya. Di sana ada lelaki yang suka membersihkan dirinya; dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka. (At-Taubah [9]: 108 )

Bukankah setibanya saja Rasulullah s.a.w dan Saiyidina Abu Bakar r.a. di Madinah, masjid yang terlebih dahulu dibina berbanding rumah Rasulullah s.a.w. sendiri? Sehingga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sekiranya kamu melihat seseorang itu berulang-alik (membiasakan dirinya) ke masjid (yakni dengan memakmurkan), maka bersaksikanlah oleh kamu kepadanya dengan keimanannya,” lalu Rasulullah s.a.w. membacakan ayat yang berikut,

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَجِدَ اللَّهِ مَنْ ءامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْاءخِرِ

Hanyasanya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah, ialah mereka yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. (At-Taubah [9]: 18 ) (Riwayat At-Tirmizi).

Riwayat ini merupakan himpunan dan gabungan Kalam Allah dan Kalam Rasul-Nya. Hadis ini mengandungi gesaan dan perintah Rasulullah s.a.w. yang suci, dan baginda teguhkan sabdaan baginda dengan firman Allah Rabbul-Alamin. Alangkah berbahagianya mereka, yang mana keimanannya telah dipersaksikan dan dibenarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Tidak tersentuh dan tergerakkah hati kita untuk mendapatkan sama bahagian dalam persaksian dan pembenaran Rasulullah s.a.w. ini? Tidak gelisah dan merontakah hati kita atas saranan suci-murni ini?

Elok agama di dalam masjid, maka akan eloklah agama di luar masjid. Jika yang tinggal hanya solat lima waktu sahaja di dalam masjid, maka di luar masjid juga umat ini hanya akan faham dan menyangka bahawa solat itu sajalah sebagai agama. Akhirnya, sebahagian besar hidup manusia telah dipisah-pisahkan daripada agama. Apa itu agama? Agama ialah seluruh perintah Allah, sebagaimana cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Bagi setiap individu, lima juzuk hidup, iaitu: imaniah, ibadah, muasyarah, muamalah dan akhlak perlu diwarnakan dengan celupan agama, dengan Sibghatullah.

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ احْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَبِدُونَ

Sibghah (agama) Allah; dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? dan kepada-Nyalah kami beribadat. (Al-Baqarah [2]: 138 )

Begitu juga pada tahap keluarga, masyarakat dan negara; malah pada peringkat Daulah / Khilafah Islamiyyah apabila tiba saatnya suatu masa nanti. Masjid perlu dimakmurkan. Masjid tidak dimakmurkan dengan binaan yang kukuh dan perhiasan yang elok, walaupun untuk perkara sebeginipun ada ganjarannya seperti saranan membina masjid, menyalakan lampu dan memberikan haruman kepada masjid. (Sebagaimana hadith-hadith riwayat Ibnu Hibban, Abu Daud, At-Tabrani dan lain-lain)

Bagaimanapun ditegaskan, ruh masjid bukan pada kehebatan binaannya dan banyaknya kemudahan di dalamnya, tetapi ruh masjid ini akan gemilang dan terbilang hanya apabila dimakmurkan dengan amalan-amalannya. Untuk itu tidak ada cara lain, kita semua kena mula memberi dan melapangkan masa untuk masjid. Masjid tidak akan benar-benar dapat dimakmurkan, jika kita hanya menunggu masa lapang untuk memakmurkan masjid. Sebagaimana kita sedia melapangkan masa kita untuk urusan lain, maka agenda memakmurkan masjid perlu menjadi keutamaan juga untuk kita melapangkan masa kita setiap hari.

Hanya apabila kita semua sedia untuk membuat keputusan sebegini, barulah masjid mula dapat dimakmurkan dengan amalan-amalannya dengan sempurna dan meliputi 24 jam sehari semalam. Dan barulah, masjid-masjid akan menjadi kilang-kilang hidayah dan islah umat, menjadi klinik rawatan iman dan kehidupan, menjadi tempat umat mendapatkan keperluan-keperluan agama dan kerohanian mereka, dan akhirnya masjid-masjid akan menjadi saksi hidup atas keimanan dan kehangatan hakikat iman umat ini.

Umat tanpa mengira kedudukan, kebolehan, profesion dan taraf mereka, kesemuanya mampu untuk menjayakan gagasan memakmurkan masjid 24 jam setiap hari ini. Gagasan ini bukanlah bermakna, setiap diri kita perlu hanya berada di masjid 24 jam setiap hari sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan lainnya. Itu bukanlah apa yang diamalkan oleh para sahabat dan salaful-ummah, kecuali sebahagian kecil individu yang khusus di kalangan mereka. Umat perlu buat keputusan terlebih dahulu untuk sedia melapangkan masa di masjid-masjid mereka.

Gagasan ini bukanlah suatu yang mustahil. Kedai runcit, stesen minyak, klinik, kilang, kedai makan dan sebagainya boleh dibuka dan beroperasi 24 jam setiap hari kerana manusia memberi kepentingan kepada perkara tersebut. Begitu juga masjid, jika kita juga mula memberi kepentingan kepada masjid dan amalan-amalan masjid, maka perkara ini juga akan dapat dicapai.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Dan orang-orang yang bermujahadah (berjuang, berjihad, berusaha dan bersungguh-sungguh) pada pihak Kami, maka pasti dan pasti dan pasti Kami (yakni pihak Allah Taala) akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. (Al-‘Ankabut [29]: 69)

Kita berikan apa yang terbaik dalam kemampuan kita, Allah akan sempurnakan apa yang kita tidak mampu. Allah hanya mahu lihat kesungguhan kita, selebihnya bak kata Nabi Syu’aib a.s.,

إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْ

Sesungguhnya aku hanya menginginkan Islah setakatmana dayaku, dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah, kepada-Nya aku bertawakal dan kepada-Nya aku kembalikan (urusan ini). ( Hud [11]: 88 )

Seluruh umat perlu dibawa kepada masjid dan amalan masjid. Seorang ulamak di dalam bidang hadis dan islah umat, serta pakar di dalam Sirah Nabawiyah dan Hayat Sahabah, Al-‘Allamah Al-Muhaddith As-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi rah.a. menyatakan bahawa amalan-amalan masjid dapat dikategorikan kepada empat amalan, iaitu: Amalan Dakwah, Amalan Ta’lim dan Ta’lum (Belajar dan Mengajar), Amalan Ibadah dan Amalan Khidmat.

Inilah empat amalan yang perlu untuk kita hidupkan 24 jam sehari semalam di setiap masjid dan surau kita. Inilah gagasan besar yang menjadi tuntutan ke atas umat pada hari ini. Tanpa menafikan kepentingan usaha dalam bidang-bidang yang lain; gagasan untuk kembali memakmurkan masjid-masjid umat dengan amalan-amalan masjid selama 24 jam dalam sehari merupakan usaha asas demi mengembalikan kemuliaan umat ini. Selagi umat ini atau sebahagian besar umat ini terasing daripada masjid, selagi itulah kita akan hanya menjadi ‘buih-buih dilaut’.

Agama bukanlah hanya satu kepercayaan dan ajaran yang bersifat hanya konsep dan falsafah untuk didiskusikan, diforumkan dan disembang-sembangkan. Malah ia menuntut bukti dan tindakan. Dan bukti praktikal yang paling asas yang telah dicontohkan oleh Salaful-ummah ialah apabila setiap individu umat ini bersedia untuk kembali ke dalam dakapan masjid. Ini adalah teras kepada kemuliaan umat.

Masjid adalah sumber kemuliaan umat ini. Apabila umat mula kembali kepada masjid, barulah puluhan ayat Al-Quran dan ribuan hadis Rasulullah s.a.w. kembali dapat dilihat praktikalnya di alam nyata, dan tidak lagi hanya sekadar menjadi catatan suci yang hanya bersifat teori. Sebagai satu contoh, dalam satu hadis dinyatakan bahawa pada Yaumil-Mahsyar nanti, ada tujuh golongan yang akan berada di bawah naungan Arasy Allah, salah satunya ialah seorang lelaki yang hatinya senantiasa terpaut kepada masjid (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan selain keduanya).

Hampir kita semua maklum tentang hadis ini, tetapi dimanakah kita dapat lihat secara praktikalnya golongan ini? Oleh itu, apabila gagasan ini dapat dilancarkan dan disambut oleh umat, pasti apa yang dikhabarkan ini akan menjadi satu realiti di hadapan mata kita. Ini sekadar satu contoh. Untuk membincangkan modus operandi bagaimanakah gagasan dan matlamat untuk memakmurkan masjid 24 jam setiap hari dapat dicapai, memerlukan ruang yang amat panjang. Bagaimanapun, gagasan ini boleh dimulakan melalui dua perkara.

Pertama, apabila umat ini mula membuat keputusan, bersedia untuk melapangkan masa mereka sekurang-kurangnya 10 % daripada 24 jam mereka. Maknanya, setiap diri kita bersedia untuk melapangkan masa 2 ½ jam setiap hari khusus untuk memakmurkan masjid-masjid kita. Setiap orang mempunyai masa mereka sendiri yang sedia dan sesuai untuk dilapangkan. Jika setiap orang mula memberikan komitmen dan melapangkan 2 ½ jam setiap hari mengikut kemampuan dan masa pilihan mereka, akhirnya kita akan dapati, masjid-masjid telah mula dimakmurkan selama 24 jam dalam sehari.

Kedua, kesemua yang telah menjadi ahli jamaah masjid, mengadakan mesyuarat ringkas setiap hari di mana agendanya ialah di sekitar memikirkan dan menyelaras bagaimanakah usaha perlu dibuat bagi menjadikan masjid dapat makmur dan beroperasi 24 jam setiap hari dengan empat amalan masjid tadi: dakwah, taklim, ibadah dan khidmat. Daripada mesyuarat harian ini, usaha akan digerakkan dan diselaraskan. Gagasan ini begitu sederhana dan terbuka kepada semua individu umat ini. Satu-satunya pra-syarat yang perlu ialah kalimah ‘La ilaaha illallah’ yang ada di dalam hati sanubari kita. Kita bulatkan tekad dan mula membuat keputusan. War-warkan gagasan ini. Dengan izin Allah, segala keberkatan masjid sebagai gedung rahmat dan hidayah umat ini, akan terzahir dan dapat dirasai oleh umat ini sekali lagi. Untuk itu, siapakah yang bersedia untuk melapangkan masanya 2 ½ jam setiap hari untuk masjidnya?

sama2 kita azam ye..insyaAllah..